Friday, 12 September 2014

Persiapan Rakyat Menghadapi GST

Semasa pembentangan Belanjawan Kerajaan 2014 pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan Goods and Services Tax (GST) dengan menggantikan Sales and Services Tax (SST) yang akan dikuatkuasakan mulai 1 April 2015.
Susulan daripada itu, timbulnya perdebatan sama ada langkah itu adalah adil kepada rakyat atau tidak serta sama ada ia akan membebankan rakyat pada masa akan datang atau tidak.
Bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dengan GST, disini disertakan soal jawab berkenaan GST.
APA ITU GST?
GST ialah cukai yang dikenakan pada setiap peringkat sama ada pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna. GST juga merupakan satu sistem cukai tambah nilai (value added tax VAT).
Ini bermakna nilai cukai akan bertambah pada setiap peringkat urus niaga.
GST dikenakan pada setiap urus niaga kecuali jika urus niaga itu diberi pengecualian.
Walaupun GST akan dikenakan pada setiap urus niaga, namun pada akhirnya, pengguna akan membayar sekali sahaja kerana GST mempunyai mekanisme kredit cukai input atau input tax credit di mana cukai yang dibayar oleh sebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh dituntut balik.
Cuma pengguna akhir sahaja yang tidak dapat meminta balik cukai yang dibayar oleh mereka.
KENAPA KERAJAAN MELAKSANAKAN GST?
GST dilaksanakan kerana kerajaan sudah mengalami defisit fiskal kadar dalam keluaran domestik kasar negara meningkat.
Peningkatan ini telah berlaku hampir 42 tahun dan hanya 5 tahun sahaja negara mempunyai lebihan hasil dalam peruntukan.
Defisit bermakna perbelanjaan negara melebihi hasil pendapatan. Apabila defisit bertambah, ia akan meningkatkan hutang negara. Keadaan ini tidak begitu baik sebenarnya.
Sekarang World Bank telah memberi amaran akibat peningkatan ini dan menyebabkan kedudukan negara akan turun.
Apa yang menjadi masalahnya dengan kedudukan ini ialah, negara akan mengalami kesusahan untuk mendapatkan pinjaman dari luar.
Terdapat beberapa agensi yang menilai kedudukan atau rating seperti Standart Impure, Rating Agency Malaysia (RAM) dan banyak lagi.
Sekiranya rating ini tinggi, ia akan memudahkan negara untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari luar.
Jika kedudukan negara turun bermakna kedudukan ekonomi berada dalam keadaan yang tidak baik.
Oleh sebab ini, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan GST.
MENGAPA GST DILAKSANAKAN PADA 1 APRIL 2015?
Pengalaman dari negara luar telah membuktikan bahwa GST bukanlah cukai yang boleh dikenakan pada hari esok. Ianya memerlukan banyak persedian dari segi penjual, pemborong dan pengguna.
Mekanismenya sangat rumit dan memerlukan masa bagi membuat persedian bukan sahaja kepada mereka yang dikenakan cukai malah kepada pihak yang mengutip cukai.
Pengalaman dari negara luar menunjukkan, sesebuah negara yang ingin melaksanakan GST memerlukan dua tahun bagi membuat persediaan sepenuhnya.
Dalam masa tersebut, apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengadakan kempen bagi menerangkan struktur dan mekanisme GST.
Masalahnya di Malaysia pada waktu ini, masih tidak banyak kempen kesedaran yang dijalankan bagi menerangkan cara pelaksanaan GST kepada pengguna.
Walau bagaimanapun, sekiranya kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan gagal, maka ini akan menyebabkan berlakunya pembaziran wang negara.
Sehingga sekarang kita dapati masih ramai pengguna yang tidak memahami perlaksanaan GST yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
BAGAIMANAKAH MAHU MEMASTIKAN KETELUSAN GST KEPADA MASYARAKAT?
Semua jenis cukai susah untuk memastikannya telus kepada semua pihak.
Perlaksanaan GST lebih ketat kerana setiap orang yang membayar GST perlu mengekalkan rekod yang jelas.
Sekiranya rekod tidak jelas, mereka tidak boleh mendapat bayaran balik atas cukai yang sudah dibayar.
Secara umumnya, boleh kita katakan GST ini mempunyai sistem check and balance kerana untuk mendapatkan bayaran balik kita mesti menulis rekod dengan telus.
ADAKAH GST MENYEBABKAN KENAIKAN KADAR INFALASI DAN HARGA BARANG?
Tanggapan bahawa negara akan mengalami inflasi adalah betul. Setiap negara yang melaksanakan GST akan menyebabkan peningkatan harga barangan untuk sekali ganda.
Kadar inflasi bukanlah kenaikan harga barangan untuk sekali sahaja. Inflasi ialah apabila harga barangan meningkat tahun demi tahun. Ia adalah satu proses dan lebih dikenali sebagai one time increase.
Bagi keadaan di Malaysia, kemungkinan besar akan berlakunya inflasi kerana apabila GST dilaksanakan, subsidi akan ditarik balik dan menyebabkan kenaikan harga barangan.
Impak yang membimbangkan ialah kesan GST dan kesan kenaikan harga barangan akibat penarikan balik subsidi berlaku pada masa yang sama sehingga menyebabkan berlakunya inflasi.
Sekarang, rakyat sudah mula mempersoalkan kenaikan harga barangan akibat pengurangan subsidi oleh kerajaan dan ditambah pula dengan beban GST akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
APAKAH KEBAIKAN GST KEPADA NEGARA DAN RAKYAT?
