Thursday, 15 August 2019

Akhirnya Menteri Pendidikan Tunduk Layu






KENYATAAN MEDIA

KEPUTUSAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI MENGENAI ISU PENGENALAN TULISAN JAWI

1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019 sekali lagi telah membincangkan isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai tahun 2020.

2. Dalam perbincangan terkini, Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengekalkan keputusan Jemaah Menteri pada minggu lalu supaya pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa.

3. Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi ini dimuatkan sebanyak 3 muka surat di dalam buku teks.

4. Jemaah Menteri juga secara sepakat mengekalkan keputusan agar pengenalan tulisan Jawi ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

5. Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan Jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, murid Tahun 5 pada tahun 2021 dan murid Tahun 6 pada tahun 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan.

6. KPM berharap melalui keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

7. KPM dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
14 OGOS 2019


1 comment:

  1. Ini pun rasis. Tentu persatuan pibg jenis kebangsaan menolak. Takde lah satu standard pendidikan malaysia. Esok lusa ada demand dari pihak lain untuk isu lain. Tunduk lagi.

    ReplyDelete