Hari ini kita mampu untuk beli sebuah rumah RM500,000 hanya dengan pinjaman. Kita ukur kemampuan kita bergaji RM5000 sebulan dengan pembayaran bulanan. Lalu kita nampak kita mampu menanggung hutang itu. Lalu kita bayarlah rumah itu untuk tempoh 40 tahun. Setelah 40 tahun, jumlah bayaran yang anda langsaikan ialah RM1,500,000. RM1 Juta ialah faedah yang diambil oleh bank itu sendiri.
Tahukah anda, jika tiada riba di dalam dunia ini, rumah yang anda beli itu mungkin hanya bernilai RM30,000 SAHAJA. Nanti dulu, gaji anda pula mungkin mampu sampai RM10,000 (pada nilai bukan pada kertasnya).
Kali ini, kami akan mengupas topic “bosan” ini yang jarang orang nak hiraukan sangat. Ramai orang tak tahu pun, riba itu disebut sebagai dosa ke-empat terbesar selepas menyengutukan Allah, sihir dan membunuh. Berzina dengan ibu sendiri juga dosanya tak sebesar dosa riba.
Hari ini, Jabatan Agama Islam menangkap penzina dan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman TETAPI mengapa riba yang menjadi dosa ke-empat terbesar dalam Islam tidak pula ditangkap. Malah, ia dibiarkan berleluasa di semua peringkat.
Mungkin ada yang mengatakan yang kita sudah tidak riba lagi, dan kita menggunakan SISTEM EKONOMI ISLAM dan sistem perbankkan Islam. Mahulah kami simpulkan, dari pengertian riba yang sebenarnya, bahawa sistem perbankkan Islam juga hanya menukar nama dan memperkenalkan akad tanpa perubahan actual dalam kekejaman kewangan. Hari ini kita pasti akan keliru dengan sistem perbankkan Islam yang menawarkan pinjaman perumahan RM500,000 dan bayar semula RM1,500,000 berbanding konvensional yang sedikit terbuka dengan spekulasi pasaran yang secara purata mungkin lebih rendah dan kadang-kadang (atau jarang-jarang) lebih tinggi dari Islamik.
Sebab itu, perbankkan Islam kini menjadi agenda ekonomi dunia. Kerana ia lebih menguntungkan dari sistem konvensional. Seperti ayam yang disembelih dengan BETUL TEKNIKNYA oleh Ah Seng dan juga ayam yang disembelih oleh Pak Karim yang baca Bismillah. Itu sahaja bezanya. Secara teknikal ia sama cuma secara kulit ia kelihatan Islamik. Malah kadangkala cara sembelihan dan pengurusan karkas Ah Seng mungkin jauh lebih bersih dan sihat pun.
Sebelum ada yang bersilat melatah dan mengeluarkan komen-komen yang buruk tanpa membaca habis artikel ini, mari kami tunjukkan mekanisma bagaimana riba ini menghancurkan manusia.
RIBA IALAH AGENDA PENGHAMBAAN MODEN
Hari ini, seorang bayi yang dilahirkan telah tertulis hutang piutangnya. Seorang lelaki dewasa yang dikatakan MERDEKA telahpun berhadapan dengan hutang pelajaran, kad kredit dan hutang kenderaan motor. Berapa ramaikah yang masih bebas dari riba? Adakah lagi? Jika mahu ditanggap oleh Jabatan Agama Islam kerana melakukan riba, pastinya tak cukup penjara nak disumbatkan pesalah-pesalahnya.
PENJELASAN SECARA TEKNIKAL
Hari ini, kita berbelanja bukan mengikut kemampuan saku tetapi kita berbelanja mengikut kemampuan kita mampu bayar sebelum kita MATI. Natijahnya, seorang lelaki biasa akan mula komited dengan hutang-hutang mereka seperti hutang kereta (9 tahun atau selama-lamanya kerana sentiasa akan beli kereta baru), hutang rumah pula (40 tahun / sampai mati), hutang kahwin (5-10 tahun), Hutang belajar (5-15 tahun) dan hutang kad kredit.
Semua ini membuatkan KITA MENJADI ORANG TERJAJAH dan bukannya orang merdeka. Kita tak mungkin mampu untuk berlepas diri dari segala kekangan hutang itu sehingga kita terpaksa bekerja SELAMA-LAMANYA untuk membayar hutang yang kita mulakan pada usia kita 20-an.
Lihat sini dengan tenang. Jika tanpa riba, kita bergaji RM3,000 dan kita mampu berkereta bernilai RM10,000 sahaja. Pengeluar kereta juga akan mengeluarkan kereta pada pasaran mampu dengan kadaran RM10,000 sebuah kereta. Maka kita akan menabung ATAU BERKONGSI wang untuk sampai RM10,000 dan pergi ke kedai untuk beli, bayar dan bawa pulang dengan senang hati.
