Tuesday, 25 February 2014

Pasaran Terbuka Menindas Rakyat: Tan Sri Muhammad Ali Hashim

SHAH ALAM – Sistem ekonomi Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas tidak wajar ditolak namun umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana ia berteraskan sistem kapitalis bersifat zalim serta tidak memperjuangkan keadilan kepada pengguna di negara ini.


Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa pasaran bebas hanya menguntungkan golongan kaya manakala golongan miskin pula akan jauh ketinggalan sekali gus melonjakkan kadar inflasi yang tinggi.



Katanya lebih membimbangkan apabila kerajaan sendiri mengamalkan sistem liberal yang cenderung kepada amalan rasuah dan kompromi dalam urus tadbir ekonomi negara ini sekali gus menggalakkan monopoli ekonomi oleh syarikat korporat dan multi nasional.



“Pasaran bebas penting, tapi ada bahayanya sebab perkara ini berlaku di negara kita, yang kaya bertambah kaya, yang miskin jauh tinggal ke belakang, bukan sahaja di negara Islam bahkan ia berlaku di seluruh dunia.



“Kerajaan pula tidak boleh campur tangan dalam pasaran ekonomi namun mereka tidak boleh melupakan peranannya untuk menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara,” katanya pada Wacana Sinar ke-26 bertajuk ‘Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran’ di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata umat Islam perlu mencari sistem ekonomi alternatif termasuk wakaf korporat atau jihad bisnes yang menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam dalam keupayaan pemilikan harta.