GST akan mendatangkan hasil yang lebih tinggi kepada negara. Manakala rakyat hanya bergantung kepada apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dengan hasil pungutan cukai yang lebih tinggi.
Rakyat akan beruntung sekiranya kerajaan menggunakan cukai yang dipungut untuk kebaikan mereka.
Sekiranya berlakunya pembaziran kewangan negara, ia tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat dan perlu menanggung beban yang lebih berat dalam menghadapi inflasi.
BERAPA KADAR YANG SESUAI DIKENAKAN JIKA GST MAHU DILAKSANAKAN?
Pada mulanya, kerajaan mencadangkan sebanyak 4%,  tetapi kadar ini adalah terlalu rendah. Ini disebabkan oleh kos mentadbir cukai ini yang tinggi dan kerajaan merasakan 6% adalah kadar yang sesuai.
Apa yang perlu diberi perhatian ialah kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa kadar yang dikenakan sebanyak 6% akan dikekalkan sekurang-kurangnya selama lima sehingga tujuh tahun untuk mendapatkan keyakinan daripada rakyat.
Sebagai contoh di Singapura, kadar GST mula diperkenalkan sebanyak 3% dan kerajaan telah memberi jaminan pengekalan kadar ini selama lima tahun.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah mengekalkannya selama tujuh tahun.
Membayar cukai tidak menjadi masalah untuk menambah pendapatan negara.
Sekiranya kerajaan menggunakan pendapatan cukai GST secara bijaksana dengan menjalankan projek-projek yang mampu memberi keuntungan semula kepada rakyat.
Contohnya di Sweden dan Denmark, rakyat terpaksa membayar cukai yang tinggi tetapi apa yang diperolehi oleh mereka ialah pendidikan percuma sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah. Hal ini kerana kerajaan mengenakan cukai yang tinggi untuk memberi kemudahan semula kepada rakyat.
Di Malaysia, hal yang membimbangkan kita adalah kerana kerajaan telah banyak melakukan pembaziran kewangan negara.
Sekiranya, kita memberi lebih ruang dengan meningkatkan hasil pendapatan negara, pembaziran yang lebih banyak akan berlaku pada masa akan datang.
Laporan audit negara tahun demi tahun mendedahkan kebocoran dan pembaziran. Kerajaan perlu menunjukkan tindakan yang serius tentang pembaziran yang terlaku berlaku untuk meyakinkan rakyat.
IMPLIKASI PERLAKSANAAN GST TERHADAP GOLONGAN PERTENGAHAN KE BAWAH DAN TIDAKKAH GST AKAN MENAMBAH BEBAN RAKYAT BERPENDAPATAN RENDAH?
Penang Instistut baru-baru ini telah menjalankan satu kajian mengenai kesan perlaksanaan GST di Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ia akan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.
Beban yang paling tinggi bukannya ditanggung oleh masyarakat yang berpendapatan sangat rendah atau berpendapatan sangat tinggi.
Ianya ditanggung oleh golongan yang berpendapatan pertengahan bawah.
Rakyat miskin mereka tidak akan mengalami kesulitan kerana barangan yang digunakan oleh mereka tidak dikenakan cukai oleh kerajaan.
Manakala bagi golongan yang berpendapatan tinggi, mereka tidak mempunyai masalah kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membeli barangan yang dikenakan cukai.
Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa golongan berpendapatan pertengahan bawah adalah terdiri daripada kaum Melayu yang berpendapatan rendah berbanding kaum bukan Melayu.
Kajian tersebut menunjukkan bahawa kemungkinan besar akan berlakunya inflasi di Malaysia.
NEGARA ASEAN YANG MELAKSANAKAN GST DAN BAGAIMANA KESANNYA KEPADA NEGARA DAN RAKYAT ITU SENDIRI?
Tiada negara yang suka  perlaksanaan cukai. Walau bagaimanapun, Malaysia merupakan antara negara terakhir yang melaksanakan GST.
Cadangan untuk melaksanakan GST bermula ketika Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan Malaysia tetapi tidak dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir pada ketika itu sebagai Perdana Menteri.
Cadangan perlaksanaan GST ini terus disuarakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim kerana pada masa tersebut, ekonomi negara sedang meningkat dan bukan seperti sekarang.
Keadaan ekonomi negara pada waktu sekarang tidak bersesuaian untuk melaksanakan GST.
Sekiranya ekonomi negara melambung tinggi barulah ia merupakan waktu yang paling sesuai untuk mengenakan cukai tersebut.
NASIHAT DAN CADANGAN PROF UNTUK RAKYAT BAGI BERDEPAN GST
GST ialah cukai penggunaan. Sekiranya rakyat boleh mengurangkan penggunaan barangan yang tidak penting, beban cukai yang ditanggung akan menjadi kurang.
Kedua, rakyat mesti membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka serius tentang tanggungjawab kerajaan apabila kerajaan diberi hasil yang begitu besar. Rakyat tidak boleh terus senyap dengan membiarkan kerajaan melakukan apa-apa dengan sesuka hati.
Rakyat perlu bangkit dan menunjukkan bahawa kerajaan sedang diperhatikan.
Tunjukkan bahawa rakyat tahu apa yang berlaku. Ini akan menyebabkan kerajaan akan lebih berhati-hati. Hal ini kerana, kerajaan akan berbalik kepada rakyat untuk meraih undi ketika pilihanraya.
Sekiranya rakyat main-main, kita akan mendapat kerajaan yang main-main. Sekiranya kita serius, kita akan mendapat kerajaan yang serius.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...