Wednesday, 15 August 2018

MP Kapar Gagal Beri Bukti Tun Mahu Gagalkan Anwar Menjadi PM


Anggota Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, bukti campur tangan pihak tertentu yang didakwa cuba menghalang pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ada pada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mahu beliau mengemukakan bukti jika benar ada campur tangan pihak tertentu yang menghalang pelantikan Anwar sebagai perdana menteri ke-8.

"Bukti ada dua perkara. Bukti satu adalah chemistry antara Anwar dan Dr Mahathir, yang keduanya bukti pada tubuh yang bercakap hendak bukti itu, itu bukti dia.

"Pada tubuhnya, pada Dr Mahathirlah sebab dia yang akan mengenal pasti berapa lama dia mahu pegang, berapa lama dia nak serahkan, bila dia nak serahkan. Itulah buktinya," kata Abdullah Sani yang dipetik oleh portal Utusan Onlinehari ini.

Abdullah Sani yang bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR akan datang berkata beliau benar-benar yakin Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan Tun Daim Zainuddin - bekas menteri kewangan dan penasihat Mahathir - untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN). 

Diminta membuktikan dakwaan itu, Abdullah Sani membangkitkan kenyataan Daim sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk Anwar menggantikan Mahathir sebelum PRU akan datang.

Apabila ditanya mengenai sejauh mana tahap keyakinan beliau bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, Abdullah Sani hanya menjawab,"Kau (wartawan) yakin tak? Tak ada jawapannya? Ada pada kaulah. Maknanya kau dah ada jawapannya. Itulah jawapan dia."

Sementara itu, portal tersebut turut memetik Abdullah Sani sebagai berkata, kenyataan beliau berhubung isu berkenaan tidak akan mengakibatkan perpecahan dalam HARAPAN.

"Tidak akan tergugat. Gugat apa? PKR dan DAP sahaja ada dekat 100 kerusi. Tak tergugat langsunglah. Tak ada tergugat.

"Yang cakap semua ini bukan parti DAP ataupun PKR. Yang bercakap ini adalah parti yang minoriti. Jangan cakap pasal perpecahan. Perpecahan tidak berlaku begitu," kata Abdullah Sani.

Sebelum ini beberapa ahli BERSATU memberi amaran agar Dr Mahathir dan Daim tidak dilibatkan dalam persaingan kem dalam PKR menjelang pemilihan parti itu.

Antaranya, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU , Wan Saiful Wan Jan yang mahu ahli PKR beradab dan jangan memfitnah pemimpin parti lain.
-Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...