Sunday, 31 August 2014

Jom Terjah: Proton Baru





Melalui laman Micro Proton, http://www.betulbetulonz.com.mymendedahkan beberapa gambar model terbaru dalam dan luar rekabentuk proton Iriz, kereta kompak pertama syarikat itu. Melalui laman tersebut jelas menunjukkan Proton Iris menekankan 2 aspek utama iaitu tahap keselamatan terbaik dan ekonomi bahan api, namun ditawarkan pada harga mampu milik.

Proton Iriz akan dikuasakan dua jenis enjin terbaharu dengan teknologi VVT dalam sesaran 1.3 dan 1.6 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 110hp dan tork 148Nm, selain mampu mencecah kelajuan lebih 180 km/j. Proton Iriz juga akan dipadankan transmisi manual dan automatik, serta ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Seperti dalam gambar yang didedahkan, Proton Iriz dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem ABS, EPS dan Hill Hold Assist, serta telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).






Tuesday, 26 August 2014

Saman Kerana Edar Gambar Bogelnya

New York – Sanggup menyertai program realiti Dating Naked, iaitu sebuah rancangan berdating sambil bogel, namun kemudian menyaman penerbit rancangan kerana didakwa melepaskan adegan bergusti hingga menampakkan alat sulitnya.
Itu yang berlaku kepada salah seorang peserta program tidak bermaruah itu, Jessi Ninewitz, yang marahkan penerbit dan mendakwa penerbit rancangan itu, Viacom telah memanupulasi dan mempergunakannya hinggakan gambar alat sulitnya terlepas untuk tayangan.
Dia mendakwa penerbit berjanji akan mengaburkan alat sulitnya dalam adegan bergusti, tetapi dia tidak kisah berbogel dalam program itu. Dalam adegan itu, Jessi dan pasangannya sedang bermain baling bola dalam keadaan bogel dan kedua-duanya kemudian bergusti di atas pasir di pantai.
Bahagian belakang punggungnya betul-betul mengadap kamera ketika aksi gusti itu dirakamkan.
Jelasnya, selepas sahaja adegan itu disiarkan di TV, dia mendapat banyak komen malah ada gambar itu dimuat naik dalam media sosial.
Selepas rakaman itu tersebar, Jessi berkata, lelaki yang berpacaran dengannya tidak lagi menghubunginya. Dia kini menuntut saman sebanyak $10 juta dolar.   (http://mynewshub.my)
Gambar hiasan

Sunday, 24 August 2014

Ditangkap Selepas Mengadu Tak Dapat Seks

Montana (Amerika Syarikat): Seorang lelaki, William McDaniel, 53, ditangkap kelmarin selepas didakwa memanggil polis untuk mengadu berkenaan seorang pelacur enggan mengadakan seks dengannya.
Menurut polis, McDaniel mengunjungi pusat pelacuran di Butte, Montana dan memberikan seorang wanita wang AS$350 (RM1,120) supaya menari untuknya.
Bagaimanapun, tarian itu dihentikan tiba-tiba apabila McDaniel menjadi agresif cuba memeluk wanita itu.
Marah kerana penari itu menolak kehendaknya, lelaki berkenaan menelefon 911 untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa wanita itu tidak mahu mengadakan seks dengannya.
Polis yang tiba di tempat kejadian menahan McDaniel atas tuduhan melanggan pelacur. - Agensi 

Wednesday, 20 August 2014

MUBARAK Mahu Mahathir Hentikan Mengkritik Najib

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan ‘perang dingin’ secara terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata Dr Mahathir boleh menyuarakan sebarang teguran secara kekeluargaan kepada Najib dan bukannya mengkiritik dengan cara terbuka.
“Mubarak amat kesal dengan kritikan terbuka yang diluahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Implikasi keterbukaan ini akan merosakkan perjuangan yang Tun (Dr Mahathir) sendiri akui masih belum selesai lebih-lebih lagi ia kini telah pun mengelirukan anggota-anggota parti dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Najib kerana melihat dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.
Dr Mahathir berkata berdasarkan situasi semasa dalam negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru itu beliau terpaksa mengambil pendekatan menarik balik sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.
“Harapan saya Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13). Malangnya, sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan daripada segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Najib,” kata Dr Mahathir dalam blognya itu.
Abdul Aziz berkata Dr Mahathir perlu memberi peluang kepada Najib untuk meneruskan kepimpinannya kerana Najib telah menunjukkan prestasi yang baik berikutan ekonomi negara semakin berkembang pesat.
Menurutnya Najib memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Politik (PTP) sebagai langkah berani untuk melonjakkan negara ini ke arah mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.
“Dasar ini dan lain-lain inisiatif baru yang dilancarkan telah mula menunjukkan kesan positif sehingga pertumbuhan ekonomi terus mantap, kepercayaan pelabur asing dan tempatan meningkat.
“Proses penstrukturan ini diiktiraf institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.
Selain itu, Abdul Aziz berkata indeks dan penarafan antarabangsa juga semakin meningkat di samping pendekatan kesederhanaan dan dasar luar yang menekankan diplomasi ‘secara lembut’ di bawah kepimpinan Najib telah membuahkan hasil yang baik.
Ini terbukti dalam cara Najib menangani tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan nahas Penerbangan MH17, katanya.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.
Gerakan mencari pesawat itu, yang membabitkan pelbagai negara, bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, pula terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.
Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.
BERNAMA

Saturday, 16 August 2014

Gempar: Isu Najib Bercuti Keliling Eropah

Maklumat penerbangan dari data yang diperolehi secara umum menyokong dakwaan laman Asia Sentinel bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercuti di Eropah, selepas lawatan kerja ke Netherlands untuk menangani isu penerbangan MH17, dua minggu lalu.
Maklumat dari laman penjejak penerbangan FlightRadar24 menunjukkan pesawat pengangkut VIP Tentera Udara Diraja Malaysia 9M-NAA dilihat di beberapa lapangan terbang Eropah, termasuk di beberapa lokasi yang disebut dalam laporan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada data awam yang menyebut identiti individu dalam penerbangan berkenaan.
Data itu juga tidak menyatakan dengan jelas sama ada Najib atau pesawat berkenaan berada di Cannes, France, seperti didakwa.
Pesawat berkenaan boleh digunakan oleh Agong dan ketua kerajaan lain, menteri, timbalan menteri, orang kenamaan asing dan pegawai tinggi kerajaan.
Laman Asia Sentinel pada hari Rabu lalu melaporkan bahawa “perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Paris”.
“Mereka dilaporkan bertemu playboy China, Taek Jho Low dan bekas perdana menteri Qatar, dan kemudiannya dipercayai pergi ke Sardinia di Itali, ke Cannes di French Cote d’Azur, kemudiannya kembali ke Sardinia bersama apa yang disebut sebagai rombongan besar jutawan Cina Malaysia.
“Dari Sardinia, kumpulan itu berlepas di Rom sebelum kembali ke London,” lapor Asia Sentinel.
Perjalanan itu didakwa berlangsung bermula 1 Ogos, selepas Najib mengadakan mesyuarat dan sidang media bersama mengenai krisis MH17 dengan Perdana Mneteri Belanda Mark Rutte di The Hague pada 31 Julai.
Laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu mendakwa setiausaha akhbar perdana menteri Azlin Alias tidak menjawab pertanyaan mengenai kunjungan itu, seperti didakwa.
“Ia adalah percutian yang dirancang sejak beberapa lama sebelum ini, sebelum tragedi (MH370 dan MH17). Bagaimanapun, lebih menjimatkan jika ia ditunda, melihat kepada apa yang dilalui oleh negara ini,” kata sumber tersebut seperti dilaporkan Asia Sentinel.
Malaysiakini menghubungi setiausaha akhbar Najib, Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad untuk mengesahkan dakwaan dalam laporan Asia Sentinel.
Katanya: “PM sedang bercuti,” dan meletak gagang telefon ketika diminta menjelaskan lebih lanjut.
Usaha untuk menghubungi Low juga masih belum berjaya buat masa ini.
Laporan sebelum ini menyebut, Najib sepatutnya berlepas ke Netherland pada 30 Julai, tiba pada 31 Julai untuk lawatan kerja ke The Hagua dan Hilversum.
Bagaimanapun, maklumat FlightRadar24 menyebut, pesawat 9M-NAA berlepas dari Subang Airport on July 28 pada 6.40 petang, ke Bangkok.
Ia berada di Bangkok untuk kira-kira dua hari sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, dengan perhentian singkat selama dua jam di Dubai.
Ia tiba di Amsterdam pada 31 Julai, 8.03 pagi waktu tempatan (2.03 petang waktu Malaysia).
Dua hari kemudian, pada 3 Ogos, pesawat tersebut dilihat meninggalkan Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris pada 2.39 pagi waktu tempatan (10.39 petang waktu Malaysia).
Destinasi penerbangan tersebut juga tidak direkodkan, namun kemudian mendarat di Basel, Switzerland, kira-kira empat jam kemudian. Secara purata, penerbangan dari Paris ke Basel mengambil masa satu jam 23 minit.
Tiada rekod menunjukkan pergerakan pesawat tersebut dari Basel untuk tempoh enam hari, sehinggalah ia berlepas dari situ pada 9 Ogos, 9.24 pagi waktu tempatan (3.24 petang waktu Malaysia) ke Sardinia.
Selepas kira-kira tujuh jam penerbangan ke Sardinia, pesawat itu muncul di Rom menghala ke London.
Ia mengambil masa kira-kira 75 minit untuk penerbangan terus dari Sardinia ke Rom.
Walaupun maklumat FlightRadar24 tidak menunjukkan perjalanan Sardinia-Cannes-Sardinia, rombongan itu mungkin menggunakan pengangkutan lain untuk perjalanan itu, atau mungkin perjalanan 9M-MAA dikeluarkan dari rekod.
sumber DISINI

Friday, 15 August 2014

Apa Pilihan Yang Khalid Ada?

Jawatan MB wanita pertama semakin hampir menjadi kenyataan. Wan Azizah sudah membuktikan beliau ketika ini mempunyai sokongan 30 daripada 56 Adun, majoriti nyata sudah berpihak kepada Presiden PKR itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.
Kejayaan Wan Azizah membuktikan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti, termasuk melalui dua Adun Pas iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin, selain sokongan 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR sedia ada, bukan saja menunjukkan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor ini sudah berada di penghujungnya, bahkan juga menjadikan keputusan mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti sudah tidak bermakna lagi.
Harapan Pas dengan menangguhkan mesyuaratnya sebanyak dua kali untuk menjadikan ia mempunyai kuasa tawar menawar, boleh menunjuk kuasa dan dilihat penting dalam mengakhiri krisis, sudah menjadi sia-sia saja ketika ini. Pas juga sudah tidak berupaya lagi menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar.
Sama ada Pas terus menyokong Khalid atau akur dengan kesepakatan dalam PR yang telah terbentuk sejak sekian lama, semuanya sudah tidak bernilai lagi. Mesyuarat Pas pada 17hb nanti, jika ia berpendirian menyokong pertukaran Khalid dan akur dengan kedudukannya sebagai rakan gabungan dalam PR, hanya sekadar "rubber stamp" kepada sokongan Shaari dan Hasnul kepada Wan Azizah.
Kiranya pada 17 Ogos nanti, Pas terus menyokong Khalid, ia juga tidak mampu mempertahankan kedudukan kerajaan empat Exco yang sedang dipimpinnya.
Keberanian Shaari dan Hasnul menyatakan pendirian lebih awal daripada partinya sendiri telah menunjukkan bahawa mereka mewakili majoriti ahli ahli Pas untuk tidak berkiblatkan kepada Hadi Awang tetapi sebaliknya kepada Pakatan Rakyat.
Bayangkan, jika terpaksa menunggu sehingga 17 Ogos untuk Pas menyatakan pendiriannya, tentulah dalam masa yang sama juga menyebabkan parti itu terus dipertikaikan dan terdedah kepada bermacam-macam spekulasi. Ia akan menjadikan imej Pas begitu teruk di pandangan umum, selain mula berpecah antara kumpulan ulama dan profesional.
Tetapi dengan keberanian dua Adun ini, semuanya telah berakhir. Nama Pas telah terpalit dengan kerosakan imej yang teruk kerana Hadi Awang dilihat gagal untuk mengawal wakil rakyatnya sendiri.
Shaari dan Hasnul telah menyelamatkan PR untuk terus kekal dianggotai oleh dua parti utama iaitu PKR dan DAP serta dapat memainkan peranan untuk terus menyaingi Barisan Nasional yang sudah semakin lemah.
Dalam masa yang sama, kenyataan Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor sebelum ini beliau masih mempunyai sokongan majoriti, dengan sendirinya sudah terbatal. Meskipun Khalid mencabar agar pengakuan sokongan majoriti itu diterjemahkan dalam Dewan Undangan Negeri melalui usul tidak percaya terhadapnya, dari segi pandangan umum mengesahkan bahawa kelayakan moral untuk beliau terus bertahan sudah pun hancur berkecai.
Talian hayat kerajaan empat Exco yang dipimpin oleh Khalid hanya bergantung kepada faktor masa saja. Oleh kerana Sultan Selangor ketika ini berada di luar negara dan hanya akan kembali ke tanahair pada 23 Ogos, pilihan Khalid semakin terbatas sekarang ini. 
Jika kembalinya Sultan Selangor daripada luar negara lalu Khalid mengadap baginda dan memohon diadakan sidang khas DUN, semuanya pasti terjawab ketika itu.
Jika 30 Adun terus kekal bersama Wan Azizah, terpelantinglah Khalid. Itu belum dikira lagi jika Pas juga membuat keputusan pada 17 Ogos nanti turut menolak kepimpinan Khalid. Jika diadakan undian, Khalid yang kini Adun Bebas hanyalah mendapat 12 undi daripada Adun UMNO saja.
Tetapi difahamkan juga Khalid mempunyai tempoh sehingga November untuk menangguhkan sidang DUN. Kalau itu pilihannya, bolehlah beliau mengelakkan undi tidak percaya sehingga November serta bolehlah terus mengekalkan jawatan Menteri Besarnya lebih lama lagi.
Jika Khalid akur dengan kehilangan majoritinya, sekembalinya Sultan Selangor daripada luar negara ini pastilah beliau akan mengemukakan surat perletakan jawatannya. Ia akan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali kepada PR sebagaimana mandat rakyat dalam pilihanraya umum lalu.
Namun sekiranya Khalid tidak puas hati, beliau juga boleh memohon kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi diadakan suatu pilihanraya negeri. Kiranya diadakan pilihanraya negeri dan kerajaan, menurut SPR, mereka terpaksa membelanjakan RM50 juta bagi kos pilihanraya.
Segala-galanya kini terserah kepada Khalid membuat keputusan. Kecuali jika dalam tempoh sehingga 23 Ogos ini atau selewat-lewatnya sehingga November depan, beliau dapat melakukan misi yang sangat sukar iaitu menterbalikkan semula sokongan majoriti Adun kepadanya daripada yang sudah diperolehi oleh Wan Azizah, hayat politik Khalid sudah boleh dikira berakhir dan adakah akan juga  mengheret hayat Pas dalam Pakatan?

Wednesday, 13 August 2014

Presiden Pas Mahu Ahli Didalam PR Bertenang


PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta supaya semua ahli di dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya bertenang menghadapi krisis yang semakin meruncing berkenaan isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Kemelut yang dihadapi PR berlaku apabila terdapat percanggahan pendapat antara Presiden PAS dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum ini Anwar telah mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Namun, Majlis Syura Ulama PAS menyatakan pendirian menolak cadangan PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baharu, sebaliknya mempertahankan Khalid untuk kekal di posisi yang dipegang beliau sekarang ini.

“Saya menyeru kepada semua ahli supaya bertenang dan meminta pertolongan daripada Allah dengan bersabar dan sembahyang.

“Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Al Baqarah-45),” katanya di dalam laman Facebooknya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata keempat-empat Exco PAS Selangor akan menjalankan tugas seperti biasa.

“Kerajaan negeri masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa sebelum menunggu keputusan yang akan diumumkan daripada PAS Pusat.

“Kepada semua pemimpin parti, ahli dan para penyokong dinasihatkan supaya bertenang menghadapi konflik politik yang sedang melanda Selangor,” ujarnya. ~fmt

Ababil1 Menakutkan Israel

Buat pertama kalinya dalam peperangan kali ini, Briged Al-Qassam telah memperkenalkan pesawat udara tanpa pemandu mereka yang dinamakan Ababil 1 kepada umum. Al-Qassam mendakwa bahawa pesawat tanpa pemandu itu yang sarat dengan bahan letupan telah dilancarkan ke ruang udara Israel. Al-Qassam telah berjaya menghasilkan beberapa jenis pesawat udara tanpa pemandu, antaranya model A1A yang pertama sekali dicipta, jenis A1B yang berupaya melancarkan peluru berpandu dan jenis A1C yang boleh melakukan serangan Kamikaze (meletupkan diri sendiri dengan melanggar lokasi sasaran).
Wilayah haram Israel dirakam oleh Pesawat Ababil 1

Kehebatan yang ditonjolkan oleh Briged Al-Qassam sepanjang Perang Al-Asful Ma’kul kali ini memberikan umat Islam sinar harapan bahawa umat Islam di Palestin tidak akan mengalah begitu sahaja dan menyerahkan tanah mereka kepada rejim Zionis Israel tanpa sebarang penentangan. Bahkan Al-Qassam menjanjikan lebih banyak kejutan kepada Israel sekiranya mereka terus berdegil untuk menindas dan tidak mengembalikan hak-hak penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Tidak keterlaluan jika kita katakan Briged Al-Qassam adalah ibarat tentera Salahuddin Al-Ayyubi atau ketumbukan Muhammad Al-Fateh pada zaman ini. Merekalah hero umat Islam pada hari ini.

Surat Buat Tok Guru Nik Aziz



Ke hadapan Tok Guru Nik Aziz yang disayangi.


Apa khabar Tok Guru? Semoga Tok Guru sentiasa tabah dalam menghadapi penyakit yang dihidapi. Saya yakin, Tok Guru dikehendaki Allah untuk terus hidup bagi menjadi penyelamat kepada parti dan jemaah yang Tok Guru pimpin ini ketika ia sedang dilanda badai sekarang.


Tok Guru,


30 tahun lalu iaitu pada 1983, saya menjejak kaki ke Pejabat PAS Kelantan untuk bertugas sepenuh masa dengan PAS. Ketika itu Tok Guru adalah pesuruhjaya PAS Kelantan.


PAS keseorangan ketika itu Tok Guru. Tidak ada kerjasama dengan mana-mana pihak. Sebagai pekerja muda yang baru berusia 20 tahun, saya tinggal di bangunan PAS Kelantan di Jalan Tok Pati. Setiap pagi Jumaat saya akan bersama-sama dengan allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakub mempersiapkan Dewan Zulkifli Muhamad untuk Tok Guru mengajar.


Di situlah tempat bekerja dan di situlah juga tempat saya tidur. Saya masih ingat lagi bagaimana saya terpaksa makan mi segera selama dua hari ketika Kota Baru dilanda banjir pada tahun itu. Tanyalah Hashim Omar tentang cerita ini.


Kuliah Tok Guru ketika itu tidak ramai orang yang mendengarnya berbanding sekarang, tetapi cukup untuk memenuhi Dewan Zulkifli. Kuliah Tok Guru semakin ramai dari hari ke hari tetapi PAS hanyalah parti pembangkang yang mempunyai Adun tidak seberapa orang ketika itu kerana PAS bersendirian selepas ditendang keluar Barisan Nasional (BN). Tok Guru tentu lebih faham bagaimana ia berlaku.


Husam Musa (kini datuk) adalah bos saya ketika itu. Dia yang baru tamat pengajian dari Universiti Malaya (UM) bertekad tidak mahu bekerja dengan kerajaan kerana mahu berkhidmat sepenuh masa dengan jemaah. Husam pelajar yang cerdik masa di UM. Dia juga adalah pemimpin pelajar. Husam adalah setiausaha Penerbitan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).


Bagi memastikan beliau tidak dipaksa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikannya biasiswa agar bekerja dengan kerajaan, Husam tidak pergi ke peperiksaan akhir di UM Tok Guru. Akhirnya beliau hanya lulus dengan gred yang rendah dan dibiarkan begitu saja oleh JPA tanpa menawarkan tempat di mana-mana jabatan kerajaan.


Untuk membolehkan PAS mempunyai media, kami terbitkan Gema Pemuda. Mula-mula kami edarkan di Kelantan saja. Tanpa modal yang cukup tetapi dengan semangat tinggi, kami usahakan projek ini untuk jemaah. Kami terbitkan seminggu sekali dan edarkan di tempat kuliah Tok Guru. Apabila masuk keluaran ketiga, kami mula edarkan di negeri lain iaitu Kedah dan Terengganu pula.


Begitulah susahnya PAS ketika itu. Tetapi kami sangat senang bekerja. Tidak ada fitnah memfitnah dan serangan yang bukan-bukan kepada kami di kalangan petugas PAS.


Pada 1990, menerusi kerjasama dengan Semangat 46, kita berjaya merampas Kelantan. Semua kerusi DUN di Kelantan berjaya kita menangi bersama dengan Semangat 46 pimpinan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Tok Guru dilantik sebagai menteri besar. Alhamdulillah melalui kerjasama itu, kerajaan kita di Kelantan kekal sehingga kini.


Kita berjaya menang besar lagi pada 1999 apabila kita bekerjasama dengan Barisan Alternatif (BA) iaitu bersama dengan DAP dan PKR. Bukan saja berjaya mengekalkan Kelantan, kita juga berjaya merampas Terengganu. Kita berjaya menang atas sentimen masyarakat Melayu terhadap penganiayaan yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor menubuhkan Gerak ketika itu dan membawa pelbagai pihak bersama dengan PAS melawan BN.


Namun apabila datang isu Dokumen Negara Islam, kita kalah teruk dalam pilihan raya 2004 kerana, DAP mengambil sikap keluar BA selepas tidak senang dengan kita.


Kita kehilangan Terengganu dan hampir kehilangan Kelantan. Beza kita dengan BN hanya tiga kerusi saja di Kelantan. Apabila pilihan raya kecil Pengkalan Pasir diadakan, kita kalah dan menjadikan beza kita dengan BN hanya satu kerusi.


Di era inilah Tok Guru banyak diuji. Pelbagai ujian datang Tok Guru. Yang paling besar dan saya masih ingat adalah Tok Guru diuji dengan menantu Tok Guru yang ketika itu menjadi ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Pelbagai fitnah yang Tok Guru hadapi.


Ingat tak lagi bagaimana Husam pergi menangis di depan Tok Guru memohon agar menantu Tok Guru itu ditamatkan perkhidmatannya? Akhirnya Tok Guru bersetuju dengan pandangan Husam dan selamatlah Tok Guru daripada fitnah itu.





Dengan pelbagai projek yang dibuat olehnya, kerajaan Kelantan berjaya mengharungi zaman cemas apabila bermajoritikan satu kerusi saja di Kelantan. Akhirnya pada pilihan raya umum 2008, kita menang besar di Kelantan dan juga Malaysia. Kita juga berjaya membentuk kerajaan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Selepas itulah terbentuknya Pakatan Rakyat (PR).


Melalui PR juga kita menang besar dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu walaupun kita kehilangan Kedah kerana perpecahan dalaman yang berlaku di dalam parti kita.


Tok Guru yang dikasihi,


Kini, buat pertama kalinya PR berada dalam suasana paling runcing sekali. Ini ekoran krisis yang berlaku di Selangor apabila PKR tidak berpuas hati dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka memutuskan untuk menukar Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Namun, sebelum mesyuarat AJK PAS Pusat yang akan memutuskan sikap kita, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid. Tok Guru juga kemudiannya menyokong pendirian presiden itu. Majlis Syura Ulama yang diketuai Tok Guru juga membuat keputusan yang sama, menyokong Khalid kekal sebagai MB.


Namun sehari selepas mesyuarat itu, Tok Guru dalam sidang media di Majlis Rumah Terbuka PAS Kawasan Kota Baru berkata kepada media, Tok Guru hanya mempengerusikan mesyuarat itu setengah jam saja kerana tidak sihat. Tok Guru juga kata, tidak berminat untuk campur urusan MB Selangor itu dan biarlah orang Selangor menguruskannya.


Daripada kenyataan itu, saya terasa Tok Guru cuba untuk menjarakkan diri Tok Guru dengan keputusan Majlis Syura itu. Apa sebabnya semua orang tidak tahu. Mereka hanya boleh meneka-neka saja.


Saya beranggapan Tok Guru cuba menjadi orang tengah dengan tidak memihak ke mana-mana pihak yang sedang berbeza pendapat ini.


Tok Guru yang disayangi,


Sejak 10 tahun lalu, saya mula merasai kehadiran suasana yang tidak sihat dalam parti dan jemaah kita. Ramai orang muda di kalangan kita yang mudah sangat membuat tuduhan dan fitnah sesama kita, seolah-olah nilai ukhuwah yang ditanam dalam setiap usrah dan tamrin yang kita lalui dulu sudah tidak ada.


Sejak kebelakangan ini Tok Guru, perkara ini semakin menjadi-jadi. Ada-ada saja tuduhan yang dilemparkan sesama kita. Mereka yang paling banyak menjadi mangsa adalah pihak yang mahu mempastikan PR yang kita dapat manafaat maksima daripadanya terus kekal dan utuh.


Saya antara sasaran mereka kerana tugas saya adalah menulis dan premis utama tulisan saya adalah mempertahankan kerjasama yang kita bina melalui PR. Turut diserang adalah beberapa pemimpin PAS. Mereka dituduh lebih wala' kepada pemimpin lain daripada pemimpin parti kita sendiri. Padahal jika itu benar, baik mereka menyertai parti lain bukan menyertai parti Islam PAS ini.


Ada antara kita yang mengeluarkan fatwa golongan yang mempertahankan PR ini sebagai Munafik Haraki.


Ada juga antara kita yang melancarkan Gerak 2 selepas Gerak yang pertama dilancarkan allahyarham Fadzil dulu. Yang peliknya Tok Guru, Ustaz Fadzil menarik seramai mungkin orang perseorangan dan pertubuhan untuk bersama dengan kita dalam membela Anwar yang teraniaya, tetapi Gerak 2 mempunyai tujuan yang lain.


Gerak 2 dilancarkan untuk membela seorang individu yang kononnya teraniaya walaupun terpaksa menghalau sekurang-kurang dua parti yang mempunyai pengikut puluhan ribu yang selama ini berjuang bersama dengan kita.


Kita sekarang dalam dilema Tok Guru. Antara membela seorang individu dengan membela dua parti yang selama ini menjadi rakan kita berkempen untuk mendapatkan mandat dari rakyat.


Tok Guru yang dikasihi,


Saya penuh keyakinan, PAS mendapat manafaat maksima apabila kita bekerjasama dengan pihak lain berbanding dengan kita bersendirian.


Lihatlah apa berlaku kepada kita di tahun 1980-an apabila kita bersendirian dan pada 2004 apabila pihak lain meninggalkan kita.


Bandingkan dengan apa yang kita dapat apabila kita bersama dengan Semangat 46 pada 1990 dan apabila bersama Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013.


Kini Tok Guru, ada semacam satu kecenderungan kita hendak diajak agar bersendirian semula. Semua keputusan, ucapan, tulisan melalui media sosial dan sebagainya menjurus ke arah kita bersendirian.


Saya dengan rendah hati memohon Tok Guru agar campur tangan segera. Jangan dibiarkan jemaah kita ini terpaksa berundur ke belakang iaitu zaman 30 tahun lalu. Jika itu berlaku saya yakin, kita akan memerlukan 30 tahun lagi untuk membina semula jemaah kita ini untuk mencapai tahap yang ada sekarang.


Sekian Tok Guru. Terima kasih kerana sudi membaca coretan panjang saya ini. Saya sanggup bersengkang mata untuk menulisnya kerana hanya Tok Guru harapan saya untuk menyelesaikan kemelut ini. – TMI





Saturday, 9 August 2014

GEMPAR - PKR PECAT KHALID IBRAHIM

Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib TAN SRI KHALID IBRAHIM (Cabang Kuala Selangor).

Kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bertarikh 9 Ogos 2014.

Berikut adalah keputusan yang dicadangkan Lembaga Disiplin, yang turut mempertimbangkan surat-surat balasan oleh TAN SRI KHALID IBRAHIM bertarikh 6 Ogos 2014 dan 8 Ogos 2014, dan dipersetujui Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 21 Julai 2014 yang sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.

Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat.

Majlis Pimpinan Pusat turut mengambil maklum bahawa:

• Beliau ingkar terhadap keputusan yang telah dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Dato’ Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai:
o menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2;
o menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor;

• Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor;

• Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu;

• Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.
Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa TAN SRI KHALID IBRAHIM dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta.

DATO’ DR TAN KEE KWONG
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT
9 OGOS 2014
Sumber: MNH.

Sunday, 3 August 2014

Tony Pua Syok Sendiri: Dr Khairuddin Aman

Kenyataan kononnya Pas akan lenyap di Selangor sekiranya pilihan raya mengejut diadakan ekoran krisis dalam kalangan pakatan pembangkang berhubung kedudukan pucuk pimpinan negeri Selangor gagal diselesaikan merupakan kenyataan 'syok sendiri.'

Sambil menempelak kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap kuat dan bangkit dengan jenteranya yang semakin meluas di semua peringkat.

Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti, peribadi, bakti mereka dan persoalan Pas akan lenyap merupakan suatu yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan di negara ini sejak 51 tahun lalu.

"Pas tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu, kita jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi untuk kita kuasai.

"Kita ada jentera di mana-mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.

"Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya adalah 'syok sendiri'," katanya yang dipetik Utusan Malaysia, semalam.

Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan pembangkang berisiko kalah, manakala Pas pula mungkin lenyap kerana kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.

Amaran itu dibuat berikutan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar yang boleh menimbulkan perpecahan ketara pakatan pembangkang.

Dr. Mohd Khairudin berkata, sekiranya pakatan pembangkang tewas, PKR seharus dipersalahkan sebagai punca dan bukannya Pas kerana mencetuskan konflik ini.

"Pas hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah PKR," katanya.

"Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. Pas hanya mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk menurunkan dia," ujarnya.

Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap Abdul Khalid, maka adalah menjadi tanggungjawab Pas sebagai pemimpin ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.