Tuesday, 4 July 2017

Bangsa Rom menurut al-Quran dan hadis

Rom adalah suatu bangsa yang  kewujudannya dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. Sejarah membuktikan sebelum kelahiran nabi Muhamad s.a.w. Rom dan Parsi mendominasi tamadun manusia pada ketika itu. Ketika Rom dikalahkan oleh Parsi umat Islam berdukacita. Namun selepas Rom mengalahkan Parsi beberapa tahun selepas itu umat Islam bergembira.



Al-Quran telah mengabadikan peristiwa ini dalam surah al-Rum (  الروم ). Ia menjadi isyarat bahawa Rom adalah suatu bangsa yang perlu diberi perhatian dari sudut kekuatan dan beberapa kelebihan yang ada pada mereka. Allah berfirman :

الم (1) غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) 

بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

Maksudnya : “ Alif  Laam Miim  (1) Telah dikalahkan bangsa Rum  ( 2 ) Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah kekalahan itu akan menang ( 3 ) Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah ( mereka menang ) Dan hari tu bergembiralah  orang-orang yang beriman ( 4 ) Kerana pertolongan Allah . Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang ( 5 ) ( Surah al-Rum : 1-5 )

Umat Islam bergembira dengan kemenangan Rom

Kata al-Qurtubi umat Islam gembira dengan Rom mengalahkan Parsi kerana Rom adalah ahli kitab. Sementara itu Quraisy Mekah berdukacita dengan kekalahan Parsi kerana mereka dan Parsi bukan ahli kitab yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. ( al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, hlm. 197/9 )

Ini bermakna umat Islam berkongsi kegembiraan di atas kemenangan ini kerana Rom beragama nasrani yang diturunkan kitab Injil  dan umat Islam mempunyai kitab al-Quran. Akidah Rom lebih dekat akidah dengan umat Islam. Parsi pula beragama Majusi yang menyembah api dan Quraisy sembahan mereka adalah patung berhala. Kedua-dua akidah ini sangat jauh daripada petunjuk Allah seperti  yang diturunkan kepada nabi Isa a.s dan nabi Muhammad s.a.w.

Siapakah Rom ?

Berkata ibn Kathir Rom berasal daripada keturunan al-´Iss bin Ishaq bin Ibrahim. Mereka juga dikenali Bani  al-Asfar dan mereka beragama seperti bangsa Yunan. Yunan pula berasal daripada keturunan Yafis bin Nuh. Mereka menyembah bintang yang tujuh. Rom ini beragama Yunan selama 300 tahun sehingalah kebangkitan nabi Isa a.s. ( Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, hlm. 306/6, Dar al-Toyyibah )

Hal ini dinyatakan juga oleh Syeikh Muhammad Hassan bahawa Rom pada masa kini adalah keturunan Bani Asfar iaitu Amerika dan Eropah. ( Durus li al-Syeikh Muhammad Hassan, Muhammad bin Ibrahim).Manakala Dr. Maza berpendapat Rom adalah bangsa Eropah. (http://drmaza.com/home/?p=1954)

Empat ciri yang baik 

Terdapat kelebihan Rom berbanding bangsa selain mereka. Dr. Maza dalam artikelnya menerangkan beberapa kelebihan tersebut.

“Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi s.a.w iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi s.a.w “

“Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim).

“Maksudnya, sehingga berlaku Kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa Roman adalah bangsa Eropah hari ini. Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid “:

“Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”. (http://drmaza.com/home/?p=1954)

 

Dalam hadis sahih riwayat Abu Daud dan lain-lain menerangkan umat Islam akan bergabung dengan Rom untuk menewaskan musuh bersama. Namun hadis-hadis ini tidak menerangkan siapakah musuh umat Islam dan Rom ini. Rom dan umat Islam akan menang dan mendapat harta rampasan perang. 

Seterusnya pada hadis sahih yang lain menerangkan Rom akan berkhianat dan akan menentang umat Islam dan terjadinya al-Malhamah al-Kubra ( Perang terbesar dengan kehadiran 960.000 tentera Rom). Akhirnya umat Islam akan memenangi peperangan ini.