Tuesday, 1 April 2014

MH370: Hishamuddin Mula Main sorok sorok

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata transkrip perbualan antara juruterbang MH370 dan pengawal trafik udara (ATC) akan hanya didedahkan jika pakar-pakar memberikan kebenaran.
    
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai komunikasi terakhir di antara juruterbang dan ATC, yang dikatakan mempunyai dua versi transkrip yang didedahkan kepada orang ramai.
    
Hishammuddin berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan itu dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
    
"Saya tidak berapa pasti mengenainya tetapi saya boleh sahkan penglibatan saya dalam penyiasatan itu yang berkaitan dengan FBI sejak dari hari pertama.
    
"Transkrip adalah sebahagian daripada penyiasatan ini. Jika ia amat penting buat anda, saya akan bercakap dengan pakar-pakar dan bertanya kepada mereka jika ia boleh didedahkan. Jika ia boleh didedahkan, kami akan mendedahkannya," katanya dalam sidang akhbar mengenai operasi mencari itu di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
 
Sementara itu, beliau berkata semua panel siasatan telah ditubuhkan dan kebenaran akan dibuktikan.
    
"Pada dasarnya, jika anda bertanyakan soalan yang merupakan sebahagian daripada siasatan, mengenai transkrip, anda perlulah bersikap adil kepada kami kerana hanya mereka yang melakukan siasatan itu yang boleh memberikan kata 'OK'."
    
Hishammuddin berkata pada akhirnya nanti, beliau yang perlu berdepan dengan suruhanjaya diraja atau jawatankuasa pilihan Parlimen serta lembaga siasatan antarabangsa.
    
"Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan," tegas beliau.
    
Ditanya mengenai maklumat penyiasatan berkaitan transkrip temu bual dengan isteri juruterbang pesawat itu, yang dikatakan didedahkan oleh polis kepada The Daily Mail yang berpejabat di London, beliau berkata ia tidak didedahkan pihak polis.

"Dan bagaimana Daily Mail mendapat transkrip itu. Itu anda perlu tanya kepada Daily Mail," kata Hishammuddin.
    
Mengenai isu maklumat yang didedahkan di luar sidang akhbar dan spekulasi mengenai diagram dalam Google atau laman internet yang lain, katanya beliau tidak dapat mengesah atau mengetepikannya.
    
"Saya tidak boleh sahkan atau ketepikan. Saya hanya boleh melakukannya berdasarkan apa yang telah saya sahkan dalam PC (sidang akhbar) saya. Saya tidak mahu membahaskannya di sini. Kami mengadakan PC setiap hari. Jika itu adalah sesuatu yang kami maklumkan, saya akan akan menjelaskannya," kata beliau.
    
-Bernama

Apakah Nasib Etnik Uighur Di China Rentetan MH370

TATKALA operasi mencari pesawat MH370 giat dilakukan, tiba-tiba nama etnik Uighur daripada Republik Rakyat China menjadi sebutan selepas pesawat berkenaan didakwa mempunyai plot sabotaj atau dirampas.

Dalam media ada beberapa spekulasi, teori dan kumpulan disyaki terlibat dalam tuduhan itu.

Bagaimanapun, Pengarah Projek Hak Asasi Manusia Uyghur, Alim Seytoff sekeras-kerasnya menafikan dakwaan terbabit.

Tuduhan terbabit timbul selepas pesawat MH370 dikatakan mendarat di Namning dan Namning ketika ini adalah wilayah panas selepas beberapa siri keganasan tercetus.

Namun, siapakah sebenarnya Uighur? Mengapa mereka melalui fasa diskriminasi yang teruk di mata dunia serta mengapa mereka menjadi pelarian senasib dengan etnik Rohingya.

Menurut Wikipedia, Uighur adalah kumpulan etnik Turki yang tinggal di Timur dan Asia Tengah. Hari ini, mereka hidup di Wilayah Autonomi Xinjiang dan diiktiraf sebagai satu daripada 56 etnik minoriti.

Dianggarkan 80 peratus daripada Uighur Xinjiang hidup di Lembangan Tarim, barat daya Xinjiang manakala di luar wilayah itu pula, komuniti terbesar Uighur adalah di Taoyuan County, Wilayah Hunan.

Masyarakat Uighur juga wujud di Asia Tengah Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

Kelompok kecil etnik ini turut berada di Afghanistan, Pakistan, Jerman, Belgium, Belanda, Norway, Sweden, Rusia, Arab Saudi, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Turki.

Media Barat kaitkan dengan keganasan Di China, etnik Uighur sering disisihkan pentadbiran kerajaan walaupun dianggap sebagai sebahagian penduduk negara Tembok Besar itu.

Majalah Time melaporkan, sekurangkurangnya 100 orang terbunuh dalam pertempuran antara etnik Uighur dengan pasukan keselamatan China tahun lalu.

Kebimbangan mula meningkat sejak serangan pisau di stesen kereta api Wilayah Yunnan minggu lalu yang meragut nyawa 29 individu serta mencederakan 140 individu lain dan hingga kini, belum ada yang tampil mengaku bertanggungjawab atas
kejadian terbabit.

Jika puak Uighur bertanggungjawab dalam serangan berkenaan, ia menunjukkan peningkatan keganasan dalam perjuangan hak autonomi ke atas China makin terserlah.

Oktober tahun lalu, mereka turut dipersalahkan atas serangan menggunakan jentera pembajak terhadap orang awam di Medan Tiananmen, Beijing hingga menyebabkan lima individu maut.

Pihak berkuasa China sendiri menggambarkan Uighur mempunyai hubungan rapat dengan al-Qaeda sejak serangan 11 September 2001 di AS.

Pada 2009, kira-kira 200 orang dilaporkan mati dalam rusuhan kaum di Urumqi, ibu kota Xinjiang.

Perlakuan kejam

Kemasukan awal Islam ke Xinjiang bermula ketika penduduk Uighur berperanan sebagai perantara perdagangan antara China dengan Barat.

Interaksi dengan pedagang Arab, Persi dan Turki yang membuat Uighur mulai mengenal Islam.

Penduduk Muslim Uighur pada 2011 sekitar lapan juta sedangkan jumlah umat Muslim di China pada tahun sama sekitar 20 juta daripada jumlah keseluruhan penduduk China iaitu 1.3 juta orang.

Konflik dengan Han 

Terdapat beberapa konflik antara Uighur, pemerintah China dan etnik Han. Ia bermula apabila wilayah Xinjiang memiliki geopolitik dan geoekonomi yang tinggi serta kaya dengan sumber minyak. Bertitik tolak dari itu Barat, Jepun, Rusia dan China berusaha menguasai wilayah Xinjiang.

Pada 1940-an, muncul Republik Turkestan Timur di sebahagian Xinjiang dan banyak warga Uighur merasakan itu adalah hak mereka. Tetapi pada 1949, Xinjiang dimasukkan ke sebahagian wilayah China. Tindakan itu mencetuskan kemarahan apabila mereka mahu bernaung di bawah pemerintahan sendiri. Hasilnya, Mao Zedong menghantar puluhan ribu tentera ke wilayah itu dan pada 1 Oktober 1955, Xinjiang secara rasmi dijadikan wilayah dengan status daerah autonomi dan mengisytiharkan etnik
Uinghur sebagai golongan minoriti.

Sekatan beribadah 

Pada 1990, pemerintah China melarang membinaan masjid. Perkara itu mencetuskan persengketaan antara penduduk Islam di Xinjiang dengan pemerintah.

Jumlah masjid dihadkan dan diawasi secara ketat di mana kerajaan China memasang 17,000 kamera CCTV di Urumqi.

Sekatan bulan Ramadan , Haji Penduduk Uighur dilarang berpuasa. Mereka dipaksa makan pada waktu siang dan jika tidak mereka tidak akan diberikan bonus.

Di sekolah, kantin menyediakan makanan pada waktu siang dan melarang pelajarnya di bawah 18 tahun untuk berpuasa dan beribadah.

