Friday, 4 April 2014

Polis Menahan Orang Berkaitan Pencolekan Di Sabah


KUALA LUMPUR:  Polis telah menahan empat orang berkaitan dengan kes penculikan di Singamata Reef Resort Semporna , Sabah.

Menurut Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam satu laporan akhbar The Star, polis telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita untuk disoal siasat pada Khamis untuk membantu siasatan.

"Kami sedang mendapatkan kenyataan mereka dan meneruskan siasatan kami," Hamza dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, polis masih belum mendapatkan sebarang maklumat yang boleh membantu menyelesaikan kes itu.

Pelancong China Gao Huayuan, 29, pekerja resort dari Filipina Marcy Darawan @ Mimi , 40, telah diculik dari resort itu kira-kira jam 10.30 malam pada 2 April.

Tiga lelaki bersenjata memakai topeng telah dilihat memasuki resort dengan empat yang lain menunggu di atas bot dan di bawah dek dalam serbuan 30 minit itu.

Polis percaya tujuh lelaki bersenjata tergolong dalam kumpulan 'menculik untuk tebusan' dari Filipina Selatan, namun demikian tiada sebarang tuntutan wang tebusan setakat ini.

Kedua-dua mangsa itu dipercayai telah dibawa merentasi perairan antarabangsa dan kini berada di Filipina.

Gao ialah pelajar dari Shanghai yang datang ke Sabah untuk kursus menyelam. Polis berkata beliau mungkin mangsa rawak.

Polis dilaporkan menemu bual 49 kakitangan resort dan 61 tetamu - termasuk 59 pelancong China, satu warganegara Malaysia dan satu warga Iran.

Penyiasat berkata "orang dalam" mungkin membantu dalam penculikan dua wanita di resort pulau itu.

Semporna adalah sebuah bandar pantai di pantai timur Sabah, yang dilindungi di bawah Timur Zon Keselamatan Sabah ( ESSZONE ) yang ditubuhkan berikutan pencerobohan Lahad Datu oleh lelaki bersenjata Sulu pada Februari tahun lepas . - Astro Awani

Dr Amr Minta Semua Pihak Bersatu Memerangi Syiah

AMR MUHAMMAD
ALOR SETAR - Pertambahan penganut Syiah mula berkembang dalam kalangan umat Islam khususnya di Malaysia dan merupakan ancaman terbesar akidah masyarakat jika tidak dibendung lebih awal.
Berikutan itu, semua pihak wajar berganding bahu memerangi penularannya, bukan hanya tanggungjawab ulama dan pendakwah.
Pensyarah Kuliyyah Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Dr Amr Muhammad Sayed Salam berkata, mereka yang terlibat dalam bidang dakwah, pendidikan termasuk gerakan Islam perlu bersatu mengatasi masalah ini dengan mengadakan sesi penerangan berterusan.
“Sentiasa ingatkan masyarakat bahawa ajaran itu bercanggah dengan akidah Islam. Berdasarkan kajian, antara aktiviti yang diatur golongan itu di Malaysia ialah menakluki seluruh Malaysia serta mengajak rakyat bertukar kepada Syiah, ini termasuk dakwaan taqorub (bersatu Syiah dan Ahli Sunnah), yang membahayakan dan merupakan ancaman kepada negara,” katanya yang membuat kajian Syiah dan ajarannya, menerusi kertas kerja bertajuk ‘Cara-cara Mengatasi Penambahan Penganut Syiah di Malaysia’.
Menurutnya, hasrat golongan itu tidak akan tercapai jika semua pihak seperti pendidikan, pengiklanan, kerajaan dan jaminan keselamatan bersatu.
“Ini kerana mereka mendapat pembiayaan luar untuk sebarkan mazhab-mazhab yang beri kesan kepada penyatuan ummah. Media massa juga diingatkan tidak menyebar atau mempromosi pandangan Syiah dan hanya tumpu pada pendapat ulama Ahli Sunnah,” katanya.
Dr Amr Muhammad berkata, rakyat negara ini wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Iraq, Syria, Yaman dan Lubnan, di mana berlaku percanggahan antara dua pihak sehingga berlaku pertumpahan darah.
“Malaysia mempunyai pengaruh tasawuf, oleh itu tumpuan juga perlu diberikan pada aspek ini supaya tidak membuka peluang kepada Syiah berkembang dalam kalangan pelajar melalui tasawuf (sejarah, sukatan pelajaran di sekolah),” katanya.
Beliau turut mencadangkan ulama dan pendakwah di Malaysia bersatu dan ketepikan perbezaan fahaman sama ada politik mahupun pendirian antara mereka, untuk menyekat pertambahan penganut Syiah di Malaysia.
“Adakan lebih banyak wacana ilmu antara ulama untuk menyatakan pendapat, antaranya muktamar dakwah tahunan untuk bincang isu-isu semasa berkaitan agama termasuk perkara baharu yang berlaku dengan berpandukan syarak,” katanya.
Dr Amr Muhammad turut mencadangkan kerajaan negeri dan pusat mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan masyarakat melibatkan penyertaan ulama untuk eratkan kerjasama dan menjalin hubungan baik.
“Wujudkan unit khas atas nama gerakan Malaysia untuk membela sahabat Nabi Muhammad SAW selain memberi peringatan kepada masyarakat tentang kedudukan mereka di sisi Nabi.
Perbanyakan kursus-kursus ilmiah dengan menyatakan bahaya Syiah serta menterjemah kitab-kitab berkaitan bahaya Syiah ke dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan diedarkan secara percuma sebagai rujukan,” katanya.
Menurutnya, kumpulan-kumpulan dakwah perlu ditempatkan di serata kawasan untuk menyebarkan ajaran Islam sebenar selain menerangkan bahaya Syiah.
 

Hollywood Pula Mahu Memalukan Malaysia Dengan Membuat Filem Sempena MH370

J.C Spink
PASUKAN produksi filem di Hollywood bakal menerbitkan filem versi insiden MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Penerbit Eksekutif filem thriller 'Red Eye', J.C Spink mengesahkan bahawa projek filem itu sudah mula dibangunkan oleh rakan-rakan sepasukannya.

"Kami sudah mula merancang filem ini, buat masa sekarang sudah ada 50 orang sedang menguruskan 50 buah projek yang berlainan bagi menghasilkan filem yang seakan sama dengan MH370.

"Ada sesuatu yang terjadi dalam penerbangan MH370, yang kita semua tidak tahu, misteri kehilangannya merupakan satu idea yang bagus untuk filem ini," katanya.

Walau bagaimanapun, menurut laporan The Star, penerbit filem dan salah seorang pengasas KRU Studio, Yusry Abdul Halim tidak akan memfilemkan tragedi MH370.

Menurut pengarah filem Vikingdom itu, tragedi yang menimpa MH370 merupakan insiden yang terlalu sensitif kepada keluarga penumpang pesawat terbabit.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya faham ia satu isu yang amat sensitif, tapi bagi studio di Hollywood mereka bebas untuk mengfilemkan kisah ini kerana ia tidak menyentuh sensitiviti mereka," ujarnya.