Thursday, 30 January 2014

ISMA: Najib Mengecewakan

BANGI, 30 Jan – Pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendiamkan diri berhubung isu kalimah Allah sangat mendukacitakan.
“Jawapan Najib sangat mengecewakan kerana gagal memberi perhatian kepada rakyat Islam yang majoriti.
“Pendirian beliau berhubung isu kalimah Allah ini membuktikan bahawa beliau lebih menjaga kaum minoriti yang melampau,” demikian tegas Naib Presiden II ISMA, Encik Abdul Rahman Mat Dali.
Datuk Seri Najib hari ini dalam pertemuannya bersama pimpinan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Melayu dan Islam telah menyatakan bahawa beliau perlu berdiam diri dalam isu kalimah Allah kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan menambah bahang kemarahan.
Kata Najib,  beliau adalah seorang pemimpin semua rakyat Malaysia dan bukan semata-mata pemimpin satu kaum. 
Justeru ujar Encik Rahman, ini sekali lagi membuktikan Datuk Seri Najib seorang pemimpin yang lemah dan dilihat tidak mampu menguasai keadaan yang celaru ketika ini. 
Bahkan beliau juga tidak mampu menangani ancaman terhadap agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu pada masa hadapan.