Sunday, 29 November 2015

Amukan Ketua Ketua Umno Cawangan

Sekumpulan ketua-ketua Umno cawangan melancarkan satu gerakan bagi memaksa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden dengan segera supaya parti Melayu itu tidak “dirosakkan” dengan lebih teruk.

Menamakan gerakan itu sebagai Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), mereka mahu presiden Umno itu segera meletak jawatan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda parti ketika ini.

"Kami nak ulang sekali lagi, presiden parti sudah buat banyak perkara menyusahkan rakyat dan kami nak minta beliau berundur.

"Jika tidak, kami seluruh negara akan undurkan dia," kata Ketua Umno Cawangan Railway Said Amidon pada satu sidang media selepas mengadakan program Berani Kerana Benar di Puchong, Selangor malam tadi.

Amidon yang juga salah seorang jurucakap kumpulan itu berkata, Umno cawangan seluruh negara sedang bergerak bersama-sama dengan mereka bagi mendesak supaya perdana menteri penggal kedua itu meletakkan jawatan.

"Kami nak beritahu pucuk pimpinan cawangan seluruh negara sedang bergerak, semakin bertambah," kata pemimpin akar umbi daripada Umno Bahagian Puchong itu.

GKCM mendakwa memiliki sokongan beratus cawangan seluruh negara, bagaimanapun enggan mendedahkan atas faktor keselamatan.

Seorang lagi jurucakap kumpulan itu, Kamarul Azman Habibur Rahman, yang juga ketua Umno Cawangan Taman TKK berkata, mereka akan memperhebatkan gerakan di peringkat akar umbi untuk mengembalikan maruah parti Melayu terbesar itu.

"Kini terpulang kepada usaha-usaha ketua cawangan dan ahli akar umbi supaya Umno dapat diselamatkan," kata Kamarul semasa membaca kenyataan media bersama kira-kira 20 ketua Umno cawangan lain.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ketua-ketua-umno-cawangan-lancar-gerakan-paksa-najib-letak-jawatan?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook#sthash.aU3Do41F.dpuf