Pemerintah China juga mengehadkan jumlah penduduk Uighur yang ingin pergi ke masjid dan mereka wajib mendaftarkan diri sebelum menunaikan solat Jumaat.

Mereka juga diminta menandatangani surat aku janji di mana mereka tidak akan berpuasa atau solat fardu termasuk solat tarawih atau melakukan kegiatan keagamaan lainnya sepanjang Ramadan.

Etnik Uighur sulit menunaikan ibadah haji kerana susah untuk mendapatkan pasport kerana kerajaan China membatasi perjalanan haji mereka.

Wanita dilarang bertudung

Wanita Uighur memang terkenal dengan kecantikan. Kulit putih dan mulus dikatakan menjadi kegilaan ramai lelaki.

Pihak berkuasa China menggunakan pelbagai cara untuk mempengaruhi wanita Uighur supaya mendedahkan aurat. Namun, kesemuanya gagal.

Ketika berada di perhentian bas di Kashgar, seorang kakitangan awam China memanggil dua orang wanita menghampirinya. Butiran peribadi mereka dicatatkan di bawah pengawasan sebuah kamera. Kedua-dua wanita itu di saman kerana memakai tudung.

Hakikatnya, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada kempen Projek Kecantikan dijalankan pihak berkuasa bagi menggalakkan wanita Islam Uighur mendedahkan aurat. Difahamkan, tindakan itu dibuat demi meningkatkan keselamatan negara.

Pengkritik memberi amaran, tindakan itu akan menyemai perasaan benci rakyat terhadap pihak berkuasa dan satu pencabulan hak.

Had beragama, fesyen Penduduk di Kashgar berkata, larangan memakai tudung pernah mencetuskan konflik mengakibatkan kematian di bandar yang 90 peratus daripada 3.3 juta penduduknya terdiri daripada etnik Uighur.

Seorang saintis politik di Universiti Nasional Singapura Shan Wei berkata, proses itu terpaksa dibuat susulan pejuang Islam meminta kemerdekaan dan perpisahan daripada kerajaan China.

“Mereka telah menetapkan had ketat ke atas aktiviti keagamaan hingga masjid dirobohkan termasuk hanya membaca Al Quran dari versi China sahaja,” katanya.

Bagi atlet wanita pula, mereka akan memakai pelbagai fesyen tudung, dengan skarf berwarna terang yang dililit di kepala dan mendedahkan bahagian leher seperti turban.

Kempen Projek Kecantikan Seorang tukang jahit berkata, kakitangan Projek Kecantikan mengarahkannya supaya tidak menerima tempahan jubah.

Menurut penduduk tempatan untuk memasuki pejabat kerajaan, bank atau mahkamah, wanita terpaksa menanggalkan tudung dan lelaki pula perlu mencukur jambang.

Sebuah lagi bandar yang mempunyai ramai penduduk Uighur iaitu di Hotan membuat syarat di mana hospital di bandar itu perlu memaklumkan kepada pihak pemerintah untuk kemasukan pesakit-pesakit yang memakai tudung.

Bagaimanapun, portal web Xinjiang memaparkan, Projek Kecantikan tidak menyatakan sebarang larangan memakai tudung sebaliknya menyenaraikan matlamatnya yang menggalakkan penggunaan produk-produk kecantikan.

Bersikap terbuka 

Menurut seorang pakar Xinjiang di Indiana University Bloomington, Gardner Bovingdon, pihak pemerintah telah cuba menghalang pemakaian tudung sejak mengambil alih kuasa pada 1949, melancarkan usaha ateisme dan mengenakan larangan secara menyeluruh pada 1960-an dan 1970-an.

“Peraturan tersebut dilonggarkan pada 1980-an apabila pemerintah China lebih bersikap terbuka. Tetapi ia menjadi ketat semula pada dekad seterusnya selepas protes-protes berunsurkan agama berlaku,” katanya.

Walaupun demikian, sesetengah etnik Uighur menyokong tindakan kerajaan dengan alasan pembunuh berani mati atau pencuri mungkin akan mengeksploit purdah dan jubah yang dipakai dengan menyembunyikan bahan letupan dan identiti mereka.