Friday, 19 December 2014

Kelab Berahi Pondan


Petaling Jaya: Sebuah pusat hiburan di PJS 8 di sini, menyajikan hiburan pelik apabila menawarkan persembahan tarian tiang dilakukan sekumpulan pondan ‘diimport’ khas dari Thailand.

Kumpulan lelaki digelar ‘ladyboy Siam’ itu berpakaian seksi dan mempersembahkan tarian berahi pada setiap malam Rabu setiap minggu.

Malah kumpulan pondan itu menawarkan khidmat seks kepada pelanggan lelaki yang berminat sebaik persembahan berakhir.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun ditumpaskan selepas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman menyerbu premis itu jam 2.30 pagi semalam.

Hasil operasi itu, 36 penari tiang warga asing termasuk empat pondan ditahan polis.

Ketua operasi Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais berkata, kumpulan wanita dan pondan itu melakukan tarian tiang bagi menarik kehadiran pengunjung ke pusat hiburan itu.

“Risikan mendapati persembahan itu bermula sekitar jam 11 malam sehingga awal pagi,” katanya.

”Mereka dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan bayaran RM150 sehingga RM300 untuk setiap perkhidmatan,” katanya.

Dia berkata, pelanggan dibawa ke hotel berdekatan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, pusat hiburan itu menyediakan kalungan bunga untuk dijual wanita dan pondan terbabit kepada pelanggan.

“Lagi tinggi nilai bunga yang diberikan, lagi ‘baik’ layanan diberikan kepada pelanggan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, pusat hiburan itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini.