Tuesday, 25 July 2017

Khairy Jamaludin

Sejak awal penubuhan Umno lagi, pergerakan Pemuda diberikan tugas menanam semangat kebangsaan yang berteraskan Melayu serta melatih dan menentukan hala tuju kepemimpinan negara.

Kecuali Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir Mohamad, kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah bekas Ketua Pemuda atau giat dalam pergerakan belia seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagi Khairy, beliau bukan sahaja mempunyai latar belakang keluarga dan pendidikan elit malah beliau juga mempunyai cita-cita tinggi.

Beliau tidak malu-malu kucing untuk menyatakan cita-citanya. Beliau telah dipetik secara meluas sebagai berkata, beliau mahu menjadi Perdana Menteri menjelang usia 40 tahun.

Kalau diikutkan latar belakang, Khairy bukanlah bahan dunia politik. Beliau bukan daripada latar belakang siasah. Anak tunggal diplomat Melayu dari Negeri Sembilan ini dilahirkan di Kuwait. Ibunya dari Kedah. Beliau bersekolah di Singapura dan masuk universiti di England.

Beliau mempunyai ijazah dari Oxford dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi dan sarjana muda teori undang-undang dan politik dari University of London. Pada mulanya beliau berjinak-jinak dengan dunia kewartawanan sebagai penulis di majalah The Economist dan pengacara TV.

Berdasarkan latar belakang keluarga, pembesaran dan pendidikan , Khairy bukanlah calon semulajadi kelahiran Umno. Tetapi itu jugalah ciri yang membuatkan beliau menonjol dalam Umno.

Pada ketika Khairy mengambil keputusan bergerak cergas dalam Umno, memasuki politik apatah lagi politik Umno ia bukanlah sesuatu yang "fashionable".

Pada waktu itu, ramai anggota generasi muda Melayu lebih taasub mencari kejayaan material dan di kalangan yang berjiwa politik pula, mereka lebih terpengaruh dengan idea-idea kontemporari seperti reformasi.

Sama ada secara kebetulan atau dirancang, Khairy berjaya mendekati Tun Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menentu, pembantu khas dan penolong ketua setiausaha sulit beliau. Krisis Anwar pada 1998 membawa tuah kepada Abdullah, dan turut memanfaatkan Khairy dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, kerana monopoli Khairy dan kelompok Oxbridge serta beberapa kerat usahawan ke atas pentadbiran Abdullah maka beliau turut merasai tempias gerakan menjatuhkan Abdullah pada 2008/2009.

Tindak-tanduk beliau serta “budak-budak tingkat empat” lain dalam politik, pentadbiran, perniagaan dan media massa dikritik keras.

Abdullah jatuh dan digantikan oleh Najib. Logiknya Khairy tentulah terpelanting sama. Beliau adalah antara anggota kabinet dapur Abdullah yang paling dibenci. Tetapi beliau sekadar menderita tempias sementara.

Kejayaan beliau membebaskan diri daripada Abdullah dan merapati Najib sehingga diterima sebagai orang kepercayaan membuktikan keupayaan beliau sebagai political survivalist muda.

Kejatuhan Abdullah tidak membantutkan kerjaya politik Khairy. Pada tahun Abdullah dipaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Khairy menang pertandingan Ketua Pemuda dengan mengalahkan Mohd Khir Toyo dan Mukhriz.

Hari ini, kedudukan beliau dalam politik Umno boleh disifatkan sebagai unshakable - sukar digoyang. Sebagai Ketua Pemuda serta Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki Umno.