KETIKA ini hangat diperkatakan mengenai pengasas produk kecantikan dan kesihatan Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46.
Bukan kerana produknya, bukan kerana kisah peribadinya yang setelah kembali solo tetapi tentang kemunculannya dengan single pertama.
Ya, lagu I Am Me dendangan Vida nampaknya berjaya menarik perhatian ramai.
Lagunya, liriknya, iramanya yang mudah dan catchy itu membuatkan ia menjadi tular.
Dinyanyikan pula Vida dengan gayanya yang tersendiri membuatkan tidak mustahil jika lagu ini bakal popular di serata dunia tidak lama lagi.
Seperti lagu Pen Pineapple Apple Pen, mungkin konsepnya adalah seperti lagu ini. Ringkas dan mencuit hati.
Lebih menariknya selepas itu dikhabarkan pula rakan-rakan pengasas kecantikan lain yang seangkatan dengannya seperti Datuk Aliff Syukri dan Sajat juga mahu merakamkan lagu.
Namun setakat ini belum lagi kedengaran lagu Aliff Syukri dan Sajat. Mungkin sedang mencari lagu yang hebat dan memasang strategi terbaik.
Maklumlah ahli perniagaan pastinya mereka terlebih dahulu berbincang dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan.
Selain Vida, Aliff dan Sajat, ada ramai lagi pengasas yang glamor dan rajin menaja program-program TV. Mungkinkah mereka juga akan mengikuti langkah Vida ini merakamkan lagu.
Itulah persoalan yang bermain di fikiran Gempal ketika ini. Adakah ia akan menjadi trend terkini?
Gempal tidak ada masalah jika selepas ini ramai lagi jutawan yang mahu menjadi penyanyi. Menarik juga sebenarnya kan?
Benarlah kata-kata orang, ada duit semua boleh jadi. Namun sebenarnya keberanian itu lebih utama. Ada duit tapi tak berani seperti Vida pun tak guna juga. Respek Vida.
Cuma jika benarlah ini trend terkini, nak kata salah pun tidak, nak kata bagus untuk industri pun belum boleh dibuat pengukuran selagi belum ada percubaan.
Namun daripada tular untuk publisiti memang sudah terbukti strategi yang tip top, dari segi untuk memeriahkan industri juga sudah pasti kerana sudah jelas nampak kepelbagaian. Pun begitu, cuma jika diukur dari segi kualiti, itu yang Gempal renungkan sambil termenung dan menggaru kepala yang tidak gatal.
Tidak salah jika untuk semua jutawan atau sesiapa sahaja untuk merakamkan single dan seterusnya boleh declare diri masing-masing adalah penyanyi, tetapi kualiti harus diutamakan. Jika tidak di tahap yang tertinggi pun sekurang-kurangnya bukanlah di tahap yang orang biasa pun boleh pertikaikan.
Gempal faham, selera manusia berbeza. Kadang kala kita rasakan lagu itu boleh hit kerana melodinya, liriknya, cukup terkesan di lubuk hati, namun ia tidak berapa menjadi. Ada juga lagu-lagu yang kita rasakan sekadar bolehlah dan dianggap cukup mudah tapi lagu itu yang menjadi siulan serta mungkin juga juara carta-carta lagu popular.
Jadi kesimpulannya, kita sendiri yang mencorakkan industri hiburan negara kita. Kerana industri hiburan adalah suatu perniagaan maka jika kualiti tahap kelas pertama yang anda inginkan, maka kualiti sekurang-kurangnya kualiti kelas kedua yang anda akan dapat.
Jika kita tidak kisah tentang kualiti dan mahukan hiburan semata-mata, maka itulah yang akan kita peroleh untuk industri hiburan negara kita. Justeru, jangan tanya jika kenapa lagu di seberang sana lebih popular, menusuk jiwa, dan sebagainya.
Segala-galanya adalah kita. Tepuk tanya tanya selera.
Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment