BERIKUT adalah ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73. (Bahasa Melayu)
Puan Presiden,
1. Saya ingin turut serta mengucapkan tahniah atas pelantikan Puan sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73.
2. Saya yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman luas Puan, sesi ini akan mencapai objektif tema sesi kali ini. Saya memberi jaminan terhadap sokongan penuh dan kerjasama Malaysia ke arah mencapai semua matlamat mulia ini.
3. Izinkan saya untuk merakamkan penghargaan kepada Presiden terdahulu, Yang Berbahagia Miroslav Lajcak, atas dedikasi dan kepemimpinan beliau melaksanakan sesi UNGA ke-72.
4. Saya amat menghargai usaha berterusan Setiausaha Agung dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas usaha berterusan dalam memacu serta menguruskan aktiviti PBB di seluruh dunia.
5. Secara khususnya, saya merakamkan penghargaan kepada mendiang Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB yang ketujuh dari 1997 hingga 2006, yang meninggal dunia pada Ogos lalu. Malaysia mempunyai hubungan kukuh dan aktif dengan PBB ketika perkhidmatan beliau.
Puan Presiden,
6. Tema Perhimpunan Agung sesi ke-73 iaitu ‘Menjadikan PBB Relevan Kepada Semua: Kepemimpinan Global dan Perkongsian Tanggungjawab Ke arah Masyarakat Aman, Sama Rata dan Mapan’ kekal menjadi aspirasi nenek moyang kita. Tema ini amat relevan dan tepat pada masanya. Ia amat bersesuaian dalam konteks Malaysia Baharu. Kerajaan baharu Malaysia yang dibentuk atas mandat kukuh suara rakyat, komited dalam memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki hak sama rata dalam perkongsian kemakmuran dan kekayaan negara.
7. Malaysia baharu terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu. Rakyat Malaysia memutuskan untuk menukar kerajaan yang berkuasa selama 61 tahun, iaitu sejak kemerdekaan. Kami melakukannya kerana kerajaan terdahulu mengamalkan politik kebencian, ketaksuban perkauman dan agama, selain rasuah yang berleluasa. Proses peralihan kuasa berlangsung secara demokratik tanpa keganasan atau kehilangan nyawa.
8. Rakyat Malaysia mahukan Malaysia baharu yang mengamalkan dasar keadilan, tadbir urus baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Mereka mahukan Malaysia yang menjadi rakan semua dan tidak bermusuh dengan sesiapa. Malaysia yang kekal tidak berpihak dan berkecuali. Malaysia yang membenci peperangan dan keganasan. Mereka juga mahukan Malaysia yang berani bersuara dalam menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan, tanpa rasa takut atau gentar. Malaysia baharu yang percaya kepada kerjasama berdasarkan sikap saling menghormati demi manfaat bersama. Malaysia baharu yang menawarkan kerjasama berdasarkan falsafah ‘hormati jiran tetangga’. Kami percaya dengan kerjasama baik, jiran yang makmur dan stabil dapat menyumbang terhadap kemakmuran dan kestabilan negara sendiri.
9. Malaysia baharu akan teguh menyokong prinsip PBB dalam hubungan antarabangsa kami. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesamarataan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban, selain kemapanan. Kerajaan baharu Malaysia turut berikrar dalam lingkungan sama, untuk mengiktiraf semua baki instrumen PBB berkaitan perlindungan hak asasi manusia. Ia bukan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa. Kami akan memperuntukkan ruang dan masa bagi semua untuk membuat keputusan secara bebas berasaskan demokrasi.
Puan Presiden,
10. Kali terakhir saya berucap di sini pada 2003, saya teringat bagaimana dunia ini kehilangan arah. Saya meratapi hakikat betapa negara kecil terus melutut di kaki negara berkuasa. Saya tegaskan perlunya negara membangun mendesak supaya dunia berubah, meningkatkan pembinaan kapasiti dan mempelbagaikan ekonomi. Kita mesti kekal mengawal masa depan sendiri.
11. Namun hari ini, 15 tahun berikutnya, dunia tidak banyak berubah. Malah, boleh dikatakan keadaan dunia ketika ini jauh lebih teruk berbanding 15 tahun lalu. Hari ini, dunia berada dalam kegawatan ekonomi, sosial dan politik.
