Apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata nama sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”, ia bukan soal fakta semata-mata tetapi lebih penting lagi, nada perkauman yang ditimbulkannya.
Kenyataan daripada seorang pemegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan juga parti pemerintah itu tidak mencerminkan semangat kebangsaan Malaysia yang menuntut sikap saling hormat-menghormati antara kaum, sekaligus tidak mencerminkan fahaman politik Umno yang asal.
Ini kerana umum mengetahui bahawa bapa Dr Mahathir adalah Mohamad bin Iskandar dan sememangnya keturunan India dari negeri Kerala. Sementara ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hamidi adalah seorang Melayu.
Kemelayuan Dr Mahathir
Dalam amalan berbudaya di negara ini, sesiapa yang mempunyai keturunan Melayu, tidak kiralah dari ibu atau bapanya, adalah dianggap Melayu.
Maka kemelayuan Dr Mahathir tidak dapat dipertikaikan.
Sebab itu tidak ada masalah bagi seseorang keturunan India yang juga mempunyai keturunan Melayu diterima sebagai ahli Umno.
Untuk mengatakan Dr Mahathir menggunakan Umno untuk kepentingannya selama ini juga adalah tidak benar. Beliau dipilih para perwakilan Umno untuk menjadi presidennya selama 22 tahun. Tentulah di luar pemahaman sesiapa pun untuk menolak kemelayuan Dr Mahathir.
Zahid juga tahu tentang perkara ini kerana beliau sendiri pernah berada di bawah kepimpinan Dr Mahathir.
Cumanya sekarang ini adalah suasana menjelang pilihan raya umum ke-14. Zahid adalah pemangku timbalan presiden Umno, parti tonggak Barisan Nasional (BN) yang sedang berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Dr Mahathir.
Maka kenyataannya itu adalah dalam rangka perang saraf BN menentang Pakatan Harapan (PH).
Penggunaan isu peribadi yang dikaitkan dengan perkauman kelihatan digunakan sebagai strategi. Ia tidak akan terhenti di situ.
India dalam sejarah Melayu
Dalam tradisi sejarah Melayu, faktor perkauman terutama nada memperkecilkan sesuatu golongan adalah tidak asing lagi.
Masyarakat Melayu bersifat majmuk sejak dahulu kala, baik ketika zaman Kedah purba yang memiliki kehadiran saudagar India mahupun dalam Istana Sultan Melaka di mana kehadiran watak dari benua kecil itu diabadikan dalam kitab Sejarah Melayu sendiri.
Tokoh keturunan India memainkan peranan dalam politik istana kesultanan Melaka. Namun dari segi kisahnya, mereka diberikan sudut pandangan negatif.
Tetapi dalam istana kesultanan Melaka juga terdapat watak keturunan Jawa yang juga diberikan sudut pandangan negatif. Watak dalam iSultan Melaka adalah majmuk. Bukan saja yang keturunan India, tetapi juga dari Jawa, Arab dan Cina.
Penulis Sejarah Melayu juga mempunyai agenda politik zaman itu untuk menggambarkan sudut negatif pada golongan keturunan India dan Jawa.
DKK
Pada tahun 1930-an, khususnya di Singapura sebagai pusat kebudayaan Melayu ketika itu, terdapat perdebatan yang disebut sebagai “Takrif Melayu”. Perdebatan itu ditampilkan melalui akhbar dan majalah Melayu untuk menghujahkan siapakah sebenarnya orang Melayu.
Maka ditimbulkan mengenai “DKK” dan “DKA”, iaitu Darah Keturunan Keling dan Darah Keturunan Arab yang tidak dianggap Melayu sebenar oleh golongan Melayu Jati, yang merujuk pada orang Melayu yang berasal dari Kepulauan Melayu.
Ketegangan berlaku antara Melayu Jati dan DKK serta DKA. Ia berlaku kerana DKK dan DKA dilihat lebih berjaya dari segi pencapaian ekonomi berbanding dengan Melayu Jati. Lebih-lebih lagi mereka yang berketurunan Syed di kalangan DKA.
Sifat anak DKK dan DKA yang lebih pintar dan cerdik dalam pendidikan dan kerjaya menimbulkan rasa iri hati di kalangan orang Melayu Jati. Lebih-lebih lagi adanya watak angkuh dari kalangan orang DKK dan DKA.
