Tuesday, 28 April 2015

Hebatnya Ayatul Qursi

Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat dalam Al-Quran. Rasulullah SAW 
menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Fadhilat dan kehebatan ayat ini telah diterangkan dalam 99 hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.
Antara syafaat dan manfaat yang didapati:
1. – Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, Insyaallah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah S.W.T.
2. – Mengikut keterangan dari kitab Asraarul Mufidah, sesiapa yang mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikan pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
3. – Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, sesiapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, Insyaallah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
4. – Rasullullah s.a.w bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya”.
5. – Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai Allah dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad.
6. – Mereka yang beramal dengan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan.
7. – Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
8. – Mengamalkan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanan.
9. – Ayat Kursi yang dibaca dengan khusyuk, Insyaallah akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
10. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah akan mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh.
11. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi di akhir setiap sembahyang fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
12. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
13. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi ketika kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
14. – Barang siapa yang membaca ayat Kursi di akhir sembahyang, Allah akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
15. – Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
“Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan KekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Kursi; 225.

Sunday, 26 April 2015

Kepentingan Adab Dalam Menuntut Ilmu

Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir al Joofre
Alhamdulillah, dengan taufiq Allah selesai pembacaan kitab Ta’limul Muta’allim semalam di Shoubra. Moga sama-sama yang mengajar dan yang belajar dapat faedah.
Pada permulaan kitab ini, Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji telah menulis:
“Maka apabila aku melihat ramai penuntut ilmu pada zaman kita ini bersungguh-sungguh kepada ilmu, dan mereka tidak sampai pula (tidak mendapat manfaat dan hasilnya iaitu beramal dan menyebarkannya), terhalang kerana bahawasanya mereka telah salah jalannya dan meninggalkan syarat-syaratnya. Dan setiap yang tersalah jalan akan sesat, dan tidak mendapati tujuan, sedikit mahupun banyak. Maka aku ingin dan suka menerangkan kepada mereka jalan menuntut ilmu….”
Seterusnya Assyaikh Azzarnuji pun menyebutkan adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu daripada niat menuntut ilmu itu sendiri hinggalah kepada memilih guru dan rakan-rakan, pentingnya mengagungkan ilmu dan ulamak, warak dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntu ilmu.
Saya sebutkan perkara di atas apabila mendapati pada zaman kita hari ini, terlalu banyak (dan tentu lebih banyak lagi dari zaman Imam Zarnuji hampir 10 abad yang lalu) di kalangan kita yang mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi tidak mendapat faedah daripada ilmunya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk masyarakat. Malah hari ini ramai yang bukan dari aliran agama pun ingin belajar ilmu agama. Sangat baik. Tetapi mengapa tidak didapati barakahnya?
Antara sebabnya adalah “tersalah jalan” itu sendiri. Adab menuntut ilmu sudah terlalu jauh untuk diamalkan. Ingatlah menuntut ilmu agama ini bukanlah dengan mengumpul dan menghadam maklumat di otak kita sahaja. Saya selalu sebutkan, jika demikianlah, maka harddisk saya jauh lebih alim dari kita semua. Di dalamnya mengandungi hampir 100 Gigabyte maklumat dari jutaan helaian kitab. Kita, berapa helai sangat dapat menghafal?
Salah jalan ini biasanya berlaku pada perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Syaikh Azzarnuji itu sendiri. Saya sebutkan tiga daripadanya:
1) Niat
- Berapa ramai di kalangan kita belajar kerana mudah bekerja dan mengumpul harta dunia nanti dengan sekeping pengiktirafan ijazah?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menunjukkan diri lebih alim daripada orang lain?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menjadikan dirinya dipuji dan dihormati?
- Berapa ramai pula di kalangan kita yang belajar untuk mencari-cari kesalahan ulamak terdahulu?
- Berapa ramai yang belajar untuk mencari bukti bahawa pendapat aku sahaja yang betul sedangkan amalan ummat Islam di Malaysia sebenarnya salah belaka?
- Berapa ramai pula menutut ilmu tanpa diniatkan langsung untuk balik ke tempat masing-masing bagi berjuang menegakkan Islam?
2) Memilih guru
- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak berhati-hati memilih guru lantas belajar dengan orang yang tidak betul pemikirannya?
- Berapa ramai di kalangan kita yang belajar dengan guru yang tidak menjaga adab sebagai guru (mengutuk sana sini, mencerca alim ulamak, tidak berakhlak dalam kata-kata mahupun perbuatan dsb.)?
- Berapa ramai di kalangan kita belajar sesuatu ilmu bukan dari ahlinya (belajar Feqh dari jurutera, belajar hadis dari ahli bahasa dsb.)?
-Lebih teruk lagi, berapa ramai pula yang belajar tanpa guru? Membaca sana dan sini, lalu mengambil fahaman sendiri daripada penulisan ulamak.
3) Mengagungkan ilmu dan ulamak
- Berapa ramai dari kita yang mengetahui cara mengagungkan ilmu yang disebutkan oleh para ulamak terdahulu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menghormati kitab ilmu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan ilmunya sendiri di tempat yang rendah, lalu dengan mudah boleh dijual beli dengan kepentingan dunia?
- Berapa ramai pula yang tahu adab sebagai seorang murid tetapi tidak tahu atau tidak mempraktikkan ada sebagai guru?
- Berapa ramai yang tidak pula tahu membezakan antara meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dengan takabbur atau menghina diri?
- Berapa ramai pula tidak reti-reti beradab dengan para ulamak agung, lalu diletakkan ulamak itu setaraf dengannya dalam pemikiran dan pemahaman dengan alasan mereka jua manusia yang tidak maksum?
- Berapa ramai di kalangan kita yang terpengaruh dengan kalam beberapa kerat ustaz mee celup hari ini yang dengan lantang mengkritik ulamak silam, lalu merasa sangsi dengan para ulamak itu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang bermulut celupar mengutuk deretan ulamak yang sudah lama mengorbankan diri untuk perjuangan Islam?
- Berapa ramai pula yang bermulut celupar terhadap para ulamak terdahulu dan dengan sesedap hati mengatakan ulamak terdahulu sesat, melakukan bid’ah, berfalsampah dalam bab Aqidah, dan pelbagai lagi kata nista?
Apabila kita nilai semula semua persoalan di atas, tentu sekali kita akan menjawab, “teralalu banyak.” Maka tidak hairanlah apabila kita dapati terlalu banyak orang yang ingin mendalami ilmu agama, akan tetapi jauh tersasar dari kebenaran, barakah tiada, manfaat juga sirna, lalu tidak dapat menegakkan yang haq.
Jelaslah pada kita betapa pentingnya adab dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Tiada adab, nescaya tersalah jalanlah kita. Salah jalan bermakna sesat. Kalau orang yang belajar agama pun boleh sesat, bagaimana pula dengan yang tidak mahukan agama kan…
Penulis : Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre
Pengkhususan : Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan seterusnya meyambung Sarjana Syariah juga di Mesir (Feqh Perbandingan Mazhab) (kajian bertajuk: Hukum hakam Masjid : Kajian Perbandingan Mazhab dan Permasalahan Kontemporari).
Kini bertugas sebagai pegawai di Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA)

Thursday, 23 April 2015

Malapetaka Apakah Datangnya Ini

Malapetaka apakah datangnya ini
Negara kalut riuh sekali
Hanya berebut satu kerusi
Kecohnya sampai keluar negeri

Malapetaka apakah berulang kini
Berebut kuasa tak hirau lagi
Habis di heret anak dan bini
Dipaksa keluar pergi mengundi

Malapetaka apakah yang mahu datang
Rakyat dan pemimpin asyik bergendang
Pantang berjumpa pasti meradang
Habis diungkit tak boleh dilarang

Malapetaka apakah ini semua
Hilang pertimbangan rakyat malaysia
Setiap pemimpin dianggap durjana
Pemberian pula dihina hina

Malapetaka apakah sedang menanti
Seluruh rakyat taksub berparti
Caci nista tak lekang di FB
Sudah menjadi makanan hati

Malapetaka apakah yang mahu dicari
Dulu raja kini menteri
Sejarah mula berulang kembali
Adakah tergadai negara lagi

Malapetaka apakah yang di seru
Pelusuk negara datang menjeru
Berkempen berfitnah bertalu talu
Kerana kuasa yang mahu diburu

Malapetaka apakah kini menjengah
Sanggup mengheret rakyat yang susah
Sedia bertempur pabila kalah
Nasib rakyat juga yang parah

Malapetaka kini sedang menjadi
Pemimpin masih leka bermimpi
Musuh sengaja bermain api
Kehancuran negara semakin pasti


Thursday, 16 April 2015

Bumi pun Tak Terima Ariel Sharon

TEL AVIV- Isnin lalu, ketika pembunuh masyarakat Islam Palestin, Ariel Sharon hendak dikebumikan, utara Israel telah mengalami gempa bumi berukuran 3.5 skala Richter

Di saat para pemimpin dan orang-orang kenamaan antarabangsa sedang memberi penghormatan terakhir kepada salah seorang pengasas negara Yahudi itu, penduduk utara Galilee melaporkan kepada Ynetnews.com bahawa gegaran itu mulai dapat dirasai sekitar waktu tengah hari.

Berita mengenai gempa bumi itu telah disahkan oleh Institut Geofizik Israel.

Masya’Allah… apakah itu petanda bumi tidak menerima Ariel Sharon dan bayangkan azab yang menanti pemimpin Yahudi lakhnatullah berkenaan.

” SAYA bersumpah, saya akan bakar setiap bayi dilahirkan di Palestin. Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan…” Itulah antara baris ayat Ariel Sharon.

Rujukan klik sini

Namun di hari pengebumiannya, bumi bergegar … tahulah nasib kau sekarang kan.

Sunday, 12 April 2015

Barat Menciplak Ilmu Islam

Konsep logaritma yang telah dicetuskan oleh Abu’l-Hassan Ali bin Ahmad al-Nasawi menerusi hasil karyanya dalam bahasa Parsi yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-muqni’ fi’l hisab al-Hind. Ibnu Yunus al-Safadi telah menukar proses pendaraban kepada proses penambahan menerusi rumus trigonometri seperti berikut: 

Ibnu Yunus dikatakan mendapat ilham idea itu daripada Ibnu al-Fath al-Harani pada kurun ke 10. Ibnu Hamzah memberikan ungkapan log(xy) = log x + log y yakni berpadanan dengan log (32) = log (4.8) = 2 + 3 = log 4 + log 8. Umat Islam pada kurun ke 9 dan kurun ke 10 telah berdebat dengan hangat tentang trigonometri, sedangkan John Napier menggunakan hubungan trigonometri untuk pentakrifan konsep logaritma pada kurun ke 17 seperti yang telah dilakukan oleh Ibnu Yunus sebelumnya.

Ini adalah konsep yang ditemukan pada permulaan logaritma Eropah. Henry Briggs (kurun ke 17) kemudiannya memperincikan konsep logaritma dalam buku yang ditulisnya iaitu Arithmetica Logaritmica dengan menggunakan siri geometri. Burgi pula telah menulis Progress tabulen (1620) yang mentakrifkan logaritma dan antilogaritma secara terperinci. Pihak Barat sering bertelagah tentang siapakah orang yang mengasas logaritma. 


Ada juga pihak yang mengatakan Henry Briggs dan pihak yang lain mengatakan John Napier sebagai pengasas Logaritma. Bolehkah 2 orang pada masa yang sama mengasaskan benda yang sama? Begitulah penipuan yang dilakukan oleh pihak Barat terhadap logaritma. Sedangkan perkataan logaritma itu adalah berasal dari nama Al-Khwarizmi (Muhammad Musa Al-Khwarizmi kurun ke 9) yang telah dilatinkan iaitu al-gorithma=logaritma.

Sumber

Wednesday, 8 April 2015

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN:Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya.
Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya.
Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya.
Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi.
Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w
Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA
Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur.
Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun.
Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat.
Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.
Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing.
Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?!
Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan.
Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.
APAKAH SYURGA MURAH?
Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing.
Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian!
Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!
Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya.
Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.
Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya.
Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya.
Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.
Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu.
Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama.
Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya.
Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.
BANYAK DAN SEDIKIT
Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya.
Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000.
Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.
Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah.
Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah.
Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah.
Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.
TIDAK SAMPAI AJARAN
Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan.
Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu.
Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya.
Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.
Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan.
Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan.
Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka.
Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:
“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini.
Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka.
Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.
INSAFI DIRI
Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa.
Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama.
Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya.
Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang.
Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita!
Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

Jangan jadi alat di akhir zaman

Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang ben...