Wednesday, 15 January 2014

Kini Adik Najib Pula Bersuara...


Adik perdana menteri Datuk Seri Nazir Razak menggunakan peluang untuk memperingati ulangtahun ke-38 kematian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein hari ini dengan berkongsi sikap bapanya itu yang tegas dalam amalan berjimat cermat.

Katanya, sikap tegas bapanya itu dapat dilihat semasa beliau bersama adik beradik yang lain meminta Allahyarham membina kolam renang di Seri Taman, kediaman rasmi perdana menteri pada masa itu.



"Ayah saya dengan jelas mengingatkan kami bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman kami, tetapi ia kepunyaan kerajaan dan secara langsung adalah milik rakyat."Sebarang wang yang dibelanjakan ke atas rumah itu akan datang daripada wang orang ramai, dan beliau tidak akan membenarkan perbendaharaan negara digunakan untuk tujuan semberono seperti kolam renang,” katanya.

Nazir dalam tulisan yang disiarkan beberapa akhbar dan portal berita hari ini berkata, bapanya yang marah dengan permintaan itu turut menengking:  “Apa orang akan fikir?”

Tulisan berkenaan muncul ketika abangnya, Datuk Seri Najib Razak kini berdepan kritikan dari pelbagai sudut susulan rasionalisasi subsidi dan pengumuman kenaikan barangan keperluan dan perkhidmatan selepas pilihan raya umum ke-13.

Seri Taman yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur kini dijadikan kompleks bangunan Memorial Tun Abdul Razak. Menurutnya lagi, sikap berhemah bapanya dengan kantung negara itu turut dicerminkan menerusi tindakan mengeluarkan biaya untuk ahli keluarganya yang mahu menemani Allahyarham dalam kunjungan ke Switzerland.

"Abang-abang saya selalu bercerita tentang satu peluang yang jarang-jarang mereka perolehi sewaktu menemani beliau dalam satu lawatan rasmi ke Switzerland.

"Beliau memastikan beliau membayar perbelanjaan itu sendiri.
"Beliau begitu berhati-hati dengan kos lawatan itu kepada kerajaan sehingga beliau memindahkan seluruh rombongannya ke sebuah hotel yang lebih murah daripada yang telah ditempah dan mereka makan di
restoran paling murah dalam kawasan dekat dengan hotel itu," tulis Nazir.

Dalam tulisan sama, Nazir turut membangkitkan kerisauannya tentang ketegangan di antara kaum dan sesama kaum yang menurutnya kini berada pada "tahap yang membimbangkan".

Nazir berpendapat, isu berkenaan dapat diselesaikan jika dengan mengambil iktibar daripada pepatah Melayu yang berbunyi "sesat di hujung pangkalan,kembali ke pangkal jalan".

"Pangkal jalan pada pandangan saya adalah nilai-nilai,komitmen, wawasan dan keterlibatan yang ditunjukkan dan didakap Tun Razak" katanya.Pada masa sama katanya, Tun Razak turut meletakkan kepentingan nasional dalam merangka dasar negara walaupun tekal mengangkat taraf hidup bumiputera.

"Walaupun beliau komited kepada usaha memperbaiki kualiti hidup Bumiputera untuk mengelakkan satu lagi "13 Mei", beliau melihat ini sebagai satu tanggungjawab nasional dan bukan perkauman.

"Ini bagi saya menjelaskan keazamannya untuk melibatkan rakyat Malaysia yang terbijak dan paling cemerlang dalam usaha ini tanpa mengira asal usul kaum atau etnik mereka," katanya.



No comments:

Post a comment