“SAYA ingin buktikan saya bukan orang gila,” kata Muhammad Yusof Abdullah, 19, yang kini melakukan misi berjalan kaki secara solo ke Makkah, Arab Saudi sejak tiga hari lalu. Remaja berkenaan memulakan misi berkenaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan akan merentasi tujuh negara serta dijangka sampai ke Makkah pada Februari tahun hadapan. Muhammad Yusof berkata, sebelum ini dia pernah melakukan misi berjalan kaki secara solo ke seluruh negara termasuk Sabah serta Sarawak selama lima bulan dan berakhir Mei lalu. “Selepas melakukan misi berkenaan, saya terus berhasrat untuk berjalan kaki ke Tanah Suci Makkah pula. Saya ingin membuktikan bahawa remaja seperti saya juga mampu melakukan cabaran 'gila' seperti ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Beserah, Kuantan, hari ini. Muhammad Yusof berkata, berbekalkan RM2,000 dia akan meneruskan perjalanannya dari Pahang ke Terengganu dan Kelantan sebelum menukar beg di rumahnya di Kota Bahru, Kelantan serta seterusnya memasuki Thailand.