SEGAMAT – Kehadiran 'tentera asing' di sebuah kebun kelapa sawit di Jementah dekat sini, petang kelmarin menggemparkan penduduk. Apa tidaknya, kejadian ini berlaku ketika negara mengingati peristiwa hitam pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu tepat setahun lalu.
Takut sesuatu yang buruk bakal berlaku, seorang penduduk yang ternampak kelibat tentera asing ini terus membuat laporan polis di Balai Polis Jementah.
Bertindak atas aduan ini, kira-kira jam 2.15 petang kelmarin satu pasukan polis bertindak mengepung kawasan kebun terbabit.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, laporan dibuat oleh penduduk yang melalui kawasan tersebut dan menyangka tentera asing ini sedang menjalankan latihan.
“Polis kemudian mendapati sekumpulan lelaki sedang berkumpul dengan berpakaian celoreng bersama beberapa laras senjata api,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki tempatan dan seorang warga Singapura yang berumur di antara 20 hingga 40-an.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan juga menemui 14 laras senjata api tiruan pelbagai jenis seperti Sniper, AK47, Steyr AUG, M4 A1, 20 kelopak peluru senjata api tiruan dan pelbagai aksesori tambahan seperti walkie-talkie, bom asap, teropong dan lain-lain lagi.
“Senjata-senjata berkenaan menyerupai 95 peratus senjata sebenar didapati menggunakan bateri dan palet plastik sebagai peluru. Kebun sawit yang dijadikan tempat berkumpul tersebut adalah milik bapa kepada salah seorang suspek yang ditangkap,” katanya.
Siasatan awal mendapati sebahagian daripada suspek yang ditangkap menganggotai sebuah persatuan sukan menembak yang baharu didaftarkan di Johor Bahru pada tahun lalu dan masih belum mendapat sebarang kelulusan.
Bagaimanapun, semakan mendapati tiada sebarang lesen dan permit yang dikeluarkan bagi memiliki senjata api tiruan berkenaan.
“Hasil siasatan awal juga mendapati senjata tiruan buatan China ini dibeli secara online iaitu melalui internet sebelum dihantar kepada mereka (pembeli).
Daripada 18 orang yang ditangkap, empat daripada mereka telah dijamin kerana mereka tidak terlibat secara langsung dan hanya berada di lokasi kejadian apabila tangkapan dilakukan.
“Jadi, saya nasihatkan mana-mana orang awam yang telah membeli dan memiliki senjata api tiruan ini, senjata tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak polis kerana permit senjata api hanya dikeluarkan untuk senjata jenis ‘pump gun’ dan pistol sahaja,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman bermula semalam sehingga hari ini dan bagi kesalahan memiliki senjata api tiruan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan jika disabitkan bersalah, penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi kesalahan memakai dan memiliki pakaian seragam samaran (celoreng) tanpa kebenaran kes disiasat di bawah Seksyen 25A Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika sabit kesalahan membawa denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment