Wednesday, 27 June 2018

PM Enggan Jumpa Wahid Omar

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Wahid Omar dijangka akan meletakkan jawatannya dalam waktu terdekat selepas gagal merundingkan kedudukannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, kata sumber kerajaan.

Wahid merundingkan kedudukannya ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad giat membersihkan GLC untuk tadbir urus yang lebih baik, tambah sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Wahid cuba mengatur temujanji untuk bertemu dengan perdana menteri tetapi Dr Mahathir enggan bertemu dengan beliau.

“Dr Mahathir tidak mahu jumpa dengan Wahid,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Sumber tersebut bagaimanapun tidak menyatakan apa alasan Dr Mahathir tidak mahu berjumpa dengan bekas menteri dalam kabinet Najib Razak itu.

Wahid adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 2013 hingga 2016, bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi. Beliau digantikan oleh Abdul Rahman Dahlan dalam rombakan kabinet pada akhir Jun 2016.

Wahid dalam satu kenyataan berkata beliau sedia melepaskan jawatannya sekiranya diminta berbuat demikian oleh kerajaan tetapi belum ada sebarang perbincangan mengenai kedudukannya dan tidak keberatan untuk terus menyambung khidmatnya, jika dikehendaki oleh kerajaan.

Sumber bagaimanapun menjelaskan kepada The Malaysian Insight, masalah Wahid dengan pentadbiran sekarang bukan pendiriannya mengenai GST sebelum PRU14 tetapi beberapa tindakan beliau semasa dalam GLC yang tidak bersesuaian dengan dasar jimat cermat kerajaan hari ini.

Pada Julai tahun lalu, Wahid terjerat dalam kontroversi pembelian nombor pendaftaran kenderaan PNB 1 pada harga RM173,800, yang dibida daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang. Nombor plat itu kini difahamkan digunakan pada sebuah motosikal milik PNB.

Wahid kemudian mengesahkan PNB berjaya membida bukan satu tetapi 25 nombor pendaftaran kenderaan untuk kegunaan rasmi syarikat berkenaan, pada kos keseluruhan RM419,006.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pembelian nombor pendaftaran kenderaan itu tidak menjejaskan pulangan kepada pelabur kerana ia bukan dari dana milik pelabur amanah saham di bawah PNB, sebalik dana milik PNB berjumlah RM40 bilion.

PNB, di bawah teraju Wahid, turut menyumbangkandana yang besar kepada awam melalui ahli politik Umno, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pengerusi agensi itu sebelum ini, kata sumber. Laporan media bagaimanapun menyebut sumbangan dana itu sebagai sumbangan zakat PNB.

Seorang sumber lain juga mempersoalkan tindakan Wahid menggunakan perkhidmatan penulis blog yang dibayar puluhan ribu sebulan untuk mempertahankan reputasi PNB, ketika agensi itu mempunyai unit media dan komunikasinya sendiri.

Wahid adalah antara panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysian Development Berhad.

Sebahagian dana dari KWAP itu kemudian masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, dan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wahid dilantik sebagai panel pelaburan KWAP mewakili sektor swasta pada 1 Mei 2008, sebelum disambung lantikannya pada 1 Mac 2010. Beliau ketika itu adalah presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Maybank, ahli lembaga Bursa Malaysia Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasinal Berhad (PUNB).

KWAP selama ini mempertahankan pinjaman tersebut tidak menjejaskan prestasi dana pencen yang diagihkan oleh kerajaan kepada pesara kakitangan awam kerana ia “pinjaman yang ditanggung oleh kerajaan”.

“Walaupun pinjaman itu ditanggung kerajaan, ia tidak memberi manfaat kepada kerajaan. Jaminan kerajaan itu melindungi KWAP tetapi tidak kerajaan,” kata sumber.

Pinjaman KWAP kepada SRC International itu juga dikritik oleh banyak pihak termasuk kerajaan Pakatan Harapan semasa jadi pembangkang sebelum ini kerana tidak jelas wang itu digunakan untuk apa.

Pinjaman itu juga menyebabkan kerajaan menanggung hutang yang tidak perlu, kata mereka. – The Malaysian Insight

Anwar berhak komen: PM

Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya sesuatu perkara itu telah mencapai persetujuan Kabinet, kerajaan akan tetap dengan keputusan tersebut.

“Orang lain yang tidak berada dalam Kabinet boleh buat komen masing-masing. Mereka boleh kata apa yang mereka suka tetapi kami adalah kerajaan.

“Anwar seperti orang lain, beliau boleh beri komen, buat sebarang komen. Beliau tidak berada dalam kerajaan,” kata beliau.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai komen Anwar berkenaan polisi kerajaan termasuklah mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhenti mendedahkan skandal-skandal kerana kenyataan beliau memberi impak kepada pasaran.