Saturday 7 December 2019

TATKALA LIBERTARIAN SOSIALISME MENZAHIRKAN DIRI.

Mutakhir ini, negara dilanda pelbagai provokasi-provokasi yang kelihatan ingin mewajarkan perjuangan Komunisme. Aliran sayap kiri tersebut yang dianggap telah mati oleh kebanyakkan orang, hakikatnya telah berevolusi agar bersesuaian dengan perubahan massa.

⚫ Libertarian Sosialisme.

Menurut Marcus Weeks, Libertarian Sosialisme adalah aliran sosialisme yang tidak bersetuju dengan pendekatan revolusi seperti yang diketengahkan oleh Leninisme. Sebaliknya Libertarian Sosialisme memilih untuk berpartisipasi dengan demokrasi serta menerima sebahagian dari praktik kapitalisme untuk meraih kekuasaan politik.

Mereka menolak idea negara sosialis yang memilik negarakan kekayaan secara menyeluruh. Bagi mereka ia akan memunculkan bentuk tekanan yang baharu ke atas rakyat bawahan & menutup peluang golongan pendatang seperti mereka untuk membina kekayaan. 

Sebaliknya apa yang mereka cuba gagaskan adalah, memberi kebebasan kepada golongan pekerja tanpa regulasi dari kerajaan. Pendekatan ini mengakibatkan mereka kelihatan sentiasa menentang kawalan ekonomi oleh kerajaan. 

Sekalipun mereka telah menjadi sebahagian dari parti yang memerintah, kecenderungan aliran kiri dukungan mereka menyebabkan mereka kekal bermentaliti pembangkang. Dengan sikap parti pemerintah seperti itu, sudah pasti akan mengakibatkan ketidakstabilan negara.

⚫ Fabian Society Sebagai Rujukan.

Pendekatan Libertarian Sosialisme banyak diaplikasikan di negara-negara yang anti aliran politik kiri. Mereka terpaksa banyak menyelindungkan agenda-agenda besar gagasan mereka agar dapat meraih sokongan orang ramai.

Antara yang menarik untuk diperhatikan adalah berkenaan Fabian Society yang berkembang awal di UK sejak 1884. Istilah Fabian itu diambil dari nama ketua turus tentera Rom, Quintus Fabius Maximus Verrucosus. 

Nama itu dipilih kerana mengambil taktik Fabius yang cukup berhati-hati, tidak terpancing dengan peluang yang bersifat kebetulan, merangka plan berjangka masa panjang & akan menyerang habis-habisan apabila sudah sampai masa yang dirancang.

Taktik ini dianggap efektif jika gerakan seumpama Libertarian Sosialisme itu ingin menempatkan diri dalam arus perdana politik sebuah negara yang anti sosialis. Tidak seperti Leninisme yang menzahirkan imej komunis mereka, Libertarian Sosialisme lebih bersifat pragmatik dalam berpolitik.

⚫ Tipikal Strategi Libertarian Sosialis.

▪️Menyertai politik demokrasi serta mengangkat tema-tema demokrasi yang secara zahirnya bercanggah dengan dasar komunisme. Hal ini termasuk berpakat dengan parti-parti politik lain untuk dipergunakan buat sementara waktu.

▪️Untuk menggandakan kepercayaan rakyat, mereka menyatakan dukungan kepada idea pasaran terbuka serta pemerdagangan cara kapitalis. Sememangnya tidak dinafikan dari sudut ekonomi yang menguntungkan mereka, mereka perlu mempraktikkan kapitalisme dalam kerangka tertentu.

▪️Dalam tempoh bersabar yang panjang itu, mereka tidak akan bercakap soal sosialisme. Bahkan jika perlu, istilah yang terkait dengan komunisme atau sosialisme dipadamkan dari imej mereka. Buat sementara waktu, mereka bersedia bercakap perkara-perkara yang menuruti kehendak rakyat & parti-parti selain mereka. Sekalipun ia bercanggah dengan dukungan perjuangan mereka sendiri.

▪️Menjadikan taktik Fabius yang bersabar dalam jangka masa panjang untuk menguasai secara keseluruhan sistem negara. Mereka tidak kisah jika dinaikkan orang lain terlebih dahulu, sementara mereka giat mengukuhkan posisi-posisi strategik yang mereka sasarkan.

▪️Membina jaringan ekonomi & menguasai pasaran secara berperingkat. Agenda seperti inilah yang memperlihatkan mereka berbeza dengan sosialis jalur keras yang menolak kapitalisme. Sebaliknya Libertarian Sosialisme mempraktikkan elemen kapitalisme secara pragmatik untuk meraih keuntungan yang menjadi modal bagi pergerakan mereka.

