Friday, 22 January 2016

Abd Azeez sahkan mereka sedar tujuan sidang media untuk singkirkan Mukhriz

Pimpinan UMNO Kedah yang menghadiri sidang media kelmarin sebenarnya “menyedari” tujuan sidang media yang menyeru penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dakwa Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Saya berada di situ, dan saya sedar tujuan saya berada ke situ, dan begitu juga semua mereka yang hadir,” kata Abdul Azeez.

“Sekiranya Maznah Hamid tidak setuju dengan tujuan acara semalam (kelmarin), beliau boleh pergi pada bila-bila masa. Beliau (Maznah) duduk di sebelah saya,” katanya kepada Malay Mail Online semalam.

TPPA mengatasi Perlembagaan Negara

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemindaan 26 akta bagi diselaraskan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah satu pengakuan yang jelas bahawa TPPA menghadkan kebebasan Malaysia menggubal undang-undang untuk negara.

“Undang-undang yang sedia ada telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia kerana ia dianggap penting dan baik untuk negara.

“Tetapi sekarang mereka perlu dipinda kerana TPPA nampaknya lebih berkuasa daripada parlimen rakyat kita dalam menentukan undang-undang Malaysia yang sepatutnya,” katanya, dalam blognya chedet.cc hari ini.

Beliau berkata, jelas kini TPPA akan mengatasi hak-hak perundangan kita, kebebasan asas negara berdaulat.

“Undang-undang di masa hadapan yang akan dibahaskan di dalam Parlimen mesti mematuhi syarat-syarat dan terma dalam TPPA.

“Bagi perjanjian itu mengikut keperluan dan kesesuaian rakyat Malaysia sudah tidak mencukupi lagi. Keperluan TPPA akan melebihi keperluan Malaysia.

“Itu sendiri adalah bukti bahawa kita sedang membuat persiapan untuk menyerah diri kepada kuasa-kuasa asing dan mensia-siakan kemerdekaan yang telah diperjuangkan dengan susah payah oleh pemimpin-pemimpin kita terdahulu,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak meragui bahawa perjanjian itu tetap akan ditandatangani.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengatakan bahawa sebanyak 26 undang-undang dan peraturan berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan negeri dan persekutuan perlu dipinda dalam tempoh 2 tahun,

Proses pelaksanaan pindaan terhadap undang-undang tersebut hanya boleh dilakukan selepas mendapat kelulusan pada sesi perbahasan TPPA di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini, dan di Dewan Negara pada hari berikutnya.