Ada kalanya sifat asertif dan ekstrovert orang DKK dilihat sebagai keangkuhan.
Pada masa ini, perdebatan ini timbul semula di Singapura apabila parti pemerintahnya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) bercadang untuk mencalonkan Halimah Yacob sebagai presiden Singapura.
Beliau disifatkan sebagai calon presiden Melayu memandangkan Singapura sudah lama tidak memiliki ketua negara daripada kaum itu, iaitu sejak Yusof Ishak menjadi presiden pertama Singapura.
Perdebatan timbul mengenai kemelayuan Halimah kerana bapanya seorang keturunan India Muslim. Namun oleh kerana ibu beliau seorang Melayu, sepatutnya isu itu tidak timbul.
Siapa Melayu
Ketika Umno mula ditubuhkan pada tahun 1946, yang turut disertai oleh perwakilan dari Persatuan Melayu Singapura, takrif Melayu diselesaikan dengan menetapkan 3 syarat untuk sesiapa dianggap sebagai orang Melayu.
Syarat itu adalah seseorang itu hendaklah beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu, termasuklah menghormati raja-raja Melayu.
Syarat-syarat itu membolehkan banyak penduduk Singapura, Melaka dan Pulau Pinang menjadi orang Melayu. Ini kerana sebelum itu, orang Melayu dianggap sesiapa yang menjadi rakyat kepada mana-mana raja Melayu di negeri Melayu, tidak kiralah mereka berasal dari Sumatera atau Jawa.
Orang India dan Cina ketika itu dianggap hanya datang untuk sementara waktu kerana akan pulang ke negara masing masing setelah memperoleh kekayaan.
Ketika China di bawah pemerintahan Dinasti Ching, Cina di Malaya dan Singapura dianggap sebagai rakyat Maharaja China yang bersemayam di Beijing.
Melayu lain yang dipandang tinggi
Tetapi di kalangan Melayu sendiri, terdapat perbezaan kedudukan di antara mereka. Ketika orang Melayu keturunan India dipandang rendah, keadaan yang sama tidak berlaku pada orang Melayu keturunan Arab dan Turki.
Orang Arab dipandang paling tinggi. Sementara di kalangan orang Melayu dari kepulauan Melayu seperti orang Jawa, Boyan dan Banjar dipandang rendah.
Tetapi kedudukan orang Melayu Sumatera seperti Minang, Mandailing dan Aceh serta dari Sulawesi seperti Bugis dipandang tinggi. Begitu juga mereka yang berasal dari Pattani.
Maka pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar yang berketurunan Turki dipandang tinggi dan membolehkan beliau menjadi pemimpin yang dihormati.
Tunku Abdul Rahman walaupun keturunan Siam adalah putera raja Kedah yang menyebabkan beliau dipandang tinggi.
Begitu juga Tun Razak Hussein yang berketurunan Bugis dipandang tinggi. Lebih-lebih lagi hakikatnya bahawa Sultan Johor, Pahang dan Selangor adalah juga keturunan bangsawan Bugis.
Tetapi bila sampai pada Dr Mahathir, menjadi presiden Umno, maka muncul suara-suara yang merendahkan kedudukan sosial beliau kerana keturunan Indianya. Hakikat ibunya berketurunan status tinggi dalam masyarakat Melayu tidak ditimbulkan.
Namun Dr Mahathir seperti mana bapanya, Mohamad, adalah antara Melayu keturunan India yang mempunyai status kerjaya yang dihormati. Bapanya seorang guru besar dan Dr Mahathir adalah seorang doktor.
Kejayaan beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun mengesahkan keunggulannya sebagai pemimpin Melayu.
Dari awalnya, fahaman politik Umno tidak membezakan keturunan orang Melayu. Sementara fahaman asal BN pula tidak membezakan kaum di negara ini.
Tetapi semua kaum mempunyai tradisi budaya yang meninggikan atau merendahkan seseorang.
Zahid hanya memainkan emosi tradisi perkauman orang Melayu. Beliau sendiri adalah keturunan Jawa, walaupun dari golongan asal bangsawan.
Saya pasti beliau juga mempunyai sanak saudara yang mempunyai keturunan India. Kenyataan beliau terhadap Dr Mahathir hanyalah wayang politik dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
No comments:
Post a Comment