Wednesday, 26 March 2014

MAS Akan Disaman

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan pengeluar pesawat Boeing 777 yang digunakan untuk penerbangan MH370 kini berdepan dengan tindakan mahkamah.

Laporan Reuters menyebut, bapa kepada salah seorang penumpang penerbangan tersebut memfailkan petisyen untuk mendapatkan bahan bukti dalam kes kemalangan tersebut.

Firma Ribbeck Law dari Chicago, Amerika Syarikat dalam satu kenyataan menyebut, petisyen untuk memperoleh bukti berkenaan difailkan ke atas Boeing Co dan Malaysia Airlines yang mengendali penerbangan itu.

Firma itu mewakili Januari Siregar, bapa kepada Firman Chandra Siregar – salah seorang daripada tujuh warga Indonesia yang menaiki penerbangan tersebut.

Menurut firma tersebut, petisyen yang difailkan di Cook County, Illinoie Circuit Court itu bertujuan untuk memperoleh bukti berhubung kemungkinan kecacatan rekaan dan pembuatan yang mungkin menyumbang kepada kemalangan itu, lapor Reuters.

Peguam yang mengetuai kes tersebut, Monica Kelly dalam laporan itu menyebut, pemfailan berkenaan adalah permulaan kepada saman berjumlah berjuta dolar oleh keluarga penumpang terbabit ke atas MAS dan Boeing.

“Kita percaya kedua-dua defendan yang dinamakan bertanggungjawab ke atas bencana yang menimpa penerbangan MH370,” katanya.

Pesawat Boeing 777 gagal dikesan tidak lama selepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pada hari Isnin lalu menyimpulkan, penerbangan pesawat berkenaan berakhir di tengah perairan selatan Lautan Hindi, di kawasan terpencil yang jauh dari sebarang daratan.

Pihak berkuasa MAS turut mengumumkan bahawa kesemua 239 orang dalam penerbangan tersebut dipercayai telah meninggal dunia.