▪️Mewujudkan institusi-institusi pendidikan versi mereka tersendiri yang berasingan dengan sistem negara. Mereka sangat bijak menyedari bahawa untuk mengembangkan pengaruh dalam jangka masa yang panjang adalah
melalui pendidikan.

▪️Seperti yang diungkapkan oleh Fabius, apabila telah benar-benar bersedia maka serangan habis-habisan perlu dilancarkan. Ia sukar disekat kerana ketika itu posisi-posisi strategik dalam sistem negara telah mereka kuasai. Sewaktu itu wajah sebenar mereka akan tersingkap & mengejutkan ramai orang.

⚫ Malaysia.

Apa yang kita perlu fahami, sungguhpun Libertarian Sosialisme itu tidak memilih jalan revolusi untuk mencapai hasrat mereka. Namun, mereka masih lagi berkongsi aspirasi dengan gerakan komunis kerana ia lahir dari rahim yang sama.

Contohnya kini, pembesar-pembesar DAP semakin tidak segan silu mengangkat sejarah komunis dengan naratif yang baik sebagai pejuang negara. Bahkan mula didedahkan dengan bangga betapa mereka mempunyai susur galur kekeluargaan dengan militan komunis.

Parti yang dilihat mendukung politik Libertarian Sosialisme itu mencapai peningkatan sokongan politik, terutamanya setelah pindaan perlembagaan mereka tahun 2006. DAP meminda matlamat pertamanya daripada 'berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak sosialis demokratik di Malaysia', kepada 'berjuang menerusi perlembagaan Parlimen untuk mewujudkan demokrasi sosial di Malaysia'.

Liew Chin Tong dalam tulisannya bertajuk 'Apakah Itu Demokrasi Sosial' menggambarkan betapa perubahan tersebut dapat memulihkan imej DAP dari terus terbeban dengan sentimen anti sosialisme yang memburukkan nama parti itu. Idea tersebut tidak dinafikan efektif, apabila sejak dari tempoh itu banyak parti politik yang berlainan ideologi merasa senang untuk berpakat dengan DAP.

Walaupun istilah sosialisme ditukar kepada demokrasi sosial, ia tetap membawa hala tuju yang sama. Kamus Merriam Webster mendefinisikan demokrasi sosial sebagai sebuah gerakan yang menganjurkan perubahan secara lunak dari kapitalisme kepada sosialisme. Maka pertukaran istilah itu hanyalah solekan & penyamaran untuk mengharmonikan persepsi terhadap ideologi mereka.

⚫ Provokasi-Provokasi Yang Menggemparkan Negara.

Kebelakangan ini kita dapati pelbagai agenda yang kelihatan mahu mewajarkan fahaman sosialisme berlangsung. Tidak kurang siri provokasi yang mengejutkan sensitiviti rakyat Malaysia.

Yang agak menarik untuk dicermati adalah tragedi menukar lambang bintang 14 bucu bendera Malaysia kepada bintang 5 bucu Libertarian Sosialisme. Ini merupakan isyarat yang jelas terkait dengan 'syiar' Libertarian Sosialisme. Mereka gemar memasukkan lambang bintang 5 bucu ke dalam bendera negara yang dianggap telah mereka dikuasai.

Selain abu mayat Chin Peng sebagai pemimpin komunis dibawa pulang untuk 'disemadikan', perhimpunan sekitar 300 orang bekas anggota PKM membuka mata kita betapa semakin beraninya mereka menzahirkan diri.

⚫ Salah Kita.

Jika kita fahami cara Fabius yang mempersiapkan segala kekuatan sebelum membuat serangan habis-habisan, barangkali sekaranglah waktunya mereka menunjukkan wajah sebenar mereka. Keberanian itu muncul setelah mereka membuat perkiraan cengkaman kuasa yang telah mereka miliki dalam sistem negara.

Taktik Libertarian Sosialis yang selama ini sanggup lama bersabar, hakikatnya dijayakan oleh sikap politik bodoh orang kita yang rabun membezakan antara kesempatan dan perangkap. Hanya tahu mengaplikasikan pragmatik namun dengan versi dangkal yang memakan diri & mudah beralah dengan prinsip ideologi yang bertentangan demi kemenangan mudah.

Tragedi yang mencabar patriotisme kita hari ini, sepatutnya menyedarkan semua bahawa realiti politik pasti dilatari oleh dukungan ideologi. Berapa banyak yang berlaku di dalam politik bahawa pihak yang mendakwa sedang menunggangi pihak lain, hakikatnya secara tanpa sedar dia sedang ditunggangi dengan jayanya.

Abdul Mu'izz Muhammad
4 Disember 2019.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...