Wednesday, 26 February 2014

Kemanakah Perginya Wang Zakat?

PENINGKATAN peratusan masyarakat Islam miskin menjadi persoalan apabila badan yang bertanggungjawab dilihat seolah-olah gagal untuk membantu golongan ini walaupun dikhabarkan kutipan zakat cukup tinggi setiap tahun.


Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, pihak yang terlibat harus peka dengan perkara tersebut supaya tidak disalah anggap.



“Timbul persoalan bagaimana ia diuruskan, itu yang kita sebut tentang jenama Islam, adakah yang kita penting bangunannya, atau tulisan khatnya, atau sebenarnya bagaimana urus tadbir yang dijalankan.



“Ke mana perginya zakat? Kita tidak kata ia diselewengkan atau sebagainya kerana ia diuruskan oleh pelbagai nama agensi yang ada bajetnya tersendiri,” katanya.



Kata beliau, adalah tidak munasabah jika wang zakat tidak dapat diagihkan secara teratur kerana setiap negeri mempunyai pusat pungutan zakat.



“Kita adalah negara terbaik kerana mana ada negara yang ada 14 orang mufti, jangan tanya gaji mereka. Kita ada 14 pusat kutipan zakat, kita ada juga 14 tempat untuk rujuk fatwa, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jadi 15.



“Macam-macam fatwa ada berkenaan Islam, projek-projek Islam ini pun ada, semua projek-projek Islam ini hendak kita jual. Air mineral pun yang terang-terang halal, dijual kerana semuanya dapat duit.



“Tapi ke mana wang dan harta orang Islam ini pergi? Akhirnya berbalik kepada kita soal urus tadbir, dalam ekonomi mahupun politik yang juga sama, soal amanah dan tata kelolanya,” ujarnya.



Mengulas lanjut, beliau yang berkongsi pengalaman ketika menjawat jawatan Mufti Perlis memberitahu bahawa negeri itu mempunyai peruntukan undang-undang yang membolehkan pembayar zakat menamakan pihak yang ingin dibayarnya.



“Di Perlis kita boleh bahagikan pembayaran zakat sebanyak 50 peratus kepada orang yang ingin kita bayar duit berkenaan. Jadi pihak agama Islam negeri akan siasat dan jika layak, kita atau pihaknya akan membayarkan kepada pihak tersebut.



“Kalau tidak silap saya di Kelantan juga dibolehkan dan potongannya sebanyak 30 peratus untuk diberikan kepada pihak yang dinamakannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...