Friday, 29 June 2018

Rayuan seorang ahli umno terhadap para perwakilan

Rayuan daripada seorang ahli umno didalam wasap terhadap para perwakilan umno yang bakal mengundi calon presiden umno.
_________***______***_____

*JIKA ANDA MASIHKAN SAYANG DS AHMAD ZAHID DAN KJ, TOLONGLAH PASTIKAN MEREKA TIDAK JADI PRESIDEN UMNO UNTUK KALI INI*

Pasti ramai kalangan ahli dan kepimpinan UMNO akan merasakan betapa dangkal dan jeliknya ‘propaganda’ ini terutama apabila wujud seruan agar Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin perlu ditewaskan dalam pemilihan presdien UMNO demi membuktikan kasih-sayang kita kepada mereka.

Namun inilah hakikat dan tindakan yang perlu kita lakukan demi memastikan dua tokoh yang kita sanjungi ini tidak menerima nasib lebih buruk seandainya terpilih sebagai presiden UMNO.

Apatah lagi di saat UMNO masih dalam tempoh “edah” selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14, pastinya seruan ini dianggap berniat jahat terutama menjelang pemilihan Presiden UMNO tidak lama lagi.

Tetapi kebenaran harus dinyatakan secara jelas bahawa menjadikan Ahmad Zahid dan Khairy sebagai Presiden akan membawa musibah lebih besar bukan sahaja kepada kedua pemimpin ini, tetapi juga survival politik UMNO.

Seandainya dua pemimpin ini diangkat sebagai Presiden UMNO, saya khuatir kerajaan Pakatan Harapan yang kini diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamed akan menyelongkar satu per satu fail kerajaan terdahulu, kemudian mencari ruang untuk mengheret kedua pemimpin ini ke muka pengadilan atas alasan yang sengaja diada-adakan.

Apatah lagi, kerajaan hari ini sedang mencari alasan paling kukuh untuk membubarkan UMNO dengan menggunakan segala peluang yang ada bagi memastikan parti kita akan terus ditekan dan tidak mampu melawan kembali.

Bayangkan seandainya dua pemimpin ini disabitkan dengan sebarang skandal waima yang diada-adakan oleh kerajaan untuk menghalang mereka berfungsi sebagai Presiden UMNO dengan baik, adakah anda sanggup melihat nasib kedua mereka dipenjara dan dimalukan kepada seluruh rakyat Malaysia?

Ketika ini, UMNO harus kembali kepada landasan sebenar perjuangan untuk meyakinkan rakyat bahawa parti yang terpalit dengan pelbagai tuduhan, tohmahan dan skandal akan atau sedang dipimpin seorang presiden yang bersih, cekap dan amanah.

Adakah kita mahu membiarkan Presiden UMNO dijadikan sasaran satu per satu tuduhan demi tuduhan kerana berada dalam barisan kepimpinan kerajaan sebelum ini?

Tidak cukupkah lagi kita melihat nasib bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dimalukan dengan tuduhan skandal 1MDB dan lain-lain?

Kita bukan mahukan Presiden UMNO yang boleh menjadi Perdana Menteri dalam keadaan sekarang, tetapi kita memerlukan Presiden UMNO yang mampu meyakinkan rakyat bahawa parti ini telah berubah dan kembali ke landasan asal. Dan keyakinan ini sebenarnya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan sekadar retorik semata-mata.

Apatah lagi dalam keadaan ini, UMNO bukan sekadar memerlukan seorang pemimpin, sebaliknya UMNO memerlukan seorang Presiden yang bebas daripada skandal, dipercayai bersih daripada salah laku dan dihormati kalangan lawan dan kawan.

UMNO tidak memerlukan pemimpin muda untuk berubah. UMNO juga tidak memerlukan pemimpin yang mempunyai kemampuan wang ringgit dan pengaruh untuk menjadi lebih baik.

Namun UMNO memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai kematangan fikiran, kebijaksanaan dalam mentadbir urus dan berpengalaman menghadapi krisis kepercayaan rakyat seperti yang kita pernah dihadapi ketika UMNO diharamkan pada tahun 1988.

Maka lakukan pilihan bijak untuk membuat perubahan dan yakinlah bahawa perubahan itu harus dimulakan dengan mengorbankan pemimpin yang kita sanjungi demi kepentingan UMNO itu sendiri.

Tengku Razaleigh Hamzah mungkini bukan pilihan terbaik kerana ketika ini, hanya beliau pilihan yang kita ada.

*MASRIZAL MOHD SALLEH*
_Ahli UMNO yang terlalu sayangkan parti_

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...