Saturday, 22 March 2014

Spekulasi MH370 Terhempas Kerana Kebakaran

Perhatian sekali lagi tertumpu kepada kargo yang dibawa oleh pesawat MH370 yang hilang selepas pihak berkuasa hari ini mengesahkan ia membawa bateri lithium-ion yang boleh mudah terbakar.
Pengesahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya itu dibuat hari ini, empat hari selepas beliau menafikan MH370 membawa barangan berbahaya dan sebaliknya menekankan mengenai "tiga hingga empat tan buah manggis" dalam pesawat itu.
"Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) di bawah barangan berbahaya," katanya.
Menurutnya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi dari segi ianya diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.
Ahad Jauhari berkata demikian dalam taklimat harian di Hotel Sama-Sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jauhari bertegas kargo bateri lithium-ion itu telah diperiksa "beberapa kali" bagi memastikan ia dibungkus mengikut garis panduan ICAO.
Syarikat penerbangan, katanya melakukannya sepanjang masa, dan bukan Malaysia Airlines sahaja.
"Barangan ini diterbangkan oleh banyak syarikat penerbangan kargo, yang berdasarkan kepada peraturan ICAO," katanya.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang berpangkalan di AS, sejumlah 141 insiden udara melibatkan bateri yang dibawa sebagai kargo atau bagasidicatatkan antara 20 Mac 1991 hingga 17 Feb tahun ini.
Dalam kes-kes yang jarang berlaku, seluruh pesawat telah musnah akibat kebakaran yang bermula dari bateri lithium-ion dengan kes yang terbaru ialah Asiana Airlines Penerbangan 991 dan UPS Airlines Penerbangan 6, walaupun kedua-dua insiden itu membabit pesawat kargo.
Dalam kes UPS Airlines Penerbangan 6 yang berlepas dari Dubai ke Cologne, Jerman, ia terhempas selepas cuba melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 3 September 2010, yang mengorbankan anak kapalnya.
Lembaga Penerbangan Awam Emiriah Arab Bersatu, dalam laporannya setebal 322 halaman mengenai insiden itu yang diterbitkan pada tahun 2013, membuat kesimpulan bahawa kemalangan itu dikaitkan dengan kebakaran yang dicetuskan oleh bateri lithium-ion, atas sebab-sebab yang tidak ketahui dan merebak ke barangan mudah terbakar di dalam kargo.
Laporan itu menyebut, juruterbang terpaksa meninggalkan tempat duduknya untuk mencari oksigen mudah alih di dek penerbangan yang dipenuhi asap dan selepas itu Boeing 747-400F itu terputus komunikasi.
Berikutan kebimbangan itu, tahun lepas, ICAO mengenakan peraturan baru yang memerlukan sebarang penghantaran yang mengandungi lebih daripada dua bateri lithium-ion perlu mematuhi syarat-syarat terperinci berkaitan barangan berbahaya.
'Kemungkinan terlepas pandang'
Kemungkinan berlaku kebakaran akibat bateri lithium-ion yang membawa kepada kehilangan MH370, pertama kali ditimbulkan oleh CNN pada 14 Mach 14, tetapi hanya sedikit perhatian diberikan terhadapnya kerana pihak berkuasa enggan mendedahkan kandungan kargo pesawat tersebut.
Penerbangan MH370 bagi laluan KL- Beijing terputus komunikasi dengan pusat kawalan trafik udara pada 8 Mac pada jam 1.30 di Teluk Thailand.
Kehilangan pesawat itu telah membawa kepada usaha mencari besar-besaran di Laut China Selatan, tetapi kemudiannya data tentera mendedahkan pesawat itu telah berpatah balik dan terbang ke haluan yang tidak diketahui.
Pasukan penyiasat mengesan lokasi terakhir pesawat itu ialah di antara sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke sempadan utara Thailand, atau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Bagaimanapun, selepas usaha mencari masuk ke hari ke-14 yang melibatkan 26 negara, pesawat itu masih belum ditemui.