Insuran pun memadai dengan THIRD PARTY sahaja. INSURANCE FIRST PARTY tidak jadi wajib melainkan atas kesedaran pemilik untuk insurankan kereta mereka. Apabila insuran tidak wajib, maka ia satu pilihan yang mampu kita pilih dan insuran juga akan jadi rendah premiumnya kerana kita ada pilihan. Tidak seperti sekarang, insuran FIRST PARTY jadi wajib maka berapa sahaja mereka nilaikan… kita wajib bayar tanpa banyak soal. Itu juga cabang riba, satu perniagaan secara paksa, menindas dan mengambil untung berlebihan.
Pada kes itu, kita akan berbelanja mengikut kemampuan saku. TETAPI apabila riba diperkenalkan, maka kita yang bergaji RM3,000 MAMPU MEMBAYAR KEMBALI PINJAMAN SEHINGGA RM50,000. Maka penjual kereta juga bertindak mengikut situasi pasaran yang orang sudah mampu memiliki kereta bernilai RM50,000. Maka harga kereta juga akan jadi sebanyak itu.
Itu tidak termasuk perlaksanaan riba dalam semua lapisan. Sebutir skrew di sebuah kereta yang sepatutnya bernilai RM10,000 itu juga dikilangkan oleh sebuah kilang yang MEMINJAM BANK untuk modal pengeluaran mereka. Lalu, kos riba itu ditanggung secara efek domino dalam keseluruhan rangkaian bekalan. Pengilang enjin pula akan beli skrew dan nut dari kilang itu secara hutang. Dan hutang itu juga ada kos nya. Walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk peratusan, logiknya jika bekalan kita BELI TUNAI pasti dapat diskaun lagi. Sebenarnya ia bukan diskaun tetapi itulah harga sebenar. Jika debeli secara hutang atau ‘consignment’ ia akan jadi tinggi sedikit harganya. Itu juga berlaku riba.
Tak termasuk lagi kes kilang enjin itu yang terpaksa meminjam bank juga untuk mengilang engin. Kalau nak dalami lagi, cuba gali sampai ke lombong besi yang menggali besi untuk dibuat skrew tadi. Riba berlaku dalam segala lapisan dan kosnya akan terus dibawa ke hadapan.
jelas sekali riba berlarutan dalam semua rangkaian bekalan. Maka, kereta yang sepatutnya berharga RM10,000 dengan kos pembuatan RM7,000 akan meningkat kos pembuatannya menjadi RM30,000 dan dijual pula pada harga katalah RM50,000 mengikut KADAR KEMAMPUAN PASARAN MEMBUAT PINJAMAN, bukan berdasarkan kos pembuatan sebenar.
Kerana tiada pilihan, kerana riba sudah menjadi SISTEM EKONOMI, maka kita terpaksa memakan riba itu juga. Sedangkan, Allah sudah katakana bahawa pemberi dan penerima riba kedua-duanya sama sahaja.
PESANAN LARANGAN RIBA ADALAH PESANAN TERAKHIR NABI
Dalam khutbah wida, Nabi telah menyatakan larangan riba secara spesifik. Tidak pula ada larangan dosa-dosa lain seperti makan babi, minum arak atau yang lain-lain lagi. Tetapi RIBA itu nabi sebut secara spesifik. Jika ia tidak penting, pasti Nabi juga tidak menyatakannya pada khutbah baginda di Arafah semasa Haji Wida baginda.
Nabi tahu, riba ialah senjata pemusnah SENYAP. Ia telahpun diamalkan oleh orang Yahudi sendiri dalam proses urusniaga jahilliyah sedangkan ia adalah larangan Allah yang dinyatakan dalam semua kitab-kitab Allah dari Taurat sampai kepada Al-Quran. Hatta, pengharaman riba berlaku dalam Agama Kristian pada Era Medieval tetapi mengapa kini kita sudah tidak merasakan riba itu tidak berdosa sepertimana zina?
Jika kita katakana kita tiada pilihan? Nanti bakal ada yang katakan, mereka yang berzina juga tiada pilihan kerana perkahwinan menjadi semakin sulit? Dosa riba lebih besar dari zina. Perkahwinan pula untuk mengelakkan zina, tapi berapa ramai pula yang terpaksa ambil loan dengan riba untuk berkahwin?
MEKANISMA KEMUSNAHAN SENYAP
Hari ini, kita yang kononnya merdeka dan menikahkan anak gadis kita sendiri sebagai walinya telah hilang KEMERDEKAAN yang menjadi salah satu syarat sah seorang wali. Bagaimanakah kita ini? Kita belum merdeka dari hutang. Kita sentiasa rasa kita tak boleh nak mati hari ini kerana kita masih ada hutang yang tidak mahu kita wariskan kepada anak-anak dan isteri kita nanti. Maka kita sudah jadi manusia yang tidak sedia untuk dipanggil Allah. Langsung, kita menjadi manusia yang tidak rindukan Allah. Hari-hari kita akan bangkit untuk bekerja dari pagi sampai ke malam JUGA UNTUK BAYAR HUTANG. Kita kata kita CINTA ALLAH tetapi sehari kita hanya beri Allah 25 minit sahaja (5 minit untuk setiap waktu). Mungkin ada yang rajin sikit, mereka berikan 1 jam sehari untuk Allah. Sedangkan baki masa itu digunakan untuk mengejar wang ringgit untuk membayar hutang kepada TUAN kita.
