Friday, 18 August 2017

GEMPAR: MAHATHIR MEMPUNYAI 83billion

Wang Kertas RM500 dan RM1000 Bernilai RM83 billion: Fakta atau Auta!

Oleh: Dr Radzi Jidin, Hobart, Australia

1. Saya terbaca berita yang menyiarkan kenyataan seorang “bekas pegawai khas tidak rasmi” Dr Mahathir tentang wang RM500 dan RM1000.

2. Menurut “bekas pegawai khas” tersebut, Dr Mahathir menyimpan wang kertas RM500 dan RM1000 yang keseluruhannya bernilai RM83 billion. Beliau juga menyatakan bahawa wang kertas RM500 dan RM1000 itu dikeluarkan antara tahun 1982 dan 1995 dan masih ada di Taiwan hingga ke hari ini.

3. Mungkin “bekas pegawai khas” tersebut terlepas pandang tentang fakta berkaitan dengan wang kertas RM500 dan RM1000.

4. Semasa kemuncak krisis kewangan Asia pada 1998, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, memperkenalkan dasar kawalan modal bagi menghadapi serangan spekulator keatas Ringgit.

5. Kawalan modal ini diumumkan pada 1 September 1998 dan antara komponen utamanya ialah  penetapan nilai mata wang ringgit pada kadar AS$1 bersamaan RM3.80.

6. Sebagai sebahagian langkah kawalan modal, pada 12 September 1998 Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa wang kertas denominasi RM500 and RM1,000 dinyahwang dari sistem kewangan Malaysia. Wang kertas ini ditarik balik sah lakunya bermula 1 Julai 1999.

7. Jika anda sebagai seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan mempunyai RM83 billion wang kertas RM500 dan RM1000, adakah anda akan memperkenalkan dasar yang boleh menyebabkan wang berjumlah RM83 billion itu tidak mempunyai nilai?

8. Selain itu, dalam satu kenyataan yang dibuat pada 27 November 2007, Bank Negara Malaysia menyebut bahawa “Wang kertas RM500 dan RM1,000 dalam edaran sebelum dinyahwang masing-masing adalah sebanyak 1,989,479 keping dan 4,523,731 keping, dengan jumlah nilai muka sebanyak RM5.52 bilion”.

9. Ini bermakna bahawa pada 12 September 1998, nilai keseluruhan wang kertas RM 500 dan RM1000 yang ada dalam rekod Bank Negara ialah RM5.52 billion. Oleh itu, saya tidak nampak bagaimana “bekas pegawai khas” tersebut boleh mengatakan terdapat wang kertas RM500 dan RM1000 yang bernilai RM83 billion dalam simpanan Dr Mahathir.

10. Dalam kenyataan tersebut juga Bank Negara menyebut bahawa pada 27 November 2007 “terdapat kurang daripada 200,000 keping wang kertas RM500 dan RM1,000 yang masih dalam edaran, dengan jumlah nilai muka lebih kurang RM100 juta”. Nilai ini amat jauh dari RM83 billion sepertimana yang dinyatakan oleh “bekas pegawai khas” tersebut.

11. Dalam sesi parlimen pada 29 Jun 2011, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, berkata terdapat “sebanyak 177,077 wang kertas RM500 dan RM1,000 yang bernilai RM101 juta masih tidak dapat dikesan daripada pasaran sehingga 30 Januari 2011”. Beliau menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang tentang jumlah “wang kertas RM500 dan RM1,000 yang masih terapung di pasaran serta tidak dapat diimbangkan dengan jumlah cetakan”.

12. Itu adalah fakta-fakta tentang wang kertas RM500 dan RM1000. Sehingga 30 Januari 2011, jumlah keseluruhan wang kertas RM500 dan RM1000 dalam pasaran hanyalah RM101 dan tidak diketahui siapa dan berapa ramai pemiliknya.

13. Berdasarkan maklumat diatas, pembaca boleh menilai yang mana fakta dan yang mana auta!