Monday, 6 November 2017

Bil letrik naik lagi?

Tun Dr. Mahathir acapkali bertanya kenapa 1MDB membeli aset aset janakuasa elektrik (IPP) milik Tan Sri Lim Goh Tong (Genting) dan Tan Sri Ananda Krishnan (Tanjong/Powertek) pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran kerana IPP tersebut sudah tua dan lesen mereka sudah hampir tamat. Jika dibiarkan tamat, Tenaga Nasional dapat mengambil alih stesen-stesen IPP tersebut secara percuma atau dengan kadar yang murah.

Sebagai justifikasi kenapa 1MDB membuat pembelian tersebut, kuncu-kuncu dan para pembodek Najib berkata ianya adalah untuk mengurangkan kadar bil elektrik untuk rakyat Malaysia. Dan untuk memaki lagi Tun Dr Mahathir, mereka berkata bahawa ianya adalah untuk mengambil alih kekayaan yang bakal dikaut oleh kroni-kroni Tun Dr Mahathir, supaya mereka tidak lagi mendapat bayaran setiap tahun melalui perjanjian lesen IPP tersebut.

Sungguh tidak masuk akal sekali alasan-alasan mereka. Dari satu sudut, Tun Dr. Mahathir sendiri berkata kenapa harus membayar dengan harga mahal? Ini menunjukkan Tun Dr Mahathir sendiri tidak mahu kerajaan membayar pada kadar yang tinggi kepada ‘kroni-kroni’ beliau.

Di satu lagi sudut, Tun Dr. Mahathir juga bertanya kenapa 1MDB begitu bodoh membeli sesuatu yang lesennya akan tamat tak lama lagi? Jika ditunggu hingga tamat lesen, harga IPP tersebut akan lebih murah.

Alasan-alasan para pembodek Najib jelas tidak masuk akal apabila kerajaan akhirnya menaikkan juga kadar elektrik di negara ini, dan IPP yang dibeli oleh 1MDB terpaksa dijual kepada syarikat asing dari China pada pulangan yang lebih murah dari jumlah hutang yang diambil.