Islam telah menitik beratkan umatnya untuk sentiasa menjaga akal fikiran agar tidak mudah mudah dipesongkan oleh agenda doktrinisasi jahat yang dijalankan oleh musuh musuh islam.
Di dalam maqasid syariah, akal fikiran adalah merupakan diantara lima perkara asas yang wajib dijaga oleh setiap muslim. Ini kerana, akal fikiran adalah merupakan pemacu penting yang akan memacu perlakuan seseorang itu ke arah melakukan kebaikan atau melakukan keburukan.
Maka tidak hairanlah di dalam Al Quran, Allah SWT ada menyebut tentang "ulul albab" pada banyak ayat yang mengingatkan kita bahawa pentingnya pemikiran yang sihat atau dalam erti kata yang lain menjadi orang yang berakal.
Kegagalan menjaga akal fikiran sehingga menyebabkan diri terpesong jauh daripada landasan fitrah manusia akan menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah manusia yang hilang pertimbangan dan pedoman di dalam kehidupan. Lalu menjadilah mereka itu dari kalangan mereka yang lebih hina berbanding haiwan.
Ini dijelaskan oleh As Syahid Sayyid Qutb di dalam tafsir Fizilalil Qurannya ketika menafsirkan ayat daripada Surah At Tin yang bermaksud : "Kemudian Kami kembalikannya ke tingkat yang sebawah bawahnya".
Kata beliau "Manusia mempunyai potensi untuk merosot jatuh ke darjat sebawah bawahnya yang tidak pernah dialami oleh mana mana makhluk lain, iaitu merosot ke darjat yang membuat haiwan haiwan itu lebih tinggi dan lebih baik darinya kerana haiwan haiwan itu hidup menuruti fitrahnya yang benar."
Penjagaan akal fikiran itu pada jasmaninya perlulah pada pengambilan makanan yang sihat dan tidak merosakkan, tetapi bagaimana pula penjagaan akal fikiran dari sudut rohani?
Justeru, untuk memastikan akal fikiran kita sihat dan diketegorikan sebagai "ulul albab" (orang yang berakal), maka hendaklah akal fikiran kita sentiasa menuruti panduan Al Quran dan As Sunnah. Bahkan begitulah fitrah yang sebenar bagi akal fikiran kita yang dikurniakan oleh Allah ini.
Akal fikiran sangat menagih kepada peringatan, motivasi, galakan, perkara ghaib serta peristiwa umat terdahulu. Dengan memahami kesemuanya itu, akal fikiran dapat menapis lalu membezakan segala macam keburukan dan kebobrokkan yang perlu dijauhi dan memilih untuk melakukan hanya perkara perkara yang bertepatan dengan ajaran daripada Al Quran dan As Sunnah.
Pastikanlah kita menjaga akal fikiran kita dengan baik kerana kita sedang berada pada satu zaman kebejatan umat yang telah dirosakkan akal fikirannya sehingga jauhlah mereka daripada fitrah kemanusiaan.
Lihatlah betapa banyaknya kekejaman dan kezaliman telah berlaku. Kerosakan akidah, tidak percaya tuhan, pembuangan bayi, rogol, pembunuhan anak kecil, kerosakan alam sekitar dan banyak lagi untuk disenaraikan. Ini semua adalah berpunca daripada kegagalan mengurus dan menjaga akal fikiran dengan baik yang bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasul. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment