'Kini rakyat bayar cukai bahan api'
Seorang pemimpin DAP Perak mendakwa rakyat kini bukan sahaja membayar harga RON95 tanpa subsidi tetapi juga harga yang lebih tinggi dari pasaran.
Ketua biro ekonomi, Chong Zhemin berkata harga petrol di pasaran dunia semalam berada pada tahap US$84.47 (RM277).
Beliau memetik satu analisis AmResearch yang menyebut, RON95 sepatutnya pada tahap RM2.30 seliter tanpa sibsidi kerajaan sekiranya harga pasaran dunia pada tahap US$84.80 (RM278).
“Rakyat Malaysia sekarang secara langsung membayar cukai bahan api sebanyak RM95,” katanya yang merujuk kepada penurunan harga pasaran dunia sebanyak US$0.53 (RM1.74) setong.
Chong berkata, AmResearch menganggarkan bahawa harga minyak pasaran dunia akan terus turun sebanyak 10 peratus, yang akan mengecilkan lagi bayaran subsidi kerajaan sebanyak RM35.6 bilion.
“Dengan harga pasaran minyak dunia jatuh lebih 11 peratus, Putrajaya mesti lebih telus mengenai cara untuk membelanjakan subsidi bahan api RM35.6 bilion,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menggesa agar kerajaan mengurangkan harga RON95 dan diesel berkuatkuasa serta merta.
Beliau juga menggesa kerajaan supaya memindahkan jumlah penjimatan subsidi kepada pemilik kenderaan yang sudahpun membayar jumlah yang besar dalam bentuk cukai berkaitan pengangkutan.
Menurut Bajet 2015, kerajaan akan mengutip sejumlah RM17.3 bilion cukai berkaitan pengangkutan melalui duti eksais, cukai jualan kereta, duti import dan lesen kenderaan.
Kerajaan pada awal bulan ini mengurangkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, yang menjadikan harga masing-masing meningkat kepada RM2.30 dan RM2.10.
No comments:
Post a Comment