Tuesday 24 September 2024

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang benar dengan yang salah. 

Keadaan tersebut bertambah parah dengan kemunculan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram, Tiktok dan pelbagai lagi yang membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran fitnah. 

Perbuatan fitnah boleh terjadi apabila seseorang mereka-reka sesuatu berita dan menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah pihak lain. Fitnah juga boleh berlaku apabila kita menerima berita tentang sesuatu perkara tanpa memastikan kesahihannya kemudian menyebarkannya sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan ataupun tidak. 

 Allah SWT memperingatkan tentang bahaya perbuatan fitnah dalam suatu peristiwa besar berkenaan tohmahan terhadap Saidatina Aisyah RA sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran surah al-Nur ayat 11-12 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata." 

Masyarakat kini terutamanya generasi muda mudah terdedah dengan pelbagai anasir yang mendorong mereka untuk melakukan amalan buruk serta menyukarkannya untuk berbuat kebaikan. 

Bagi golongan yang telahpun melakukan amalan kebajikan pula, pahala amalan tersebut sering disia-siakan kerana bercampur aduk dengan perbuatan mungkar yang dilakukan. 

Rasulullah SAW telah memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia." (Riwayat Muslim) 

Imam Nawawi RA ketika menghuraikan hadis berkenaan menyatakan bahawa: "Makna hadis ini ialah suatu galakan supaya bersegera untuk beramal, sebelum mengalami kekangan untuk melaksanakannya berdasarkan apa yang terjadi seperti ujian yang menyibukkan dan berganda-ganda, yang diselubungi kegelapan malam yang menggelap, tanpa cahaya bulan. 
Bahkan Nabi Muhammad SAW menyifatkan ia sebagai salah satu kepayahan fitnah ujian tersebut, ialah seorang yang beriman pada petang hari boleh menjadi kafir pada subuh esoknya ataupun sebaliknya. Ini disebabkan dahsyatnya ujian ini, yang membolak-balikkan manusia dalam satu hari." 

Sebahagian masyarakat kini seolah-olah telah hilang rasa malu kerana sanggup melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan dengan penuh bangga atas alasan hak asasi manusia. Sebaliknya mereka menyalahkan dan menentang pihak yang menyampaikan teguran serta turut berkeras mempertahankan kebatilan. 

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 103-105 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat kelak." 

Sebahagian masyarakat pula semakin gemar mengikuti budaya yang bercanggah dengan syariat dan tidak jelas asal usulnya seperti kebanyakan pesta hedonisme, perayaan Halloween dan pelbagai lagi yang dianggap sebagai trend terkini. 

Benarlah peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri bermaksud: "Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya." Kami (iaitu para sahabat) bertanya: "Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Siapa lagi (kalau bukan mereka)?." (Riwayat al-Bukhari) 

Sedarilah bahawa pembalasan terhadap segala perbuatan maksiat dan mungkar yang dilakukan bukan hanya menimpa golongan tertentu sahaja sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy beliau berkata: "(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini," dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang yang soleh?" Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis tersebut menjelaskan bahawa apabila kejahatan dan kemungkaran berleluasa maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. 
Bencana bukan hanya diturunkan kepada golongan yang melakukan kemungkaran sahaja, tetapi juga ke atas orang soleh dan beriman walaupun masing-masing akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan pada hari kiamat kelak. 

Justeru segala kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah sentiasa dicegah dan dihapuskan agar tidak terjadi malapetaka yang menimpa seluruh masyarakat. Marilah kita beriltizam untuk kembali mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar dan beristiqamah untuk melakukan kebaikan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan yang mencabar di akhir zaman ini. 

Teruskanlah amalan untuk menegakkanlah amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat melalui pelbagai program dakwah dan penguatkuasaan undang-undang syariah demi keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...