Monday, 7 December 2020

Tafsir Surah Ar Rum, ayat 30-32

30:30-32 Tafsir Surah Ar Rum, ayat 30-32

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (٣٠) مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١) مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (٣٢)

Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah s.w.t. telah menerangkan tentang kesesatan syirik. Pada ayat ini Allah s.w.t. memerintahkan untuk mengikhlaskan ibadah kepada Allah dan keranaNya dalam semua keadaan, dan memerintahkan untuk menegakkan agamaNya.

"30. Maka tegakkan wajahmu bagi agama yang lurus;" 

Maka hadapkanlah wajah, hati, niat dan badanmu dengan lurus kepada Allah. Berpalinglah dari selainNya. Allah sebut “wajah” secara khusus, kerana dengan menghadapnya wajah, maka yang lain ikut juga menghadap.

Luruskanlah wajahmu menghadap kepada agama yang telah disyariatkan oleh Allah bagimu, iaitu agama yang hanif, agama Ibrahim, yang telah ditunjukkan oleh Allah kepadamu dan disempurnakanNya bagimu dengan sangat sempurna.

Di dalam agama Allah terdapat Islam, iman dan ihsan. Iaitu dengan mengarahkan hati, niat dan badan kita untuk menegakkan syari’at Islam yang kelihatan, seperti solat, zakat, puasa, haji, dan sebagainya.

Begitu juga untuk menegakkan syari’at Islam yang tersembunyi, seperti cinta, takut, berharap, kembali dan berbuat ihsan dalam mengerjakan semua syariat yang tampak itu dan yang tersembunyi, iaitu dengan beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya, dan jika tidak merasakan begitu, maka sesungguhnya Dia melihat kita.

Kamu adalah orang yang tetap berada pada fitrahmu yang suci yang telah dibekalkan oleh Allah kepada semua makhlukNya. Kerana sesungguhnya Allah telah membekalkan kepada semua makhlukNya pengetahuan tentang keesaanNya, dan bahawa tidak ada Tuhan selain Dia.

"fitrah Allah yang Dia menciptakan manusia atasnya." 

Allah s.w.t. menciptakan semua manusia dalam keadaan hanif, iaitu cenderung kepada perkara yang hak dan benci kepada perkara yang batil. Dia membekali fitrah Islam kepada makhlukNya. Dia tanamkan semua hukum-hukum syariat yang kelihatan maupun tersembunyi dalam hati semua makhluk.

Dia telah menetapkan indahnya semua syariat Allah, seperti tauhid, mendirikan solat, berbuat baik, dan sebagainya dalam pandangan manusia dan buruknya selain itu. Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Mereka mempunyai naluri beragama iaitu agama tauhid (Islam). Ini adalah hakikat fitrah.

Maka tidaklah wajar jika ada manusia yang tidak bertauhid. Keluarnya mereka dari fitrah ini dan tidak bertauhid adalah disebabkan pengaruh luar dari persekitarannya yang datang kepada fitrah itu sehingga merosakkannya.

Sesungguhnya mereka didatangi oleh syaitan, lalu syaitan menyesatkan mereka dari agamanya. Sebahagian dari mereka dirasuki oleh agama-agama yang telah rosak, seperti agama Yahudi, Nasrani, serta Majusi.

Syaitan mengharamkan atas mereka apa yang telah Allah halalkan bagi mereka. Syaitan memerintahkan kepada mereka untuk mempersekutukanNya dengan sesuatu yang Dia tidak pernah menurunkan keterangan tentangnya. Maka tetaplah kalian di atas fitrah Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada seorang bayi pun yang dilahirkan melainkan atas dasar fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau Nasrani atau Majusi. Sama halnya dengan haiwan ternak yang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna, maka apakah kalian melihat adanya kecacatan pada anak haiwan itu?"

"Tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah." 

Tidak ada perubahan pada fitrah atau agama Allah. Fitrah orang-orang dahulu ertinya agama orang-orang dahulu. Fitrah dan agama bermaksud Islam. Allah s.w.t. memberikan fitrahNya secara sama rata di antara semua makhlukNya, iaitu fitrah (pembawaan) yang lurus. Setiap orang dilahirkan dengan dibekali fitrah tersebut dalam kadar yang sama.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua anak dilahirkan atas dasar fitrah, sehingga lisannya dapat mengutarakan keinginan dirinya. Apabila lisannya telah dapat mengungkapkan kemahuan dirinya, maka adakalanya ia menjadi orang yang bersyukur (Islam), dan adakalanya ia menjadi orang yang pengingkar (kafir)."

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai nasib anak-anak kaum musyrik. Maka Beliau menjawab, "Allah lebih mengetahui apa yang akan dilakukan oleh mereka sejak Dia menciptakan mereka."

Mereka mungkin akan masuk Islam atau sama dengan orang tua mereka yang musyrik. Rasulullah s.a.w. melarang kaum muslim membunuh kanak-kanak kaum musyrik semasa dalam peperangan.

Ayat ini juga bermaksud, janganlah kalian mengubah ciptaan Allah, kerananya kalian menjadikan makhluk atau mengubah manusia dari fitrah yang telah dibekalkan oleh Allah kepada mereka.

"Itu agama yang lurus," 

Itulah agama yang lurus. Berpegang kepada syariat dan fitrah yang utuh merupakan agama yang tegak dan lurus. Iaitu agama yang menyampaikan kepada Allah dan kepada pemberianNya yang istimewa (syurgaNya), kerana barang siapa yang menghadapkan wajahnya dengan lurus kepada agama Islam ini, maka dia telah menempuh jalan yang lurus yang menyampaikan kepada Allah dan syurgaNya.

"akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." 

Kerana itulah maka sebahagian besar manusia tidak mengetahui agama yang lurus. Kalau pun mereka mengetahuinya, mereka tidak mahu menempuhnya. Mereka berpaling darinya dan tidak akan beriman. Jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

"31. Dengan kembali bertaubat kepadaNya" 

Inabah bermakna kembali kepadaNya. Ini merupakan tafsiran dari menghadapakan wajah dengan lurus kepada agama Islam, kerana maksud kembali adalah kembalinya hati dan pengarahannya kepada hal yang diridhai Allah s.w.t.

Perlaksanaannya adalah membawa badan untuk mengerjakan perbuatan yang diridhai Allah dengan melakukan ibadah yang kelihatan maupun tersembunyi, dan hal itu tidaklah sempurna kecuali dengan meninggalkan maksiat yang kelihatan maupun tersembunyi.

"dan bertakwalah kepadaNya" 

Takutlah kepadaNya dan sentiasalah kalian merasa diawasi olehNya. Laksanakanlah perintahNya dan jauhilah laranganNya.

"dan dirikanlah solat" 

Solat merupakan ketaatan yang paling besar. Disebutkan solat secara khusus, kerana solat mengajak pelakunya untuk kembali dan bertakwa, ia mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sehingga membantu tercapainya ketakwaan.

Ada tiga perkara yang melestarikan tegaknya agama ini, menyelamatkan dan menjaga keutuhan tegaknya umat ini, iaitu tetap pada fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, solat yang merupakan agama dan taat yang merupakan pemelihara diri dari perbuatan yang diharamkan.

"dan janganlah kalian menjadi termasuk dari orang-orang yang musyrik." 

Janganlah kalian mempersekutukan Allah. Jadilah kalian orang-orang yang mengesakan Allah, ikhlaskan diri hanya kepadaNya dalam beribadah, dan tiada yang kalian kehendaki dalam ibadah itu selain hanya keranaNya. Disebutkan syirik secara khusus, kerana ia merupakan larangan utama, di mana amal apa pun yang baik tidak akan diterima. Di samping itu, syirk bertentangan dengan sikap kembali, di mana rohnya adalah ikhlas.

"32. Dari orang-orang yang memecah belah agama mereka" 

Janganlah kalian menjadi seperti orang-orang musyrik yang telah memecah belah agama mereka, iaitu mengganti dan mengubahnya, serta beriman kepada sebahagiannya dan ingkar kepada sebagian yang lainnya.

Janganlah kalian meninggalkan agama tauhid (Islam) dibelakang punggung kalian dan menganut berbagai kepercayaan menurut hawa nafsu kalian seperti orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi, para penyembah berhala dan para pemeluk agama yang batil lainnya, selain agama Islam.

Di antara mereka ada yang menyembah patung dan berhala, ada yang menyembah api, ada yang menyembah matahari, ada yang menyembah wali dan orang-orang soleh, dan sebagainya.

"dan mereka menjadi beberapa golongan." 

Agama-agama lain sebelum agama kita berselisih pendapat di antara sesamanya menjadi beberapa golongan yang masing-masing berpegang kepada pendapat-pendapat dan prinsip-prinsip yang batil.

Para pengikut golongan tersebut bersikap fanatik kepada golongannya dan membela kebatilan yang ada pada golongan tersebut, serta menentang orang yang berada di luar golongannya dan memeranginya.

"Tiap-tiap golongan dengan apa yang di sisi mereka bangga." 

Masing-masing golongan merasa bangga dengan ilmu yang menyelisihi ilmu para rasul yang ada pada golongan mereka. Setiap golongan menyangka bahawa dirinyalah yang benar, sedangkan selain mereka adalah batil.

Kaum muslim juga berselisih pendapat sesama sendiri menjadi beberapa golongan. Masing-masing bersikap fanatik kepada apa yang ada bersama mereka, hak atau batil, sehingga mereka mirip dengan kaum musyrik dalam perpecahan, padahal agamanya satu, rasul mereka satu, dan Tuhan yang disembah hanya satu.

Kebanyakan masalah-masalah agama (seperti masalah usuluddin) telah terjadi kesepakatan di kalangan para ulama dan para imam, dan persaudaraan seiman pun telah Allah ikat dengan kuat. Namun, semua itu tidak diterima.

Perpecahan di antara kaum muslimin terjadi kerana masalah-masalah yang samar dan masalah furu’ yang terdapat khilaf. Masing-masing menyesatkan yang lain dan sebahagian mereka memisahkan diri dari yang lain. Ini tidak lain kerana godaan syaitan yang ditimpakan kepada kaum muslimin.

Akhirnya semuanya sesat kecuali satu golongan yang selamat iaitu ahli sunnah wal jama'ah. Mereka berpegang teguh kepada Kitabullah dan sunnah RasulNya. Mereka berpegang kepada apa yang biasa diamalkan di abad pertama Islam, iaitu di masa Rasulullah s.a.w., para sahabat, para tabi'in, dan para Imam kaum muslim, sejak zaman dahulu hingga masa sekarang.

Oleh kerana itu, usaha untuk menyatukan mereka yang berpecah belah, menghilangkan pertengkaran yang terjadi yang didasari atas asas yang batil termasuk jihad fii sabilillah dan amal utama yang mendekatkan diri kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...