12. Perang ekonomi hebat melanda di antara dua kuasa terbesar ekonomi dunia. Dan seluruh dunia terkena perit tempiasnya.
13. Nilai sosial baharu mengurangkan kestabilan negara dan rakyatnya. Kebebasan membawa kepada terhakisnya konsep perkahwinan dan keluarga, nilai moral, hormat dan sebagainya.
14. Bagaimanapun, kegawatan terburuk adalah dalam arena politik. Kita menyaksikan perlakuan keganasan di mana-mana. Ada yang mengikat bom ke tubuh dan meletupkan diri di tempat awam. Trak dipandu merempuh pelancong bercuti. Peperangan berleluasa manakala orang dipancung sesuka hati. Perlakuan ganas disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. Rakyat mempertaruhkan nyawa untuk berhijrah, sebelum dinafikan hak perlindungan suaka, tidur beratapkan langit dan kedinginan hingga meragut nyawa. Ramai menanggung kelaparan manakala ribuan lagi meninggal dunia akibat wabak taun.
15. Tiada sesiapa dan tiada negara yang selamat. Pemeriksaan keselamatan menyukarkan perjalanan orang ramai. Cecair dilarang dalam pesawat. Sedikit syak wasangka boleh membawa kepada penahanan dan soal siasat menjengkelkan.
16. Pelbagai jenis gajet dan peralatan digunakan dalam usaha menangani ‘pengganas’. ‘Kuasa besar’ sentiasa memerhati. Bagaimanapun, perlakuan keganasan terus berlaku.
17. Malaysia menentang penjahat dan pengganas untuk mencapai kemerdekaan serta mengalahkan mereka. Kami menggunakan tentera, namun apa yang lebih penting, kami berkempen untuk memenangi hati dan fikiran rakyat.
18. Peperangan menentang pengganas tidak akan berakhir selagi punca di akar umbi tidak ditemui dan dihapuskan, manakala hati dan pemikiran dikuasai.
19. Apakah puncanya? Pada 1948, tanah rakyat Palestin dirampas untuk mewujudkan Israel. Rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai dan dipaksa meninggalkan kampung halaman. Rumah dan ladang mereka dirampas.
20. Mereka cuba melawan perang konvensional dengan bantuan jiran yang bersimpati. Bagaimanapun, rakan kepada Israel memastikan cubaan itu gagal. Lebih banyak tanah Palestin dirampas manakala penempatan Israel dibina secara meluas di atas tanah Palestin. Pada masa sama, rakyat Palestin dinafikan akses terhadap penempatan yang dibina di tanah mereka.
21. Awalnya rakyat Palestin cuba melawan menggunakan lastik dan batu. Mereka ditembak dengan peluru hidup dan ditangkap. Ribuan lagi dipenjarakan.
22. Kecewa dan marah, kecundang dalam menentang peperangan konvensional, rakyat Palestin beralih kepada apa yang kini dipanggil keganasan.
23. Dunia langsung tidak peduli ketika Israel melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. Rakyat Palestin melancarkan roket biasa yang tidak mencederakan sesiapa. Israel bertindak balas secara besar-besaran, melancarkan roket dan mengebom hospital, sekolah serta pelbagai bangunan yang mengorbankan nyawa orang awam termasuk kanak-kanak dan pesakit. Dan ramai lagi.
24. Dunia menghargai Israel dan sengaja membakar perasaan Palestin dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
25. Kemarahan membuak dan kekecewaan rakyat Palestin serta rakan yang bersimpati, mendorong mereka bertindak terhadap apa yang dipanggil keganasan. Namun demikian, penting untuk kita memperakui bahawa apa juga perlakuan yang menakutkan orang ramai, turut mendorong kepada keganasan. Dan negara yang mengebom atau melancarkan roket hingga mencacatkan atau meragut nyawa mereka yang tidak berdosa, juga menakutkan orang ramai. Ini juga adalah perlakuan keganasan.
26. Malaysia bencikan keganasan. Kami akan menentangnya habis-habisan. Namun kami percaya, satu-satunya cara untuk menentang keganasan ialah dengan menghapuskan puncanya. Benarkan rakyat Palestin mendapatkan kembali wilayah mereka. Izinkan pembentukan negara Palestin. Hidupkan keadilan dan kedaulatan undang-undang. Penentangan terhadap mereka tidak akan menghentikan keganasan. Cubaan untuk mengatasi mereka juga tidak akan berhasil.
27. Kita perlu mengingatkan diri sendiri bahawa PBB, seperti mana Liga Negara-Negara satu ketika dulu, dibentuk dengan matlamat murni untuk menamatkan peperangan antara negara.
28. Peperangan bermakna membunuh manusia. Peperangan moden cenderung kepada pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan negara. Negara bertamadun mendakwa mereka menentang pembunuhan atas apa alasan sekalipun. Apabila seseorang membunuh, dia melakukan jenayah bunuh. Dan balasannya mungkin hukuman mati.
29. Bagaimanapun, seperti yang diketahui, peperangan menggalakkan dan membenarkan pembunuhan. Malah, pembunuhan itu dianggap mulia manakala pembunuh dijulang sebagai wira. Dada mereka disemat pingat manakala patung didirikan bagi mengenang jasa mereka, nama pula dicatat dalam buku sejarah.
30. Ada yang tidak kena dengan cara kita berfikir, dengan sistem nilai kita. Bunuh seorang lelaki, itu adalah pembunuhan. Bunuh sejuta orang dan anda menjadi wira. Dan kita masih percaya konflik antara negara boleh diselesaikan dengan peperangan.
31. Oleh kerana kita masih begitu, kita mesti bersedia untuk berperang. Pepatah lama mengatakan ‘untuk mendapat keamanan, siap sedia untuk berperang’. Dan kita selama-lamanya bersedia untuk berperang, mencipta lebih banyak senjata yang merosakkan. Kita kini mempunyai bom nuklear, yang mampu memusnahkan seluruh bandar. Tetapi sekarang kita tahu radiasi yang berpunca daripada letupan akan memberi kesan terhadap negara yang menggunakan senjata itu sendiri. Perang nuklear akan memusnahkan dunia.
32. Ketakutan ini menyebabkan negara Eropah dan Amerika Utara mengekalkan keamanan selama lebih dari 70 tahun. Tetapi itu bukan untuk negara lain. Perang di negara lain boleh digunakan untuk menguji senjata baharu yang dicipta.
33. Dan mereka menjualnya ke negara berperang. Kita melihat senjata mereka dalam perang antara negara kecil. Ini bukan perang dunia tetapi tidak kurang kemusnahan yang dibawa. Ratusan ribu orang dibunuh, seluruh negara hancur dan negara itu muflis disebabkan senjata baharu yang hebat ini.
34. Namun peperangan ini memberi keuntungan kepada pengeluar dan pedagang senjata. Perniagaan senjata kini menjadi perniagaan terbesar di dunia. Mereka mendapat keuntungan tak bermaruah daripada kematian dan kemusnahan yang yang berpunca daripada mereka. Malah sebenarnya, negara yang kononnya mencintai keamanan ini yang mempromosikan perniagaan memalukan ini.
35. Hari ini, senjata menelan kos berjuta ringgit. Jet pejuang berharga kira-kira AS$100 juta. Dan kos penjagaan serta penyelenggaraan membabitkan berpuluh juta dolar. Tetapi negara miskin dipujuk untuk membeli walaupun mereka tidak mampu. Mereka diberitahu jiran mereka atau musuh memilikinya, maka penting untuk mereka mempunyai senjata sama.
36. Justeru, ketika rakyat mereka kelaparan dan tertekan akibat pelbagai jenis penderitaan, sebahagian besar bajet diperuntukkan untuk membeli senjata. Hakikat bahawa pembeli terbabit mungkin tidak perlu menggunakannya langsung, tidak melintasi pemikiran si penjual.
Puan Presiden,
37. Di Myanmar, umat Islam di wilayah Rakhine dibunuh, kediaman mereka dibakar manakala sejuta pelarian dipaksa menyelamatkan diri, lemas di lautan, berteduh di pondok jerami, ketiadaan bekalan air atau makanan, jauh sekali kemudahan sanitasi. Namun demikian, pihak berkuasa Myanmar termasuk seorang penerima Anugerah Nobel Keamanan, menafikan itu berlaku. Saya percaya kepada prinsip tidak mencampuri hal-ehwal dalaman negara lain. Namun apakah dunia hanya memerhatikan pembunuhan beramai-ramai berlaku tanpa berbuat apa-apa? Semua negara bebas merdeka. Tetapi apakah ia bermakna mereka mempunyai hak membunuh rakyat sendiri, hanya kerana mereka merdeka?
