Thursday, 9 October 2014

Lambat Atau Cepat Najib Akan Berundur Juga Akhirnya

Nada seperti ini adalah antara yang semakin kerap didengari di mana-mana sekarang ini. Dengan menaikkan harga petrol dan diesel yang tidak kena pada masanya kali ini, ia bukan saja umpama memberi peluru tambahan kepada pembangkang untuk terus menghakis kepercayaan terhadap UMNO dan BN, tetapi juga secara automatik menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap kemampun pimpinan yang ada mentadbir negara ini.
Walaupun ada yang berkata, kemarahan rakyat itu pasti akan reda apabila menerima BR1M dan pelbagai gula-gula dalam Belanjawan pada 10 Oktober depan, hakikatnya jika berkali-kali terus dibebankan dengan beban sara hidup yang kian meningkat pastilah kepercayaan mereka akan goyang juga. Jika sebahagian penerima BR1M boleh dipujuk semula, tetapi bagaimana pula dengan pengundi muda dan mereka yang semakin terdedah kepada dunia maklumat yang terbuka?
Mahu tidak mahu, kenaikan berterusan petrol dan diesel kali ini terus menyebabkan keyakinan rakyat terhadap BN kian terhakis. Datuk Seri Najib dan pimpinan kerajaan tidak dipercayai lagi mampu membawa negara ini ke arah yang lebih baik. Sudah ramai pula yang ragu sama ada Wawasan 2020 yang tinggal enam tahun lagi akan tercapai dengan jayanya atau hanya tinggal impian saja.
Meskipun kerajaan sering berbangga dengan pelbagai petunjuk dan angka yang menggambarkan keadaan negara bertambah baik, hakikat yang sebenarnya derita rakyat bertambah dalam masa yang sama. Selain ramai yang tidak mempercayai lagi angka-angka yang ditunjukkan itu, ramai juga mengingatkan Perdana Menteri bahawa menjadi CEO negara bukanlah seperti menjadi CEO syarikat-syarikat besar
CEO syarikat besar mungkin dilihat berjaya jika setiap tahun dapat menunjukkan angka pertumbuhan dan keuntungan tetapi kejayaan CEO negara lebih diukur dari segi kemampuan memberi kesejahteraan dan kegembiraan kepada rakyatnya. Memotong subsidi beberapa kali sehingga menyebabkan derita rakyat bertambah tetapi negara tidak juga mempunyai wang yang lebih banyak sehingga perlu menambah hutang setiap adalah kegagalan yang nyata seseorang pemimpin.
Datuk Seri Najib memang diketahui ingin berkuasa lebih lama lagi, tetapi peningkatan kemarahan dan luahan perasaan tidak puas hati yang kian meningkat hari demi hari yang tercipta melalui kegagalannya sendiri, bukan saja dari luar tetapi mula bercambah daripada dalam, adalah batu besar yang bakal menghalang impiannya itu.

Artikel bermula disini