Thursday, 17 April 2014

Terkini: Karpal Singh Maut Kemalangan Jalanraya

Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan dekat Tapah awal pagi ini.

Pembantu beliau Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan kira-kira jam 1 pagi tadi.

Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kereta kenderaan Karpal rosak teruk.

Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.

Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.

Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978.

Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'.

Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan.