Thursday 12 December 2013

Apa lagi Paria Politik mahu naikkan

Kebimbangan utama rakyat kini ialah kenaikan kos sara hidup yang bagaikan tiada penghujungnya. Perkembangan selepas PRU 13 ini lebih menunjukkan kerajaan pimpinan Najib lebih ghairah untuk menaikkan apa saja yang boleh dinaikkan bagi menampung kantung negara yang makin berkurangan serta hutang yang makin bertambah.

Bermula dengan kenaikan minyak, penghapusaan subsidi gula, pengenalan cukai GST yang bermula pada 2015, kenaikan cukai pintu DBKL, kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus dan kini kenaikan juga bakal dikenakan kepada tambang LRT dan monorail serta kadar tol di beberapa lebuhraya.

Walaupun kenaikan tambang LRT dan monorail belum ada kepastian lagi, sebaliknya SPAD hanya mengatakan akan melakukan kajian menyeluruh yang meliputi pelbagai aspek yang turut melihatkan kenaikan kos berikutan meningkatnya tarif letrik, ia tentulah berkaitan kenaikan tambang. Kalau bukan untuk menaikkan tambang, apa perlunya kajian menyeluruh dilakukan?

Dan sama seperti hujah klasik untuk menaikkan cukai pintu DBKL iaitu kenaikan tidak pernah dilakukan sejak 21 tahun lalu, SPAD juga mengatakan kajian tambang LRT dan monorail tidak pernah dinaikkan sejak 12 tahun lalu.

Inilah cara kerajaan bekerja. Sebelum pilihanraya, nadanya semua elok-elok dan pelbagai janji bahawa tiada kenaikan atau pertambahan beban rakyat akan dilakukan, tetapi sebaik saja pilihanraya berakhir, semuanya berubah. Macam-macam hujah cuba dijustifikasikan untuk mrnghalalkan kenaikan itu.

Semuanya dibebankan ke bahu rakyat. GST dilaksanakan kerana untuk mengelakkkan negara bankrap seperti Greece dan subsidi pula dimansuhkan untuk menjadikan negara lebih kompetatif kononnya. Najib juga menyebut dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO bahawa subsidi tahunan yang ditanggung kerajaan sekarang ialah RM46 bilion dan hampir menyamai belanja pembangunan sebanyak RM49 bilion.

Sebab itu kata suami Rosmah Mansor ini, subsidi harus dimansuhkan. Hujahnya memang nampak logik dan masuk akal tetapi kenapa selama 22 tahun Mahathir berkuasa, tidak pernah terdengar langsung rungutan mengenai beban subsidi dan pembangunan tetap berjalan seperti biasa?

Menggunakan hujah cukai pintu DBKL tidak pernah dinaikkan selama 21 tahun dan tambang LRT serta monorail pula tidak pernah dikaji sejak 12 tahun lalu sebagai asas untuk menaikkannnya sekarang lebih menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menjalankan tugasnya. Kerajaan seolah-olah tiada sistem pentadbiran serta penjadualan yang sistematik dan semuanya dilakukan secara ad-hoc.

Bagi kenaikan tol di beberapa lebuhraya, walaupun juga belum ada kepastian mengenainya tetapi melihat kcenderungan semuanya menaik sekarang ini, tidak mustahil kenaikan itu akan berlaku. Tambahan pula sebelum pilihanraya lalu beberapa pemegang konsesi tol begitu bermurah hati memberi potongan harga setiap kali musim perayaan serta menanggguhkan kenaikan kadar tolnya. Kononnya untuk mengurangkan beban hidup rakyat!

Maka, inilah masanya yang sesuai untuk mengutip kembali keuntungan daripada pelaburan selama ini. Lagi pun inilah cara kapitalis bekerja.

Semua kenaikan yang dilakukan kerajaan sekarang disandarkan kepada rakyat untuk menanggungnya. Rakyat diminta berjimat-cermat dan mengubah cara hidup tetapi pimpinan kerajaan tetap enjoy dengan gaya lama. Perbelanjaan perjalanan, keraian dan jamuan tetap mewah walaupun hutang negara kian meningkat.

Dalam hal ini rakyat tentu saja berhak mempunyai tangggapan bahawa semua kenaikan itu adalah untuk menanggung perbelanjaan mewah Perdana Menteri, keluarga dan para menterinya yang langsung tidak menunjukkan keinsafan untuk berjimat-cermat dan mengubah gaya hidup di zaman yang sepatutnya sama-sama menanggung kesusahan ini.

Dengan menaikkan satu demi satu beban kehidupan rakyat, Najib dan kerajaan juga tidak lagi bercakap mengenai slogan dari syurga " rakyat didahulukan", "kami mendengar" " kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat" dan banyak lagi yang kerap diulang-ulang sebelum ini. Semua slogan itu sudah hilang sekarang ini. Semua janji pilihanraya juga sudah dimungkiri dah dilupai.

Itulah bentuk dan trend kerajaan yang sedang dipimpin oleh Najib sekarang. Jalan untuk menampung kekeringan kantung perbendarahaan negara hanya dilihat dengan cara menaikkan cukai, menghapuskan subsidi dan menyedut lebih banyak wang rakyat.

Mereka tidak melihat dari aspek mengurangkan ketirisan, pemborosan, rasuah, berjima-cermat, mengurangkan amalan bermewah dan menambah kreativiti dalam menjana pendapatan negara.

Oleh itu sehingga lima tahun akan datang, percayalah, lebih banyak kenaikan akan berlaku. Kos hidup rakyat juga akan terus meningkat. Sementara kerajaan sedang memikirkan untuk menaikkan banyak lagi harga barangan dan perkhidmatan selepas ini, apa yang mampu difikir oleh rakyat pula hanyalah "apa lagi akan naik selepas ini?". 

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...