Monday 16 June 2014

Umno Zalim Pada Penyokongnya, Bagaimana Dengan Rakyat?

KUALA LUMPUR 15 JUN: Penduduk Kampung Chubadak kecewa dengan sikap pemimpin Umno yang tidak bersuara ketika rumah mereka dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Kekesalan itu diluahkan seorang wanita yang dikenali sebagai Munah, salah seorang penduduk asal kampung itu dipaksa keluar oleh DBKL bagi memajukan kawasan tersebut.
“Kami kesal kerana tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang datang atau bersuara ketika kami meraung meminta bantuan agar rumah kami tidak dirobohkan,” katanya dipetik dari laman blog warga marhaen.
Kata Munah, waktu pilihan raya, beberapa pemimpin UMNO pernah datang ke kampung tersebut untuk berkempen.
“Kami memang menyokong Barisan Nasional (BN) malah tempat ini juga turut dijadikan pusat kempen baik untuk Wanita, Pemuda mahu pun Puteri.
“Bila jadi macam ni, saat kami amat memerlukan mereka, tak seorang pun tampil apalagi hendak bersuara membela nasib kami.
“Berjaya atau tidak itu untuk menyelamatkan kami di sini itu soal lain tetapi apa peranan pemimpin-pemimpin ini yang pernah datang meminta bantuan kami,” katanya penuh kesal.
Menurut Munah, apa yang berlaku memang sukar diterima penduduk kampung itu tetapi lebih menyedihkan perjuangan mereka sebagai bangsa Melayu tidak dipedulikan oleh pemimpin Melayu.
“Kami faham mungkin terdapat kerumitan untuk selesaikan tuntutan kami tetapi apalah salahnya jika ada pemimpin yang boleh membantu kami menangguhkan kerja-kerja menghalau kami?
“Satu dunia nampak apa yang berlaku di sini. Satu dunia nampak kami merayu pihak DBKL supaya tidak merobohkan rumah kami dan takkanlah tak ada seorang pun pemimpin Melayu yang boleh bersuara supaya kami tidak dihalau sebegini rupa?
“Tak lama lagi umat Islam akan menyambut puasa dan kemudian hari raya. Cubalah bayangkan bagaimana dan di mana kami hendak meraikan bulan-bulan kebesaran Islam itu setelah kami kini tiada tempat tinggal,” katanya.
Jelas Munah, perkara sudah pun berlaku dan sudah terlambat untuk mana-mana pemimpin datang membantunya. Pemimpin yang datang dan berjuang bersama mereka ialah pemimpin pembangkang antaranya Tian Chua dan Pemuda Pas.
Ini bukan soal politik katanya tetapi lebih kepada misi kemanusiaan. Namun pemimpin UMNO yang diharapkan tidak pernah muncul apalagi untuk bersuara.
“Hati kami dah hancur lebur sama seperti hancurnya rumah kami yang dirobohkan DBKL tanpa ehsan. Lepas ni, tak payahlah susahkan diri datang jumpa kami nak hulur bantuan itu dan ini.
“Semuanya tidak akan dapat mengubat hati kami yang dah lebur. Kampung kami sudah hilang dan kini telah pun menjadi sejarah.
“Namun perasaan kesal tetap akan kekal dalam diri kami kerana sikap pemimpin yang jelas nampak hanya mementingkan diri sendiri daripada rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...