Puan Presiden,
38. Pada masa sama, dari aspek dagangan, negara tidak lagi bebas. Perdagangan bebas bermakna negara kecil tidak melindungi industri kecil mereka. Mereka mesti mengetepikan sekatan tarif dan membuka negara mereka kepada kemasukan produk negara kaya serta berkuasa. Namun demikian, produk biasa negara kecil tertakluk kepada sekatan licik supaya mereka tidak dapat menembusi pasaran mewah. Minyak kelapa sawit Malaysia dilabel sebagai berbahaya kepada kesihatan manakala ladangnya dikatakan memusnahkan habitat haiwan. Produk makanan negara kaya didakwa bebas daripada minyak sawit. Kini diesel sawit dikecam kerana memusnahkan hutan dara. Kelompok ini terlupa pemulauan minyak sawit ini menyebabkan ratusan ribu pekebun kehilangan pekerjaan dan tidak dapat menikmati kehidupan sempurna.
39. Di Malaysia, kami amat mengambil berat perihal alam sekitar. Kira-kira 48 peratus daripada negara kami adalah hutan dara. Mampukah penentang kami membuat dakwaan sama mengenai negara mereka?
Puan Presiden,
40. Malaysia komited terhadap pembangunan mapan. Kami telah mengambil pelbagai langkah, sebagai contoh meningkatkan kaedah pengeluaran bagi memastikan pengeluaran minyak kelapa sawit dilakukan secara mapan. Menjelang Disember 2019, piawaian Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) akan menjadi mandatori. Ini akan memastikan setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia akan diperakui mapan menjelang 2020.
Puan Presiden,
41. Di seluruh dunia, kita menyaksikan aliran berbahaya membabitkan nasionalisme. Kerajaan cenderung menjadi populis, menjauhi kerjasama antarabangsa dan menutup sempadan kepada pergerakan bebas orang ramai, barangan dan perkhidmatan walaupun pada masa sama, mereka lantang menyebut mengenai dunia tanpa sempadan, perdagangan bebas. Pada ketika globalisasi ada manfaatnya, impaknya jelas mengancam kebebasan negara kecil. Kita tidak boleh bersuara atau bergerak tanpa ada yang mendengar dan merakam pergerakan yang diguna untuk menentang kita. Maklumat berkaitan semua disimpan dan dijadikan bahan dagang oleh negara berkuasa serta pertubuhan mereka.
42. Malaysia memuji usaha PBB ke arah menghapuskan kemiskinan, memelihara bumi dan cuba memastikan setiap orang menikmati keamanan dan kemakmuran. Bagaimanapun, saya ingin merujuk terhadap perlunya pertubuhan ini melalui beberapa perubahan. Lima negara atas dasar kemenangan lebih 70 tahun lalu, tidak boleh mendakwa mempunyai hak untuk menentukan hala dunia selama-lamanya. Mereka tidak boleh memperkudakan moral, melaungkan demokrasi dan perubahan rejim negara lain di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan ini.
43. Saya pernah mencadangkan kuasa veto tidak sepatutnya dipegang oleh hanya satu anggota tetap, sebaliknya sekurang-kurangnya dua kuasa besar dengan disokong tiga negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan. Perhimpunan Agung boleh menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah. Itu saja yang ingin saya katakan,
44. Saya akui, dunia akan kucar-kacir tanpa PBB. Kita perlukan PBB, kita perlu mengekalkannya dengan dana mencukupi. Tiada siapa berhak mengancamnya dengan kekangan kewangan.
Puan Presiden,
45. Selepas 15 tahun dan pada usia 93 tahun, saya kembali ke podium ini dengan memikul tanggungjawab berat membawa suara dan harapan Malaysia baharu ke pentas dunia. Rakyat Malaysia yang bangga dengan pencapaian demokratik mereka baru-baru ini, mempunyai harapan menggunung - untuk melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran - di seluruh dunia. Kami berharap PBB akan mendengar permintaan kami ini.
Terima kasih, Puan Presiden.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 12:11 AM
© 2018 Harian Metro,
New Straits Times Press (M) Bhd.