Sejarah kesultanan melayu negeri Reman dikatakan bermula sejak pada tahun 1810 apabila Tuan Tok Nik Tok Leh yang merupakan kerabat diraja Patani telah menimbulkan protes dan pemberontakan untuk gigih mendapatkan kemerdekaan wilayah Reman dari Patani.
Sebahagian daripada sejarahnya, negeri Reman sebenarnya adalah sebahagian daripada Patani yang kini berada di bawah naungan negara Thailand.
Perang besar pernah tercetus antara dua kerajaan ini iaitu negeri Reman dengan Patani yang mana kesannya telah melemahkan kedua-dua belah pihak itu sendiri dari pelbagai sudut.
Oleh kerana itu, Kerajaan Siam secara tidak langsung dapat peluang yang baik untuk meluaskan kekuasanya ke arah selatan apabila konflik antara dua kuasa ini semakin berterusan tiada pengakhirannya.
Akhir sekali sepertimana semua pihak maklum, kedua-dua kuasa ini jatuh di bawah kekuasaan Siam.
Peta Negeri Reman Semasa zaman kegemilangan dan kewujudan negeri Reman, ia adalah sebuah kerajaan negeri yang berdaulat.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, lokasinya terbentang luas dari kawasan hulu sungai Patani dan Sungai Tanjung Mas sehinggalah ke kawasan Lenggong di negeri Perak.
Oleh yang demikian, negeri Reman secara tidak langsung adalah antara negeri yang paling besar di dalam negara Patani.
Bendera Negeri Reman / Rahman Oleh yang demikian, Hulu Perak pada asalnya adalah sebahagian daripada negeri Reman dan Negeri Reman pula adalah sebahagian daripada wilayah Pattani. Orang-orang Melayu Patani adalah mereka yang terawal mendiami dan membuka hutan di Hulu Sungai Perak.
Oleh itu, Raja Reman menganggap kawasan Hulu Sungai Perak juga berada di bawah jajahan takluknya dan Raja Reman telah pergi ke Kelian Intan dan mengusahakan lombong bijih timah di sana.
Anda boleh rujuk Cerita Disebalik Perang Saudara Di Hulu Perak untuk lebih maklumat berkenaan hal ini. Upacara menurunkan bendera Negeri Reman Nama asal pengkalan hulu pada asalnya adalah Kroh.
Nama Kroh ini diberi sendiri oleh Raja Reman sewaktu mendapati kawasan tadahan air dari sungai Selarong iaitu empangan yang dibina oleh baginda semakin keruh apabila gajah-gajah miliknya mandi di sana.
Justeru melihat kepada keadaan air yang keruh, Raja Reman pun menamakan kawasan tersebut sebagai Kroh.
Pada hari ini, Kroh sudah bertukar nama dan dikenali dengan nama Pengkalan Hulu. Kisahnya Kroh ditukarkan nama kepada Pengkalan Hulu adalah sewaktu zaman pemerintahan Sultan Idris Shah II.
Pada 4 Januari 1984, baginda Sultan Idris II telah berkenan untuk menukarkan nama Kroh kepada Pengkalan Hulu kerana lokasi tersebut seringkali menjadi pusat persinggahan baginda ketika melawat Daerah Hulu Perak.
Hasil peninggalan empangan yang dibina oleh Raja Reman dahulu secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembinaan sebuah kawasan taman tasik yang dinamakan Tasek Takong di Pengkalan Hulu.
Pada tahun 1902, Kerajaan Siam telah menghapuskan pemerintahan sistem beraja di Negeri Reman dan sejak daripada itulah berkuburnya negeri Reman dari muka bumi ini.
Kerajaan Siam telah menyerahkan daerah Hulu Perak kepada Kerajaan Perak dan istiadat penyerahan derah Hulu Perak telah dilangsungkan di Kroh pada 16 Julai 1909 yang terhasil daripada perjanjian Bangkok.
Bekas istana Tuan Jagung milik Raja Reman yang terakhir masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Baginda Raja Reman yang terakhir ini dikatakan telah dibunuh oleh Siam pada tahun 1901 dan ada juga pendapat yang menyatakan bahawa baginda terselamat dan melarikan diri di satu tempat yang dirahsiakan.
Artikel Penuh: http://www.orangperak.com/pengkalan-hulu-dahulunya-ada-negeri-reman-yang-berdaulat.html
© orangperak.com
No comments:
Post a Comment