Monday, 21 April 2014

MH370 Bukan Berakhir di Lautan Hindi

Pasukan penyiasat antarabangsa dilaporkan sedang melihat semula kemungkinan bahawa penerbangan Malaysia Airlines pesawat MH370 mungkin mendarat di satu lokasi tertentu dan tidak berakhir di Lautan Hindi.
Laporan New Straits Times yang memetik satu sumber tidak dinamakan menyebut, ia merupakan antara kemungkinan baru yang sedang diteliti.
Ia memandangkan pencarian yang dijalankan sehingga hari ini masih belum menemui sebarang serpihan pesawat, lapor akhbar itu.
Sumber-sumber yang tidak dinyatakan itu juga menyebut, pesawat tersebut juga mungkin terhempas di satu lokasi terpencil.
Bagaimanapun, pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-45 hari ini masih perlu diteruskan, kata sumber tersebut dalam laporan NST.
Selain itu, pasukan penyiasat juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan lebih banyak aset dalam pencarian, dan meliputi kawasan lebih luas di Lautan Hindi.
Menurut laporan berkanan, pencarian tersebut mungkin dijalankan di kawasan yang salah.
“Kita mungkin terpaksa berkumpul semula untuk melihat kemungkinan ini jika tiada hasil positif dalam tempoh beberapa hari lagi... tapi pada masa sama, pencarian di Lautan Hindi mesti diteruskan.
“Sangkaan bahawa ia mendarat di satu tempat itu tidak mustahil kerana kami masih belum menemui sebarang serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370.
“Bagaimanapun, kemungkinan bahawa terdapat negara tertentu menyembunyikan pesawat tersebut ketika lebih 20 negara mencarinya nampak tidak masuk akal,” kata sumber tersebut seperti dipetik NST.
Sumber berkenaan turut menimbulkan kesangsian terhadap pengiraan saintifik ke atas data komunikasi satelit – yang memberi kesimpulan bahawa penerbangan tersebut berakhir di Lautan Hindi.
“Satelit komunikasi hanya dimaksudkan untuk komunikasi... namanya itu sendiri menjelaskannya.
"Penyiasat terpaksa mengguna algoritma untuk mengira lokasi terakhir MH370 yang diketahui kerana tiada sistem GPS selepas transponder pesawat dimatikan 45 minit dalam penerbangan,” kenyataan sumber itu dipetik.

Gempar!!! Anwar Tolak Hudud?

Model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, kerajaan perlu membincangkan beberapa perkara asas dalam Islam terlebih dahulu seperti masalah ajaran sesat dan anti hadis sebelum membawa hudud ke satu peringkat yang lebih serius.

“Kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh pertikai undang-undang Al-Quran. Saya bukan Mahathir. Kita kena terima. Hal ini harus difaham. Kalau tunggu fatwa, semua fatwa kena pada kita.

“Curi duit tak nampak, kenyataan Mahathir tak nampak, Mahathir sokong Kassim Ahmad anti hadis tak mengapa. Kita yang kena,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Himpunan Reformasi 2.0 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyelar tindakan pihak berkuasa agama menangkap dan membicarakan Kassim kerana tindakan tersebut mencalarkan identiti Malaysia sebagai negara Islam sederhana.

Bekas perdana menteri itu berkata, dalam keadaan Kassim yang bertongkat dan tidak sihat, pegawai agama Islam dan dibantu polis tergamak menahan aktivis berusia 80 tahun itu.

“Saya sedih. Saya sedih kerana Kassim umur 80 tahun, bertongkat dan sakit ditangkap dan akan dibicara. Kenapa Kassim? Kenapa tidak orang lain? Yang menghina agama Islam di Malaysia ramai,” tulisnya dalam artikel di blognya chedet.cc.

Anwar berkata, hudud hanya dapat dilaksanakan sekiranya pembaharuan dilakukan terhadap jabatan agama Islam dan kaedah penguatkuasaan.

Katanya, hudud perlu dilaksanakan secara telus menepati kehendak ajaran Islam sebenar dan tidak memberi kepentingan politik kepada pihak tertentu. 

“Kalau dilaksana digunakan undang-undang, curi RM500 juta dari Tan Sri naik Tun. Kamu curi motor, tangan dipotong. Dalam Islam bukan begitu.

“Semua perubahan baru kita kena bincang undang-undang itu macam mana. Saya saman Saiful, empat tahun Mahkamah Syariah tak sidang pun,” katanya merujuk kepada bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Anwar yang baru tiba selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang berkata, pelaksanaan hudud di Kelantan akan diteliti dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan memberikan penjelasan.

“Itu yang kita jemput menteri besar Kelantan untuk datang dalam mesyuarat kita mencari muafakat supaya (hudud) tidak digunakan untuk menekan sesiapa dan menjamin undang-undang itu difahami,” katanya.

Berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Anwar mempertikaikan senarai kargo pesawat itu yang masih belum disiarkan kepada umum.

Katanya, ekoran daripada sikap kerajaan yang enggan memberikan lebih maklumat mengenai pesawat itu, Malaysia terus mendapat kecaman serata dunia.

“Mengapa cuba tutup maklumat itu? Apa barang yang dibawa? Saya tanya mana dia senarai kargo? Setiap kali ada penerbangan dikomputerkan. Bila tanya, sampai hari ini tak dapat jawab.

“Sekarang saya tuduh, kamu sengaja menyembunyikan bukti. Ada bukti, kamu padamkan. Dia kata ada manggis 4 tan tetapi tiada musim. Di Thailand pun bukan musim manggis,” katanya yang berpakaian serba hitam malam tadi.

Hujung bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan selain empat tan manggis yang dibawa di dalam pesawat itu, ia turut memuatkan bateri lithium-ion.

Katanya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi ia diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.

“Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah barangan berbahaya,” katanya. 

Treangganu Bakal Mempunyai MB Baru?

Mengikut sumber yang boleh dipercayai Datuk Seri Najib Razak bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi. Ahmad Said telah dijanjikan dengan satu jawatan baru yang tidak dipasti apa 'post'nya.
Menurut sumber itu lagi yang akan mengganti Ahmad Said ialah YB Rozi Mamat Adun Telemung yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri. Pertukaran ini adalah berpunca daripada laporan "geng Idris Jusoh" yang menyebut Ahmad Said telah membentuk kroni dan menyingkir lawannya secara halus disemua peringkat. 
Ahmad Said juga dikatakan tidak menghormati perjanjian perdamaian antara dua puak yang diusahakan oleh UMNO Pusat sebelum ini.
Malah dikatakan Ahmad Said secara terang-terang mencabar beberapa arahan pimpinan atasan UMNO malah kadang kala dikatakan seolah memperli pula dalam tindakannya. Laporan itu juga menyebut Ahmad Said membantu pembangkang untuk menjadi lebih kuat.
Mengikut sumber itu sepatutnya Ahmad said telah ditukar sebelum PRU-13 tapi oleh kerana kedudukan Terengganu agak tidak stabil dengan kekuatan PAS agak kemuncak maka usaha pertukaran ini terbantut.
Baru ini bulan Mac 2014 dia ini telah mengarahkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk menukar semula kenaikan pangkat seorang pegawai yang ditukarkan daripada Hulu Terengganu ke JPNT. 
Pertukaran ini adalah kerana pegawai berkenaan adalah adik kepada Zakara Dagang calon PAS semasa PRU-13. Adakah nasib Terengganu akan menjadi semakin teruk selepas ini sama-sama kita saksikan