Di dalam tahun 2013 sejurus sebelum pilihanraya tahun 2013, Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno telah menerima wang sebanyak RM2,600 juta di dalam akaun peribadi beliau. Berikut adalah jawapan jawapan yang diberi oleh beliau mengenai kekalutan tersebut.
Jawapan 1: Wang tersebut dimasukkan di dalam akaun peribadi kerana akaun peribadi itu adalah akaun amanah untuk UMNO dan Najib Razak adalah pemegang amanah tersebut.
Jawapan ini salah kerana: Di dalam perlembagaan UMNO, sememangnya ada peruntukan untuk pemegang amanah. Walau bagaimanapun, akaun peribadi di atas nama Najib Razak tersebut bukanlah akaun amanah. Beliau sendiri tidak pernah berkata demikian. Bukti terbesar yang akaun tersebut bukannya akaun amanah boleh dilihat di dalam penyata kewangan UMNO tahun 2013 dan 2014 di mana tidak terdapat jumlah wang sebanyak RM2,600 juta di dalamnya.
Oleh itu jika mengatakan ianya akaun amanah, di mana hanya seorang saja yang menjadi penanda tangan, adalah tidak benar kerana tidak ada seorang pun di dalam UMNO mengetahui berkenaan ‘akaun amanah’ tersebut. Seluruh Majlis Tertinggi juga tidak tahu tentang kewujudan akaun amanah ini. Bendahari Umno dan Setiausaha Agong Umno pun akan juling biji mata jika kita bertanya adakah mereka tahu akan kewujudan wang tersebut dan adakah ianya diminitkan di dalam mana-mana minit mesyuarat di dalam tahun 2013?
Ini bermakna Najib Razak telah melanggar undang undang ROScontohnya seksyen 14 di mana maklumat mengenai penerimaan wang yang besar dari luar negara perlulah segera di beri notis kepada ROS. Syukur ada juga ahli Umno yang sedar akan perkara tersebut dan telah membuat laporan terhadap Najib Razak kepada pihak berkuasa, yakni ROS.
Adakah Najib Razak telah melanggar perlembagaan UMNO sendiri bila mana wang yang di amanahkan untuk UMNO tidak dibentangkan semasa perhimpunan agung di dalam tahun 2013 dan 2014? Dalam ertikata lain, wang tersebut telah digunakan oleh Presiden parti tanpa diselia oleh UMNO. Ahli-ahli Umno boleh sahaja melihat semula akaun Umno di dalam tahun 2013 dan bertanya kepada Bendahari parti di mana perginya wang tersebut.
Jawapan 2: Wang RM2,600 juta tersebut adalah untuk dana politik Umno dan BN bagi kempen pilihanraya 2013.
Jawapan ini salah kerana: Di dalam akta undang undang pilihanraya Malaysia 1954, adalah menjadi kesalahan jika wang melebihi RM200,000 untuk setiap calon parlimen dan RM100,000 untuk setiap calon DUN digunapakai semasa berkempen.
Jika di darabkan kesemua jumlah calon parlimen dan DUN pada ketika itu, jumlahnya tidak sampai RM2,600 juta (sepatutnya anggaran maksimum sekitar RM100 juta sahaja). Disebabkan jawapan Presiden yang begitu semberono dan tidak berfikir panjang, pihak pembangkang telah bertindak menyaman Najib Razak di atas dakwaan melanggar Akta Pilihanraya 1954.
Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mewartakan keputusan pilihanraya 2013 sebagai tidak sah dan BN mungkin didenda. Amat berbahaya sekali tingkah laku Presiden Umno dan Pengerusi BN ini.
Jawapan 3: Wang tersebut adalah derma dan hadiah kepada Najib Razak secara peribadi.
Jawapan ini salah kerana: Walaupun di dalam corak peribadi, seorang pegawai kerajaan dan ahli parlimen tidak boleh menerima habuan untuk diri beliau sendiri kerana ianya menyalahi undang undang SPRM dan Kanun Keseksaan.
Lebih lebih lagi jika akaun tersebut adalah rahsia dan tidak ada sesiapa pun yang tahu mengenainya. Sesungguhnya ketika menerima wang tersebut sejurus sebelum pilihanraya 2013, beliau diam menikus persis orang bisu dan tidak memberitahu sesiapa pun mengenainya. Bendahari Umno juga tidak mengetahuinya.
Akta SPRM seksyen 16 dan 23 mengatakan bahawa pegawai awam (termasuk ahli parlimen) tidak boleh menerima suapan (termasuk derma dan hadiah) dalam bentuk apa sekalipun dan menjadi kesalahan jika beliau menggunakan pangkat dan kedudukan untuk mendapat suapan tersebut. Undang-undang ini amat jelas.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan juga berkata bahawa pegawai awam tidak boleh menerima apa apa barang bernilai (termasuk wang) walaupun pemberi tersebut tidak minta sebarang balasan. Undang undang ini juga amat jelas. Dan ramai ahli politik dan pegawai awam sudah ditangkap kerana melanggar akta ini.
Seksyen 165 Akta Kanun Keseksaan
Jawapan 4: Wang tersebut digunakan bukan untuk kepentingan peribadi.
Jawapan ini salah kerana: Penjelasan ini tidak cukup kerana berdasarkan ulasan kepada jawapan nombor 1 di atas, tiada bukti jelas bahawa wang tersebut tidak digunakan untuk kepentingan peribadi. Sehingga pagi ini, Najib Razak tidak pernah menunjukkan bukti perbelanjaan satu persatu dan pada siapa wang itu dibelanjakan.
Jika hendak memeriksa di dalam akaun Umno pun tidak boleh kerana wang tersebut tidak disalurkan ke dalam akaun rasmi parti. Jika beliau mengatakan ianya akaun amanah, maka secara automatik, semua aliran duit keluar masuk dari akaun peribadi tersebut perlulah di pantau dan di audit hingga ke setiap sen yang terakhir.
Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan amalan rasuah. Di dalam tahun 2012, Najib Razak sendiri berkata segala dana politik atau derma wajib dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti dan bukan dalam akaun persendirian. Malang tidak berbau, di dalam tahun 2013 beliau menerima juga wang tersebut ke dalam akaun peribadi beliau. Beliau boleh menolak sedekah RM2.6 billion tersebut (kerana beliau orang berada), tetapi menerimanya juga secara senyap senyap.
Kitaran ‘cash is king’
Jawapan 5: Pemberi tidak meminta apa apa balasan untuk sedekah tersebut.
Jawapan ini salah kerana: Tidakkah ganjil untuk menerima tawaran wang tunai berbillion-billion ringgit tanpa mengetahui niat sebenar pemberi tersebut? Menerima wang tanpa mendapat balasan juga adalah salah di sisi undang-undang sebagaimana ulasan di dalam jawapan 3 di atas.
Jika pemberi tidak mempunyai sebarang niat atau hajat semasa memberi sedekah tersebut, mengapa beliau mengatakan bahawa wang tersebut digunakan untuk melawan Yahudi? Asalnya, beliau berkata kepada ketua-ketua bahagian bahawa wang tersebut adalah ‘untuk melawan ISIS’.
Kadangkala, wang tersebut dikatakan sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia kerana mengamalkan ajaran sunnah wal jamaah. Akan tetapi di dalam rancangan temubual kelmarin, Najib Razak berkata pemberi wang tersebut berkeras mahukan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Wah, rakyat Malaysia sejak beratus tahun lama mengamalkan ajaran sunnah wal jamaah, tetapi Najib Razak yang mendapat habuannya? Mengapa Najib Razak tidak menolak pemberian tersebut dan memintanya untuk dimasukkan ke dalam akaun rasmi JAKIM atau yang sewaktu dengannya?
Semua jawapan-jawapan dari beliau tidak masuk akal.
Konar kiri kanan pun kena juga.. mana mahu lari?
Sebenarnya, tidak ada apa lagi yang penyokong Najib Razak perlu membabi buta mempertahankan beliau. Najib Razak sendiri telah berkata bahawa mana mana wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi ahli politik mempunyai risiko penyelewengan dan rasuah. Beliau sendiri mengakuinya. Oleh itu, kenapa masih ada di kalangan mereka di PWTC yang masih hendak menyokong Presiden sebegini?
https://jebatmustdie.wordpress.com/2015/12/09/jawapan-jawapan-yang-tidak-betul-dari-najib-razak-mengundang-masalah-sendiri/
No comments:
Post a Comment