Monday, 17 December 2018

[ TENTERA TATAR ] Belajar dari sejarah

Suatu masa, ketika umat Islam diserang tentera Tatar, hampir seluruh Wilayah Islam dijajah.

Antara yang terawal adalah Wilayah Khurasan yang berjiran dengan Mongol.

Pada satu peringkat di Khurasan, Tatar tidak berdaya menghadapi umat Islam di Kota Bukhara.

Lalu pemimpinnya Genghis Khan menulis surat kepada umat Islam:

"Sesiapa yang menyerahkan senjatanya dan menyertai tentera Tatar, mereka akan selamat. Namun barangsiapa yang enggan, mereka pasti akan menerima penyesalan."

Surat tersebut menyebabkan umat Islam yang sedang terancam itu berpecah kepada dua pihak.

Pihak pertama menolak keras tawaran Genghis Khan dengan berkata:

"Seandainya mereka mampu memerangi kita, tak mungkin mereka menawarkan sedemikian. Ini menandakan peluang kita cerah. Teruskan perjuangan, pasti kita akan beroleh salah satu antara dua kebaikan; menang ke atas mereka atau syahid penuh bahagia!"

Namun pihak kedua cenderung untuk menerima tawaran tersebut. Mereka berkata:

"Wajarkah kita sengaja menumpahkan darah sendiri, dalam keadaan kita tahu bahawa kita tidak akan mampu menentang mereka? Tidakkah kalian lihat bilangan dan kelengkapan mereka?"

Genghis Khan terus mengambil peluang dari pertelingkahan ini.

Dia mengutus surat berikutnya khusus kepada pihak kedua yang sanggup menerima tawaran.

Dalam surat tersebut, dia berjanji akan memberikan tampuk kekuasaan Bukhara kepada pihak tersebut dengan syarat mereka menumpaskan pihak pertama.

Tawaran itu menyebabkan pihak kedua rambang mata. Terus mereka menyahutnya tanpa rasa bersalah.

Sanggup mereka memerangi saudara sendiri bagi pihak Tatar.

Pertempuran pun berlangsung. Akhirnya tumpaslah pihak yang teguh mempertahankan prinsip di tangan pihak yang menjual agama dengan habuan dunia.

Apa yang menyedihkan, pihak yang menerima tawaran Tatar itu tidak dianugerahkan apa yang dijanjikan.

Sebaliknya senjata mereka dirampas, mereka ditangkap dan diarahkan supaya disembelih kesemuanya.

Genghis Khan mengungkap satu kata-kata yang sangat masyhur:

"Kalaulah mereka boleh dipercayai, mustahil mereka sanggup memerangi saudara sendiri demi kita. Padahal kita orang asing bagi mereka..!"

10 pengajaran dari cerita di atas:

1.     Taktik pecah dan perintah, strategi ampuh menghadapi Islam zaman berzaman.

2.     Aqidah perjuangan yang lemah punca tidak yakin dengan janji kemenangan dari tuhan.

3.     Habuan takhta dan harta mudah menggugat keikhlasan perjuangan.

4.     Pabila dunia menguasai diri, saudara sendiri pun sanggup dikhianati.

5.     Mempercayai bulat-bulat kata-kata musuh adalah kebodohan yang membinasakan.

6.     Islam tidak kalah kerana agama ini. Sebaliknya kalah kerana penyelewengan orang Islam sendiri.

7.     Dedak musuh itu beracun. Dan racunnya mampu membunuh jamaah.

8.     Pengkhianat tidak akan bahagia. Nikmat mereka hanya sementara.

9.     Pentingnya untuk berpegang kepada prinsip. Walau menyusahkan (tampak syadid), ia perisai pertahanan yang utuh!

10.     Tidak ada kerjasama dengan bukan Islam dalam menentang sesama Islam.

Tiga kata-kata hikmah yang perlu diambil iktibar:

1. 

  ما أشبه اليوم بالأمس

"Alangkah samanya hari ini dengan semalam."

2.   

لا تقتلوا أسودكم فتأكلكم كلاب عدوكم

"Jangan kamu bunuh singa di kalanganmu, nescaya kamu akan dimakan oleh anjing di kalangan musuhmu."

3. 

  من لا يتعلم التاريخ يعلمه التاريخ

"Barangsiapa tidak belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajarkannya kembali."

*C & P*

ORANG ISLAM USAH MENYIBUK SAMBUT KRISMAS

Ada segelintir dalam kalangan orang Islam yang kelihatan bermudah-mudah meraikan Krismas. Alasan mereka kononnya hanya sebagai menyambut kelahiran Nabi Isa yang dilihat seakan titik temu antara Islam dan Kristian. Untuk itu, kita perlu mencermati beberapa perkara. Antaranya:

⚫ Nabi Isa lahir di pertengahan musim panas, bukan ketika musim sejuk pada 25 Disember seperti dakwaan penganut Kristian yang menyambut Krismas.

⚫ Berdasarkan surah Maryam ayat 25:

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

"Dan goncangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu"

⚫ Ayat di atas menggambarkan Siti Maryam diperintah oleh Allah untuk mendapatkan buah kurma yang telah masak sebagai bekalan tenaganya setelah melahirkan Nabi Isa.

⚫ Buah kurma masak ketika musim panas, bukan musim sejuk.

⚫ Bahkan di dalam Bible menceritakan bahawa Nabi Isa dilahirkan ketika musim kambing-kambing meragut rumput, iaitu musim panas. Binatang ternak tidak meragut rumput sewaktu pertengahan musim sejuk ketika salji sedang turun.

⚫ Adapun tanggal 25 Disember adalah warisan kepercayaan Pagan yang menyambut kelahiran Dewa Matahari mereka.

⚫ Bagi umat Islam yang tidak pasal-pasal mahu meraikan Krismas atas alasan kononnya menyambut kelahiran Nabi Isa, mereka perlu sedar akan sejarah ini. Persoalannya, kelahiran siapakah sebenarnya yang mereka sambut?

Abdul Mu'izz Muhammad
25 Disember 2017.

Kemaruk kebendaan


Baginda Nabi SAW pernah menyatakan rasa kebimbangan terhadap umatnya apabila dunia "dibentangkan" di hadapan mereka. Ini adalah kerana betapa hebatnya fitnah yang bakal terbit daripada dunia yang serba fana ini yang akan menyebabkan umat manusia hilang pedoman lalu meninggalkan hidup bertuhan.
.
Kebimbangan Nabi SAW ini terbukti berlaku sehingga kita sendiri boleh melihatnya hari ini betapa ramainya manusia kemaruk terhadap kebendaan lalu mengenepikan agama serta moral.
.
Pada hakikatnya, kemaruk kebendaan ini adalah merupakan manifestasi peradaban yang sentiasa dicanang oleh Dajjal dan sekutu sekutunya. Mereka mendoktrin idealogi ini dengan cukup terancang untuk memastikan manusia meninggalkan pengabdian diri kepada Allah lalu mengabdikan diri kepada kehidupan yang penuh meterialistik.
.
Apabila manusia mula menganggap kebendaan sebagai matlamat kehidupan, maka lahirlah manusia seterusnya masyarakat gila yang sangat meterialistik yang mewajarkan pengabdian diri kepada keseronokan, kepuasan nafsu dan keutamaan dunia kebendaan semata.
.
Bahkan yang amat menyedihkan lagi adalah, jauh sekali hati mereka ini mahu mengingati Allah SWT kerana mereka telah dikuasai oleh sifat kemaruk kebendaan yang tidak berkesudahan. Wal'iyyazubillah.
.
Bahaya kemaruk kebendaan ini jugalah melahirkan banyak idealogi idealogi songsang seperti Capitalisme, Sekularisme, Liberalisme dan idealogi idealogi songsang yang lain.
.
Berhati hatilah wahai orang orang yang beriman. Jangan kita tergolong dari kalangan mereka yang mempertuhankan kebendaan sebagai matlamat kehidupan yang fana ini. Kelak kita yang akan menyesal tidak berkesudahan. Wallahu'alam.
.