Sunday, 3 August 2014

Keburukan Meminum Air Berlebihan


Ramai yang beranggapan minum air dalam kuantiti yang lebih banyak adalah lebih baik untuk badan mereka. Namun, ramai juga yang tidak mengetahui kesan bahaya sekiranya seseorang itu minum air secara berlebihan dari keperluan badan mereka

Minum air terlalu banyak adalah merbahaya dan terbukti boleh membawa maut. Keadaan yang disebabkan minum air terlalu banyak dipanggil keracunan air (water intoxication). Kebanyakan orang selamat untuk minum 6-8 gelas air sehari, bukan semua. Minum terlalu banyak air dalam satu masa boleh mengurangkan elektrolit dalam badan seperti garam sodium.

Pengambilan air terlalu banyak dalam sesuatu masa yang menyebabkan kehilangan sodium dipanggil hyponatremia, yang mana boleh merosakkan sel disebabkan tekanan. Tanda-tanda tertentu muncul dengan pantas seperti loya dan muntah-muntah. Sakit kepala juga boleh berlaku apabila otak mula membengkak. Susulan daripada tanda-tanda tersebut termasuk sawan dan koma. Kes-kes yang tidak dirawat boleh menyebabkan kematian.

Apa sebenarnya berlaku apabila minum air melebihi keperluan? 

Minum air lebih daripada yang diperlukan meningkatkan jumlah isipadu darah. Peningkatan isipadu darah meningkatkan beban kerja pada jantung dan tekanan pada salur darah. Buah pinggang bekerja lebih untuk menapis air berlebihan. Sistem penapisan di buah pinggang melalui rerambut yang dipanggilglomeruli. Glomeruli boleh rosak disebabkan bekerja lebih. Buah pinggang akan cuba sedaya upaya untuk membuang air berlebihan. Air berlebihan dibuang bersama elektrolit.

Dalam masa sama badan berusaha untuk seimbangkan elektrolit dalam badan, di dalam darah dan sel-sel. Air akan meresap ke dalam sel-sel dan menyebabkan sel menjadi bengkak dan seterusnya pecah. Jika bengkak berlaku dalam otak, anda akan mengalami tekanan intrakranial dan seterusnya menyebabkan gejala-gejala seterusnya berlaku bermula dari sakit kepala.

Berapa banyak air yang diperlukan?

Jawapan kepada soalan ini sebenarnya bergantung kepada banyak faktor termasuk pemakanan, aktiviti harian, tahap kesihatan dan persekitaran. Mereka yang banyak makan makanan berair seperti sayur dan buah tidak memerlukan air yang banyak. Mereka yang bekerja berat memerlukan air yang lebih berbanding mereka yang bekerja di pejabat. Mereka yang duduk di kutub utara kurang memerlukan air berbanding yang duduk di gurun sahara.

6-8 gelas air sehari cuma satu rujukan purata. Tidak semestinya anda memerlukan sebanyak itu ataupun mungkin tidak cukup untuk seorang yang aktif bersenam dan sebagainya. Rasa dahaga tidak semestinya menunjukkan anda memerlukan air. Mungkin disebabkan mulut kering. Minumlah air apabila dirasakan perlu. Tidak ada kajian membuktikan minum air sebelum makan mengurangkan selera makan tetapi terdapat kajian menunjukkan minum air semasa makan atau makan berulam air boleh menyebabkan sistem penghadaman tidak efisien dan seterusnya menyebabkan makanan disimpan.

Tahukah anda bahawa jika anda minum air tetapi sentiasa kehausan, ada kemungkinan paras gula dalam darah anda tinggi. Dapatkan pemeriksaan segera.

Tony Pua Syok Sendiri: Dr Khairuddin Aman

Kenyataan kononnya Pas akan lenyap di Selangor sekiranya pilihan raya mengejut diadakan ekoran krisis dalam kalangan pakatan pembangkang berhubung kedudukan pucuk pimpinan negeri Selangor gagal diselesaikan merupakan kenyataan 'syok sendiri.'

Sambil menempelak kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap kuat dan bangkit dengan jenteranya yang semakin meluas di semua peringkat.

Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti, peribadi, bakti mereka dan persoalan Pas akan lenyap merupakan suatu yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan di negara ini sejak 51 tahun lalu.

"Pas tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu, kita jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi untuk kita kuasai.

"Kita ada jentera di mana-mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.

"Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya adalah 'syok sendiri'," katanya yang dipetik Utusan Malaysia, semalam.

Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan pembangkang berisiko kalah, manakala Pas pula mungkin lenyap kerana kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.

Amaran itu dibuat berikutan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar yang boleh menimbulkan perpecahan ketara pakatan pembangkang.

Dr. Mohd Khairudin berkata, sekiranya pakatan pembangkang tewas, PKR seharus dipersalahkan sebagai punca dan bukannya Pas kerana mencetuskan konflik ini.

"Pas hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah PKR," katanya.

"Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. Pas hanya mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk menurunkan dia," ujarnya.

Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap Abdul Khalid, maka adalah menjadi tanggungjawab Pas sebagai pemimpin ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.