Friday, 1 December 2017

Dr Mahathir akan fail semakan kehakiman berhubung laporan RCI forex

Dr Mahathir Mohamad memberikan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia tempoh sehingga Jumaat untuk menghentikan edaran laporannya.

DR Mahathir Mohamad memberi kata dua kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dagangan mata wang asing agar menghentikan pengedaran penemuannya atau bekas perdana menteri itu akan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menyekat laporan itu.
"Kami bercadang menulis kepada Sekretariat RCI pada Isnin untuk menuntut mereka menghentikan pengedaran atau menerbitkan laporan semasa, sehingga mereka memasukkan kesemua 495 muka surat (penyerahan bertulis Dr Mahathir) ke dalam laporan tersebut," kata peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla.

"Kami akan memberi mereka tempoh sehingga Jumaat bagi memberi respons positif, sekiranya gagal kami akan menghantar permohonan semakan kehakiman melarang penerbitan laporan 'separuh masak' dan mengelakkannya daripada diberikan kepada pihak istana, Parlimen dan orang awam secara tidak adil dan tidak jujur dalam melaksanakan agenda politik (Perdana Menteri) Najib Razak," katanya.

"Pesuruhajaya tidak jujur kepada Agong dan orang awam. Mereka tidak mengemukakan sekurang-kurangnya separuh daripada apa yang sepatutnya dikemukakan dalam laporan itu, malah tidak memasukkan penghujahan oleh Anwar," kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

"Ia mengelirukan kerana orang ramai tidak mengetahui bahan dan hujah yang diberikan oleh peguam Dr Mahathir terhadap perkara yang dianggap bukti oleh RCI dalam laporannya."

Keterangan bertulis Dr Mahathir berjumlah 256 muka surat, termasuk hujah terhadap penglibatannya dalam kerugian forex, yang RCI simpulkan menjadi RM31.5 bilion, antara 1992 dan 1994.
Baki 239 muka surat adalah permohonan tajuk perbincangan dalam bentuk bertulis.

Antara lain, mereka meminta bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Murad Khalid disoal oleh peguam pemerhati, dan panel RCI yang diketuai oleh Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan, dihalang daripada membuat sebarang kesimpulan sebelum sesi pendengaran selesai.

Haniff berkata RCI merumuskan semua permohonan dalam tiga muka surat, dan transkrip pertanyaan lisan oleh panel, pegawai dan peguam pemerhati juga hilang daripada laporan itu.

"Tiada transkrip balasan Dr Mahathir yang menjawab soalan. Bagaimana rakyat akan menentukan kesahan keputusan RCI sedangkan mereka tidak mempunyai akses kepada transkrip, yang secara sengaja ditinggalkan?

Kerugian forex: BN Mahu Mendakwa Tun M

Masih ramai percaya RCI kerugian forex BNM ditubuhkan selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri Najib Razak.

JIKA Barisan Nasional (BN) meneruskan tindakan untuk mendakwa Dr Mahathir Mohamad berkaitan kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) 30 tahun lalu, ia dijangka akan mencetuskan tindak balas negatif daripada rakyat yang akan memburukkan lagi BN.

Ini kerana, kebanyakan rakyat percaya bahawa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian itu, hanyalah berunsurkan politik.

Mereka berkata sementara pentadbiran Najib sibuk menyiasat kerugian urus niaga wang asing bank pusat itu yang berlaku bertahun lalu, ia lembap pula dalam siasatan terhadap kehilangan berbilion ringgit menerusi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang timbul dua tahun lalu.

“Jadi, dengan membawa Dr Mahathir ke mahkamah, BN akan berdepan tindak balas dalam pilihan raya kerana beliau masih sangat dihormati di negara ini atas jasanya membina Malaysia moden,” kata penganalisis politik bebas Dr Andrew Aeria yang juga bekas profesor madya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Adakah BN mahu mengambil risiko dengan menjadikan Dr Mahathir seorang syahid?”

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata RCI itu kelihatan seperti ada unsur politik kerana tidak ada tindakan diambil terhadap skandal 1MBD.

“BN tidak boleh menggunakan RCI itu sebagai amunisi. Ia amunisi yang tidak ada kesan,” kata Hisommudin.

“BN sudah hilang kewajaran untuk bercakap tentang tadbir urus yang baik ketelusan dan rasuah,” kata Faisal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Terlalu banyak tuduhan terhadap orang di dalam kerajaan tetapi masih tidak ada tindakan terhadap mereka. Tetapi bila ia membabitkan pembangkang, tindakannya cepat dan cekap,”

Pengkritik mempertikaikan begitu pantas dan cekap kerajaan menyiasat kerugian forex itu berbanding kerugian dalam 1MDB dan agensi kerajaan lain seperti Mara dan Felda.

Ia berbeza dengan kes 1MDB, di mana polis masih belum melengkapkan siasatan mereka walaupun pendedahan berlaku penipuan dan pengubahan wang haram mula timbul pertengahan 2015.

Kekurangan tindakan menghukum di Malaysia berhubung 1MDB sangat berbeza dengan Singapura, yang memenjarakan pegawai bank dan menutup cawangan dua bank asing kerana menguruskan wang 1MDB.

Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat membekukan dan memohon untuk merampas hartanah dan karya seni bernilai lebih AS$1 bilion dipercayai dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Satu kajian dibuat badan anti rasuah terhadap urus niaga dan kerugian 1MDB mendapati syarikat itu ditubuhkan untuk mencuri berbilion ringgit daripada rakyat Malaysia.

Hisommudin dari Ilham Centre berkata sebarang cubaan untuk mendakwa Dr Mahathir akan menarik undi simpati daripada pengundi atas pagar, yang membentuk 30% hingga 40% daripada daftar pengundi.

“RCI itu tidak ada daya tarikan dalam kalangan rakyat ketika kami menjalankan kaji selidik di Kuala Selangor, Sungai Besar dan Tanjong Karang.

“Kerana ia isu yang kompleks dan berlaku terlalu lama dulu, jadi rakyat tidak rasa dekat dengan isu itu,”