Zahid Hamidi sekarang hidup diburu bayang-bayangnya sendiri. Selepas tular surat sokongannya kepada Anwar Ibrahim yang tidak pernah dinafikannya, kemudian tular pula audio perbualannya dengan Anwar, ditambah pula dengan kegagalan demi kegagalannya mengemudi UMNO sejak dipilih menjadi Presiden, dia tahu arus penentangan terhadapnya telah bertukar menjadi gelombang.
Pengkhianatannya terhadap perpaduan Melayu/Islam dengan mengemukakan apa yang disebut sebagai jajaran baharu jelas tidak dapat diterima bukan sahaja oleh akar umbi UMNO tetapi juga oleh orang Melayu dan umat Islam di Malaysia yang sempurna akal fikirannya. Ini menyebabkan gelombang itu menjadi semakin kuat dari sehari ke sehari.
Yang tinggal menyokong Zahid hanyalah kumpulan pengampu, orang-orang terdesak dan ahli-ahli parti yang mudah diperbodohkan.
Zahid dan konco-konconya sedang berusaha mencuci otak ahli-ahli UMNO secara halus supaya meninggalkan perjuangan ABATA mereka dan menerima pluralisme serta liberalisme yang dibawa oleh Anwar dan PKR sebagai dokongan baharu dengan berselindung di sebalik istilah jajaran baharu.
Zahid tahu Anwar dan PKR terlalu banyak terhutang kepada DAP. Dalam apa keadaan pun Anwar tidak akan tinggalkan DAP. Menerima Anwar sama seperti menerima DAP. Tetapi Zahid tidak kisah kerana baginya UMNO hanyalah tunggangan untuk menyelamatkan diri daripada dihumban ke penjara atas jenayah yang dilakukannya. Dia tidak peduli bagaimana UMNO akan dikenang asalkan dia tidak disumbat ke Sungai Buluh.
Mesyuarat MT UMNO pada Ahad, 25 April 2021 akan menjadi medan penting bagi Zahid melaksanakan cita-cita jahatnya mengkhianati perpaduan Melayu/Islam. Bagi tujuan itu Zahid merancang empat strategi utama supaya keputusan MT nanti memihak kepadanya.
Empat strategi itu ialah:
- Menggugurkan Shahidan Kassim dari jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis. Zahid marah kerana ucapan Shahidan di PAU 2021 tidak menyokongnya. Tindakan menggugurkan Shahidan dilakukan pada 24 April 2021, sehari sebelum MT bersidang. Tujuannya adalah untuk menakut-nakutkan ahli MT yang lain.
- Menggantung keahlian Annuar Musa kerana terlalu kuat menolak jajaran baharu yang merugikan Melayu/Islam dan sebab konsisten berpegang pada prinsip No Anwar No DAP. Bagi Zahid, Annuar Musa melakukan dosa besar sebab cuba menyelamatkan perpaduan Melayu/Islam sekali gus menutup peluang agenda plurarisme dan liberalisme Anwar Ibrahim yang diakui sebagai gurunya.
- Memastikan pengundian dalam mesyuarat MT 25 April 2021 dilakukan secara sulit. Ini bagi membolehkannya memanipulasi undi dan menipu angka supaya keputusan mesyuarat selari dengan kehendaknya.
- Menangguhkan pemilihan UMNO tahun ini sebab dia takut jika ada pemilihan dan jawatannya dipertandingkan, dia akan kalah. Bagi seorang yang tidak berprinsip dalam perjuangan sehingga sanggup mencium kaki musuh, hak ahli untuk memilih tidaklah penting. Yang penting adalah kedudukan dan kepentingan peribadinya.
UMNO mesti menghentikan agenda jahat presiden yang terburuk dalam sejarah ini. Kepada ahli-ahli yang benar-benar sayangkan parti dan perjuangan ABATAnya, perhatikanlah keputusan mesyuarat MT pada 25 April.
Jangan terima bulat-bulat jika keputusan itu hanya menguntungkan orang tertentu tetapi merugikan parti. ini masanya untuk berkata ‘tidak’ kepada pengkhianat perjuangan Melayu/Islam ini.
No comments:
Post a Comment