Friday, 15 August 2014

Apa Pilihan Yang Khalid Ada?

Jawatan MB wanita pertama semakin hampir menjadi kenyataan. Wan Azizah sudah membuktikan beliau ketika ini mempunyai sokongan 30 daripada 56 Adun, majoriti nyata sudah berpihak kepada Presiden PKR itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.
Kejayaan Wan Azizah membuktikan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti, termasuk melalui dua Adun Pas iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin, selain sokongan 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR sedia ada, bukan saja menunjukkan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor ini sudah berada di penghujungnya, bahkan juga menjadikan keputusan mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti sudah tidak bermakna lagi.
Harapan Pas dengan menangguhkan mesyuaratnya sebanyak dua kali untuk menjadikan ia mempunyai kuasa tawar menawar, boleh menunjuk kuasa dan dilihat penting dalam mengakhiri krisis, sudah menjadi sia-sia saja ketika ini. Pas juga sudah tidak berupaya lagi menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar.
Sama ada Pas terus menyokong Khalid atau akur dengan kesepakatan dalam PR yang telah terbentuk sejak sekian lama, semuanya sudah tidak bernilai lagi. Mesyuarat Pas pada 17hb nanti, jika ia berpendirian menyokong pertukaran Khalid dan akur dengan kedudukannya sebagai rakan gabungan dalam PR, hanya sekadar "rubber stamp" kepada sokongan Shaari dan Hasnul kepada Wan Azizah.
Kiranya pada 17 Ogos nanti, Pas terus menyokong Khalid, ia juga tidak mampu mempertahankan kedudukan kerajaan empat Exco yang sedang dipimpinnya.
Keberanian Shaari dan Hasnul menyatakan pendirian lebih awal daripada partinya sendiri telah menunjukkan bahawa mereka mewakili majoriti ahli ahli Pas untuk tidak berkiblatkan kepada Hadi Awang tetapi sebaliknya kepada Pakatan Rakyat.
Bayangkan, jika terpaksa menunggu sehingga 17 Ogos untuk Pas menyatakan pendiriannya, tentulah dalam masa yang sama juga menyebabkan parti itu terus dipertikaikan dan terdedah kepada bermacam-macam spekulasi. Ia akan menjadikan imej Pas begitu teruk di pandangan umum, selain mula berpecah antara kumpulan ulama dan profesional.
Tetapi dengan keberanian dua Adun ini, semuanya telah berakhir. Nama Pas telah terpalit dengan kerosakan imej yang teruk kerana Hadi Awang dilihat gagal untuk mengawal wakil rakyatnya sendiri.
Shaari dan Hasnul telah menyelamatkan PR untuk terus kekal dianggotai oleh dua parti utama iaitu PKR dan DAP serta dapat memainkan peranan untuk terus menyaingi Barisan Nasional yang sudah semakin lemah.
Dalam masa yang sama, kenyataan Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor sebelum ini beliau masih mempunyai sokongan majoriti, dengan sendirinya sudah terbatal. Meskipun Khalid mencabar agar pengakuan sokongan majoriti itu diterjemahkan dalam Dewan Undangan Negeri melalui usul tidak percaya terhadapnya, dari segi pandangan umum mengesahkan bahawa kelayakan moral untuk beliau terus bertahan sudah pun hancur berkecai.
Talian hayat kerajaan empat Exco yang dipimpin oleh Khalid hanya bergantung kepada faktor masa saja. Oleh kerana Sultan Selangor ketika ini berada di luar negara dan hanya akan kembali ke tanahair pada 23 Ogos, pilihan Khalid semakin terbatas sekarang ini. 
Jika kembalinya Sultan Selangor daripada luar negara lalu Khalid mengadap baginda dan memohon diadakan sidang khas DUN, semuanya pasti terjawab ketika itu.
Jika 30 Adun terus kekal bersama Wan Azizah, terpelantinglah Khalid. Itu belum dikira lagi jika Pas juga membuat keputusan pada 17 Ogos nanti turut menolak kepimpinan Khalid. Jika diadakan undian, Khalid yang kini Adun Bebas hanyalah mendapat 12 undi daripada Adun UMNO saja.
Tetapi difahamkan juga Khalid mempunyai tempoh sehingga November untuk menangguhkan sidang DUN. Kalau itu pilihannya, bolehlah beliau mengelakkan undi tidak percaya sehingga November serta bolehlah terus mengekalkan jawatan Menteri Besarnya lebih lama lagi.
Jika Khalid akur dengan kehilangan majoritinya, sekembalinya Sultan Selangor daripada luar negara ini pastilah beliau akan mengemukakan surat perletakan jawatannya. Ia akan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali kepada PR sebagaimana mandat rakyat dalam pilihanraya umum lalu.
Namun sekiranya Khalid tidak puas hati, beliau juga boleh memohon kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi diadakan suatu pilihanraya negeri. Kiranya diadakan pilihanraya negeri dan kerajaan, menurut SPR, mereka terpaksa membelanjakan RM50 juta bagi kos pilihanraya.
Segala-galanya kini terserah kepada Khalid membuat keputusan. Kecuali jika dalam tempoh sehingga 23 Ogos ini atau selewat-lewatnya sehingga November depan, beliau dapat melakukan misi yang sangat sukar iaitu menterbalikkan semula sokongan majoriti Adun kepadanya daripada yang sudah diperolehi oleh Wan Azizah, hayat politik Khalid sudah boleh dikira berakhir dan adakah akan juga  mengheret hayat Pas dalam Pakatan?