Thursday, 28 June 2018

Akaun UMNO Pusat dan Selangor sudah pun dibekukan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

JOHOR BAHRU 28 Jun - Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, akaun Ibu pejabat UMNO Pusat dan Selangor sudah pun dibekukan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden UMNO itu memberitahu, perkara tersebut diketahuinya sebentar tadi dan akaun UMNO Johor juga hampir pasti akan dibekukan SPRM dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata, Menteri Dalam Negeri dalam waktu terdekat juga hampir pasti akan meminta Pertubuhan Pendaftaran (RoS) membatalkan pendaftaran UMNO.

"Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pemilihan kali ini tidak akan disiasat (SPRM) kerana kita bukan lagi kerajaan.

"Ini termasuk juga (bekas) Menteri Besar (tiada jaminan tidak akan disiasat)," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor Bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Hotel M. Suites di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE

MB Perak arah batal usul luluskan pembayaran Fi Pengarah berjumlah RM441,650

IPOH:Dua Pengarah Perak Corp Berhad (PCB) Datuk Dr S. Vasan dan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordi telah menolak cadangan lantikan semula mereka ke jawatan tersebut pada persidangan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung semalam.

Manakala seorang lagi Pengarah PCB, Ab Rahman Mohammed pula telah meletakkan jawatannya.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata PCB, pada 27 Jun lalu telah mencadangkan usul-usul untuk meluluskan pembayaran Fi Pengarah berjumlah RM441,650 dan imbuhan Pengarah berjumlah RM150,000 untuk tahun kewangan berakhir Disember 2017.

“Sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), yang memiliki saham majoriti di dalam kumpulan PCB, saya telah mengarahkan PKNP untuk menolak semua usul di atas.

“Kumpulan PCB telah mencatatkan kerugian berjumlah RM340.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan sehingga tarikh tersebut, liabiliti kumpulan itu telah melebihi asetnya pada kadar RM158.5 juta,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Katanya berikutan susulan prestasi yang mendukacitakan bagi tahun kewangan tahun lalu, adalah tidak wajar para pengarah PCB dibayar dengan imbuhan yang besar.

“PKNP selaku pemegang saham terbesar telah menolak usul-usul tersebut, atas kepentingan negeri Perak dan rakyatnya,” katanya. 

Perak Today