Sunday, 6 August 2017

Beza antara Soalan dan Pertanyaan

Apakah perbezaan antara makna perkataan TANYA dan SOAL. Golongan pendidik pasti sudah tahu akan perbezaannya. Namun untuk yang lain, semoga dapat meraih manfaat.
Saya sering mengatakan :
Saya suka ditanya tetapi tidak suka disoal.  Respons yang sering saya dapat ialah: Kan sama sahaja?
Kalau sama, mengapa tidak pernah kita dengar perkataan
'Pertanyaan Peperiksaan' sebaliknya 'Soalan Peperiksaan' dan juga
'Kaunter Pertanyaan' dan bukan 'Kaunter Soalan'?
Tentu ada perbezaannya.
Kedua-duanya memerlukan sesuatu diutarakan. Yang membezakannya ialah si pengutara tersebut.
TANYA: kita bertanya apabila kita tidak tahu jawapannya dan ingin mendapatkan jawapan tersebut daripada yang ditanya.
SOAL: kita tahu jawapannya, hanya kita ingin menduga sama ada orang yang disoal tersebut tahu akan jawapannya.
Oleh yang demikian, pada pendapat saya (pendapat peribadi), sesi SOAL-JAWAB yang kita gunakan sekarang ini kurang tepat dan kurang elok kerana ada unsur ke'biadab'an.
Adakah wajar hadirin menyoal si penceramah atah ahli penal, sedangkan si hadirin yang inginkan jawapan. Sewajarnya digantikan dengan sesi TANYA-JAWAB.
Agak ganjil namun: LAZIMKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG LAZIM.
Wallahu A'lam.