Friday 30 July 2021

PN SILA LETAK JAWATAN - Dr Agus Yusoff

1. Saya pernah melalui dua krisis perlembagaan melibatkan raja-raja Melayu. Pertama, tahun 1983, dan kedua 1993. 

2. Krisis perlembagaan 1983 adalah berkaitan pindaan Perkara 66 mengenai perkenan oleh YDPA dan Yang di-Pertuan Negeri ke atas undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Perlembagaan Persekutuan serta DUN bagi Pelembagaan Negeri. Perkara 150 pula adalah berkaitan dengan kuasa Agong mengisytiharkan darurat.

3. Krisis perlembagaan 1993 adalah berkaitan pindaan Perkara 181 untuk menghapuskan imuniti raja-raja.  Sebelum pindaan dibuat, raja yang melakukan kesalahan jenayah tidak boleh didakwa melainkan jika secara sukarela menyerahkan imuniti undang-undangnya. Namun, selepas pindaan Perkara 181 ini, raja-raja boleh didakwa di mahkamah khas.

4. Tidak saya sangka, selepas 28 tahun berlalu, hari ini berlaku lagi krisis perlembagaan. Berbeza dengan krisis perlembagaan sebelumnya, krisis kali ini adalah kerana kerajaan PN mengumumkan pembatalan ordinan darurat tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda Agong sepertimana peruntukan Perkara 150(3).

5. Begitu nekad kerajaan PN mengumumkan pembatalan ordinan tanpa perkenan baginda Agong. Untuk apa dibuat pengumuman tanpa mengikut prosedur perlembagaan yang betul? Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mendokong keluhuran undang-undang dan berintegriti.

6. Apa salahnya dengan pengumuman ini? Satu yang jelas ialah kerajaan telah melakukan pembohongan besar dan mengetepikan prinsip perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja. Ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Agong, terhadap perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada DR, mengelirukan DR, dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya. 

7. Salah laku sebegini mempunyai kesan undang-undang.  Ada yang mentafsirkannya sebagai kesalahan yang boleh disiasat (sekurang-kurangnya) di bawah Seksyen 124B Kanun Kesiksaan kerana merosakkan demokrasi (jikapun tidak di bawah seksyen yang lebih keras dari itu).

8. Apa seterusnya?  Dalam keadaan sekarang, saya melihat ada empat pilihan: semua menteri kerajaan PN meletakkan jawatan, bubar Dewan, Agong lantik PM baharu setelah pembangkang berjaya yakinkan baginda Agong mempunyai majoriti, dan baginda Agong mengisytiharkan Mageran.

9. Kerajaan ini perlu pergi. Ternyata darurat yang bertujuan untuk mengatasi pandemik gagal. Rakyat kecewa dengan cara pengurusan Covid. Rakyat bertanya sampai bila tidak bekerja, berapa lama lagi harus duduk di rumah, bagaimana nasib hidup mereka seterusnya, berapa lama lagi masa untuk mengurangkan kes yang meningkat ini? 

10. Saya tidak nampak kerajaan PN ada upaya untuk menjawab positif pertanyaan rakyat di atas. 

11. Semoganya krisis perlembagaan ini berakhir dan minggu depan negara ada kepimpinan baharu yang lebih berwibawa dan tidak lagi berdiri atas ‘scheme of things’. Kita mahukan pemimpin berwibawa dan Raja berdaulat.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...