Sunday, 8 July 2018

800 ribu anggota PKR akan mengundi secara E-voting

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertama kali pengundian dibuat secara dalam talian menerusi “e-voting” bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak parti sedang menjalankan ujian terhadap sistem “e-voting” itu bagi mengenal pasti sebarang masalah supaya dapat dikemas kini sebelum berlangsung pemilihan pada Ogos hingga September ini.
“Pada 2 pemilihan parti sebelum ini PKR menggunakan kertas bagi proses mengundi, kali ini ‘online’. Anggota parti hanya perlu hadir di pusat pengundian dan tunjukkan kad pengenalan bagi mengesahkan keahlian sebelum terus ke gajet yang kami sediakan untuk mengundi serta klik calon yang mereka pilih,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Bayan Baru, hari ini.
Beliau berkata menerusi sistem “e-voting” itu juga proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan PKR selepas proses mengundi selesai.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata parti merancang menjalankan proses pengundian mengikut zon dan persiapan rapi sedang dijalankan supaya ia berjalan lancar kerana PKR satu-satunya parti yang memberi hak kepada setiap anggotanya memilih pemimpin parti.
“PKR menerima lebih 300,000 anggota baru mendaftar menyertai parti itu sejak 9 Mei hingga 26 Jun lepas dan sekarang ini kami mempunyai lebih 800,000 anggota parti, semua mereka akan mengundi pada pemilihan kali ini,” katanya.
Saifuddin Nasution menafikan penetapan kadar yuran sehingga mencecah puluhan ribu ringgit yang dikenakan ke atas calon yang mahu bertanding pada pemilihan parti kali ini seperti yang tular di media sosial.
Katanya memang terdapat cadangan yuran dikenakan kepada calon bertanding dan ia telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR kerana duit itu akan digunakan untuk membiayai serta menampung kos pemilihan PKR kali ini.
“Yuran itu untuk membiayai kos pemilihan parti kerana kami tiada sesiapa yang menaja serta perlu mencari sumber kewangan sendiri, tetapi mereka yang mahu bertanding tidak perlu bimbang kerana jumlah (yuran) yang akan dikenakan adalah rendah dan mampu untuk calon bayar.
“Yang ditularkan itu bukanlah jumlah PKR tetapkan, ia dicadangkan serta masih di peringkat rundingan dan saya beri jaminan yuran dikenakan munasabah… kami akan keluarkan pekeliling (yuran dikenakan) dalam masa terdekat,” katanya.
Baru-baru ini, tersebar di media sosial berhubung peraturan pemilihan PKR yang menetapkan syarat kepada anggota yang ingin bertanding untuk membayar yuran mengikut kadar tertentu.
Difahamkan calon bagi jawatan presiden perlu membayar RM25,000, timbalan presiden (RM20,000), naib presiden (RM10,000) dan anggota Majlis Kepemimpinan Pusat (RM5,000), manakala di peringkat sayap, jawatan ketua (RM10,000), timbalan ketua (RM7,000), naib ketua (RM5,000) dan anggota Majlis Kepemimpinan (RM3,000) serta di peringkat cabang pula dikenakan yuran antara RM500 hingga RM2000.