Bukankah itu sama seperti seorang hamba? Berapa ramai antara anda yang belumpun gaji masuk ke akaun tetapi telah ada bahagian orang lain dari pendapatan itu. Hutang rumah, hutang kereta, hutang kahwin, hutang ceti, hutang kad kredit, hutang belajar dan macam-macam lagi.
Adakah masa untuk anda bangunkan ummah?
Bilakah masa untuk anda perkasakan Islam?
Adakah lagi baki masa untuk anda melaksanakan sunnah?
Ataupun anda hanya panggil bersolat di masjid dan surau sehari semalam sebagai wacana pembangunan umat? Bilakah solat berjemaah anda itu mampu untuk menjadi satu disiplin actual gerak kerja yang memajukan Islam atau hanya sekadar ritual tanpa perlaksanaan? Mengapa pula masjid kini berkunci pada bukan waktu solat? Mengapa masjid Nabi dan masjid komuniti sekitar Madinah dahulu bukan sekadar tempat solat? Di masjid sekarang ini, mengapa hanya cantik tetapi sekadar menjadi lapangan solat? Di mana perekonomian? Di mana baitulmal? Di mana fungsi social? Di mana fungsi pembinaan umat? Di mana fungsi pembangunan keluarga? Di mana segala fungsi masjid yang dahulu ada dalam masjid nabi tetapi hari ini masjid hanya jadi pusat solat. Jika tidak dikunci malam hari akan jadi pusat zina bagi mereka yang nak cari port selamat melampias nafsu.
Semua berada dalam hutang dengan kadar kemampuan PALSU. Mereka tak seluk saku untuk lihat kemampuan tetapi menjengah PUSAT RIBA berapakah mereka layak untuk berhutang.
Golongan BERHUTANG adalah salah satu dari golongan ASNAF menurut Al-Quran dan layak menerima zakat. Jika dikira begitu, hari ini kita kebanyakannya di Malaysia ini adalah golongan ASNAF. Jika apa yang terjadi pada kita hari ini adalah yang haq, maka kita akan menzalimi baitulmal yang terpaksa memberikan kita bantuan zakatnya? Siapa pula nak membayar zakat jika semuanya adalah PENGHUTANG?
Ataupun, pada zaman Nabi dahulu tiada orang berhutang. Jika adapun yang berhutang itu adalah golongan yang sangat terdesak dan mereka berhutang kerana mereka lapar dan keputusan makanan mungkin. Inilah orang yang layak menerima pembelaan baitulmal dan tergolong dalam 8 kategori asnaf.
HALUSNYA KONSPIRASI MEREKA
Selagi Islam belum pupus, selagi itulah musuh Islam akan terus menghancurkan Islam. Tidakkah kita belajar bagaimana Skim Ekonomi Ponzi yang dilaksanakan oleh USA telah menumbangkan gergasi ekonomi ini? Krisis Ekonomi Sub-Prima yang disebabkan juga oleh hutang-hutang dan riba-riba yang dilaksanakan secara sistemik.
Kita pula, nak ikut model kejatuhan itu. Household Debt (Hutang Isirumah) di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Seterusnya, anda tahu apa akan berlaku pada kita nanti.
SOLUSI MELAWAN RIBA
Hari ini, baitulmal hanya menjadi tempat orang miskin meminta bantuan zakat. Mengapakah itu sahaja fungsinya? Mengapakah tidak seperti yang berlaku pada zaman nabi dahulu yang mana fungsi baitulmal ialah seperti rangkuman fungsi-fungsi berikut (dalam dunia moden)
1. Bank Negara
2. Pemungut Jizyah (cukai)
3. Pusat Zakat dan Infaq
4. Pusat Wakaf
5. Amanah Wasiat
6. National Treasure / Perbendaharaan
7. Kementerian Kewangan
8. Kementerian Pembangunan Usahawan
9. Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa
10. Insuran
11. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
13. Kebajikan Masyarakat
14. Pusat perangkaan ekonomi
15. BANYAAAAAAAKKKKKKK LAGI FUNGSI YANG KINI DITIADAKAN.
Sebab itu, apabila BAITULMAL yang dahulu menjadi satu nukleus kemajuan perekonomian Islam kini tercantas fungsinya menjadi sangat minor dan tidak mampu mengubah apa-apa dan tak mampu membendung riba yang kini menjadi darah daging kita.
MEMANG ADA CARA DAN JALAN KELUAR. Tetapi hari ini,
Berapa ramaikah yang mahu menjengah Al-Quran apabila mereka menghadapi masalah?
Jika ada, berapa ramai pula yang fahami ayatnya?
Berapa ramai pula yang laksanakan penyelesaian yang Allah berikan dalam Al-Quran itu?
Atau kita hanya sekadar mengeluh TANPA ADA USAHA MELAKUKAN ISLAH
Kita jadi seperti anjing yang menyalak-nyalak hingar kerana ada paku di tempat tidurnya TETAPI tidak pula mahu berganjak dari tempat tidur berpaku itu.
Fikirkan semula…
Benarkah kita sudah merdeka?
No comments:
Post a Comment