Wednesday, 1 February 2017

Jin, Iblis Dan Syaitan

Mungkin ada di antara kita masih lagi keliru dengan perbezaan di antara iblis, syaitan dan jin. Walhal para ulama’ sendiri berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggunjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia.
Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Jin
Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya.
Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”
Iblis
Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Syaitan
Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.
Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. Menurut Ibn Qayyim maksud “jalan yang lurus” di dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya“.
Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...